SHAH ALAM - Firma penyelidikan O2 Research Malaysia (O2) meramalkan tiada tsunami politik besar-besaran bakal berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini. Ketua Penyelidiknya, Anis Anwar Suhaimi berkata, fenomena tsunami seperti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Firma penyelidikan O2 Research Malaysia (O2) meramalkan tiada tsunami politik besar-besaran bakal berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Ketua Penyelidiknya, Anis Anwar Suhaimi berkata, fenomena tsunami seperti berlaku semasa PRU14 sukar berulang dalam bentuk sama kerana isu dan sentimen politik serta corak pengundian adalah berbeza.

Beliau berkata, antara isu yang menjadi pencetus gelombang kebangkitan dan tsunami serta penolakan rakyat secara besar-besaran terhadap BN pada PRU14 adalah isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Anis Anwar

"Dahulu isu GST dan 1MDB menjadi modal kempen penolakan terhadap BN. Tetapi PRU15 ini apabila Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) terutama Pas pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan, maka semua parti memiliki liabiliti tersendiri untuk dijawab kepada pengundi.

"Kalau dahulu, alternatif kepada BN hanyalah PH, namun hari ini ada tiga parti gabungan utama (BN, PH dan PN) serta Gerakan Tanah Air (GTA) yang jadi pilihan rakyat pada PRU15 nanti,” katanya kepada Sinar Premium.

Anis Anwar juga menolak kemungkinan bahawa isu kapal peronda pesisir (LCS) dan penggabungan antara BN dan PH sebagai faktor pencetus tsunami politik.

Beliau berkata, kedua-dua isu berkenaan dijangkakan kurang memberi impak terhadap corak pengundian kerana BN pada PRU15 ini, lebih aktif melakukan penerangan kepada pihak awam.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Mohd Munir pula menjangkakan kadar keterujaan rakyat di Semenanjung Malaysia keluar mengundi bakal mengulangi tsunami pengundi berpartisipasi pada PRU14 dengan anggaran 81 peratus berbanding 83 peratus pada pilihan raya lalu.

Dapatan kaji selidik yang dijalankan oleh IDE. Gambar kecil: Khairul Ariffin

Katanya, kadar keterujaan pengundi menyertai PRU15 adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan siri pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) pasca PRU14, di mana purata kadar peratusan keluar mengundi hanyalah sekitar 50 hingga 60 peratus sahaja.

Menurutnya, peningkatan itu bertitik tolak daripada usaha kegiatan aktif berkempen yang rancak dijalankan oleh semua parti politik sejak pengumuman pembubaran Parlimen dan hari penamaan calon pada 5 November lalu.

"Tinjauan kami mendapati sambutan tempahan tiket kereta api, kapal terbang dan bas untuk pengundi pulang mengundi di kampung halaman masing-masing amat memberangsangkan.

"Perkara sebegini sebenarnya merupakan petunjuk jelas bahawa sentimen keterujaan rakyat Malaysia untuk keluar mengundi mungkin mampu menyamai PRU14.

"Namun demikian, peratusan pengundian mungkin boleh terjejas jika berlaku keadaan luar jangka seperti banjir,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca