RANTAU Asia Tenggara dikatakan menduduki carta teratas jumlah bencana alam dalam tempoh 30 tahun lalu dengan lebih 90 peratus daripadanya dikategorikan sebagai bencana iklim.
Kekerapan bencana iklim itu diburukkan lagi dengan kelewatan menangani aspek kejuruteraan sedia ada, keterbatasan sumber daya dalam mengurangkan impak risiko dan kelewatan menyediakan keperluan teknikal di lapangan untuk membantu mitigasi tambahan.
Justeru, berdasarkan faktor semasa termasuk bencana kepala air serta banjir puing semakin kerap berlaku di kawasan tadahan hujan, kes ini sepatutnya meningkatkan persediaan Malaysia menyediakan petunjuk asas dalam mencari solusi tuntas bagi mendepani bencana berkenaan.
Hal ini ditambah pula dengan pendedahan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh yang mengunjurkan sebanyak 25 peratus kawasan di seluruh negara berpotensi berdepan risiko tenggelam sekiranya kenaikan aras laut tidak terkawal dan tiada tebatan dibuat.
Dijangka pada tahun 2050 juga, paras laut akan meningkat sebanyak dua kaki (0.6 meter) sehingga menjejaskan kebanyakan penempatan manusia.
Bahkan menurut laporan penilaian perubahan iklim terhadap 193 negara dikumpulkan Financial Times, pada kadar 7.2 tan per orang, perlepasan karbon per kapita rakyat Malaysia adalah lebih besar daripada pengeluar gas karbon dioksida terbesar di dunia iaitu China.
Walaupun Indonesia mengeluarkan paling banyak karbon di Asia Tenggara, daripada segi per kapita, ia jauh lebih baik daripada Malaysia pada tahap dua tan per kapita, atau hampir empat kali ganda kurang bagi setiap orang.
Berdasarkan senario krisis bencana iklim meruncing di seluruh dunia, sepatutnya parti-parti politik meletakkan perkara itu sebagai asas utama janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi menjamin aspek kelestarian alam sekitar untuk jangka masa panjang.
Bagaimanapun, majoriti aktivis alam sekitar melihat isu berkenaan sekadar dijadikan tawaran sampingan kepada 32 juta rakyat Malaysia oleh koalisi-koalisi bertanding, dengan kelompok ini lebih memfokuskan usaha meraih undi 'segera' dengan menekankan isu-isu populis seperti periuk nasi mereka.
Sebagai contoh, manifesto Barisan Nasional (BN) hanya menyatakan koalisi itu berjanji menghapuskan semua permit import atau AP untuk semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.
Selain itu, BN turut menyatakan janji menambah litupan kawasan berhutan negara kepada 60 peratus dengan keluasan melalui kerjasama negeri.
Dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) pula, koalisi itu sekadar berjanji untuk mewujudkan Badan Bertindak Bencana Alam dan Perubahan Iklim Kebangsaan bagi menangani isu perubahan iklim dengan lebih berkesan.
Cuma tawaran manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilihat lebih serius dalam mendepani isu perubahan iklim apabila koalisi pembangkang itu menawarkan lapan teras utama seperti penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan, peningkatan peratusan kawasan perlindungan marin menjelang tahun 2030 dan penambahan peruntukan dana pembiayaan hutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan negeri.
Manifesto PH turut menekankan penggubalan Akta Perubahan Iklim, mengutamakan rancangan infrastruktur saliran, tebatan banjir dan pembangunan lestari, pengenalan skim perlindungan bencana nasional, memperkukuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta penyelarasan pelan kesiapsiagaan banjir secara menyeluruh.
IMPLIKASI BESAR
Pada saat krisis ketidaktentuan politik tanah air menyebabkan parti-parti politik lebih terdesak menggunakan isu populis, seorang pakar alam sekitar pula berpendapat isu bencana iklim 'tidak laku' pada musim PRU kerana kelompok ini pun sebenarnya tidak memahami implikasi besar isu tersebut.
"Ahli-ahli politik ini sebenarnya tidak faham definisi krisis perubahan iklim dalam konteks lebih besar. Mereka sekadar bercakap mengenai ancaman kenaikan suhu, paras air laut meningkat dan pelepasan karbon semakin tinggi saban tahun semata-mata.
"Mereka menganggap isu ini tidak menangkap imaginasi pengundi, sedangkan lebih 10.5 juta pengundi belia sedar dan peka bahaya kesan perubahan iklim terhadap masa hadapan mereka, sekiranya kerajaan bersikap sambil lewa dalam mendepaninya," kata Pengerusi Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo kepada Sinar Premium.
Antara contoh kegagalan parti-parti politik dalam mengemukakan penyelesaian isu perubahan iklim adalah seperti kelemahan polisi dan dasar kerajaan yang tidak menggalakkan rakyat menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, lakuran hidrogen, hidroelektrik dan angin pada kadar caj lebih rendah.
"Begitu juga dengan aspek rancangan pembangunan di kawasan bandar di mana ahli-ahli politik sepatutnya memfokuskan kepada janji penawaran rancangan perumahan berkonsepkan 'urban renewable' iaitu pembaharuan bandar.
"Melalui konsep ini, kebanyakan proses kelulusan guna tanah bagi tujuan perumahan dan pembangunan dihadkan kepada 60 hingga 99 tahun untuk mengurangkan impak bencana sekiranya kawasan itu dikenal pasti terdedah bencana alam sekitar pada masa hadapan.
"Ini tidak, agensi kerajaan berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah tidak mengambil berat implikasi perubahan iklim dalam rancangan bandar untuk jangka masa panjang apabila habis semua kawasan dataran banjir dilaksanakan projek pembangunan," tegas Ibrahim lagi.
Di sebalik itu, Ibrahim berpandangan masih ada masa dan kesempatan buat parti-parti politik untuk kembali meneliti semua tawaran manifesto PRU15 berhubung isu memulihara kelestarian alam sekitar dan mengemukakan janji lebih baik kepada pengundi belia.
Klik di sini untuk terus membaca