SHAH ALAM - Pemerhati dan penganalisis berbeza pandangan sama ada akan berlaku gelombang tsunami dan penolakan rakyat secara besar-besaran atau tidak terhadap mana-mana gabungan parti politik, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Ada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemerhati dan penganalisis berbeza pandangan sama ada akan berlaku gelombang tsunami dan penolakan rakyat secara besar-besaran atau tidak terhadap mana-mana gabungan parti politik, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ada dalam kalangan mereka berpandangan biarpun tempoh kempen PRU15 masih berbaki kurang seminggu lagi, namun mungkin tiada tsunami politik atau perubahan besar-besaran corak sokongan pengundi sama ada kepada BN, Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) akan terjadi berbanding tsunami rakyat pada 2018.

Ini kerana penganalisis berpandangan sehingga hari ini tiada isu cukup besar, kuat dan mampu menggugat kestabilan negara hingga menyebabkan berlaku tsunami politik dan menaikkan semangat majoriti 21 juta pengundi untuk bangkit menolak mana-mana gabungan parti.

Berbanding PRU14, skandal rasuah dan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi punca rakyat menolak BN yang ketika itu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, setakat ini tiada petanda awal menunjukkan akan berlaku tsunami politik atau gelombang kebangkitan pengundi terutama golongan atas pagar dan pengundi muda secara besar-besaran terhadap mana-mana parti.

Mohammad Agus

Tambahan pula, Mohamad Agus berkata, kekuatan gabungan parti politik BN, PN dan PH dilihat seimbang dan tiada isu luar biasa yang boleh digunakan untuk menarik sokongan pengundi muda dan atas pagar.

"Saya melihat biarpun ramai rakyat marah dan tidak puas hati dengan kegagalan kerajaan mengawal kenaikan harga barang dan kos sara hidup, namun ia tidak cukup kuat untuk mencetuskan gelombang penolakan kepada BN/UMNO kerana mereka faham masalah berkenaan adalah isu global.

"Isu banjir pula bukan salah kerajaan dan merupakan fenomena semula jadi di musim tengkujuh, selain hanya membabitkan lokasi tertentu sahaja.

"Begitu juga dengan masalah kerosakan LRT (Transit Aliran Ringan) yang hanya membabitkan sebahagian kecil penduduk di Lembah Klang dan tidak menjejaskan pengundi di negeri lain,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku penolakan pengundi terhadap BN berikutan pendedahan skandal dan penyelewengan dana pembelian kapal tempur luar pesisir (LCS), baru-baru ini.

Mazlan

Mazlan berkata, isu LCS menjadi perbualan hangat rakyat selepas pendedahan dibuat oleh calon Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, pada Ogos lalu.

"Pendedahan Rafizi menyebabkan ramai pengundi muda dan golongan atas pagar di Pantai Barat Semenanjung terutamanya di Lembah Klang kini kembali menyokong PH kerana isu LCS kini sudah menjadi seperti skandal 1MDB kedua.

"Mereka berpandangan bahawa pendedahan Rafizi mengenai kes LCS mungkin benar seperti isu 1MDB dulu. Oleh itu, saya berpandangan kes LCS ini akan mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat menolak BN,” katanya.

Keputusan tsunami politik pada PRU14 lalu.
Klik di sini untuk terus membaca