SHAH ALAM - Kadar peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam kalangan pengundi Cina dijangka merosot berbanding PRU14 susulan majoriti mereka mengunjurkan sebuah kerajaan gabungan bakal terbentuk pasca pilihan raya itu.
Pengarah Pusat Kajian Sosial dan Polisi Tun Tan Cheng Lock di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Profesor Madya Dr Chin Yee Mun berkata, ramalan fenomena tsunami pengundi luar negara dan daerah mengundi berebut-rebut untuk pulang mengundi sebagaimana PRU14 dijangka meleset kerana majoriti pengundi Cina berdepan masalah kelesuan politik.
Selain faktor kemungkinan terbentuknya sebuah kerajaan gabungan di antara parti kerajaan dan pembangkang pasca PRU15, Yee Mun mendedahkan majoriti pengundi Cina turut kecewa dengan peristiwa Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh pada Februari 2020.
Berikutan itu, beliau menjangkakan kadar peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina mungkin hanya sekitar 60 hingga 75 peratus pada 19 November ini.
"Saya belum nampak lagi sentimen pengundi Cina untuk balik mengundi sekuat PRU14 dengan majoriti mereka mengalami kelesuan politik dan kekecewaan daripada peristiwa Langkah Sheraton pada penghujung Februari 2020.
"Segmen ini termasuk pengundi luar negara dan daerah mengundi turut tertanya-tanya kalau balik pun, mereka hendak mengundi siapa susulan terdapat juga teori kemungkinan berlakunya kerajaan campuran pasca PRU15.
"Berdasarkan situasi semasa, saya percaya kadar peratusan keluar mengundi pada PRU15 mungkin akan terjejas sehingga 60 hingga 75 peratus, berbanding PRU13 dan PRU14 yang mencapai lebih 80 peratus," katanya kepada Sinar Premium.
Sementara itu, Presiden Gerakan Pelajar India Se-Malaysia, Arvend Appalasamy pula mendedahkan rata-rata pengundi belia kaum India seolah-olah lebih berminat memanfaatkan cuti umum pulang mengundi PRU15, dengan pergi melancong bersama keluarga.
Jelas beliau, pendirian itu jelas dinyatakan majoriti pengundi belia India menerusi platform media sosial seperti Facebook, Tiktok dan Instagram apabila mereka menyatakan sudah muak dengan polemik politik tidak berkesudahan pasca PRU14.
"Sejujurnya, sentimen pengundi India terutama golongan belia untuk berpartisipasi pada PRU15 memang 50-50 kerana majoriti mereka sudah muak dengan drama politik Malaysia, malahan sebahagian mereka beranggapan undi diberikan tiada nilai signifikan.
"Kalau ikut komen netizen kaum India di media sosial, mereka lebih berminat untuk pergi bercuti berbanding menunaikan tanggungjawab pada PRU15 kerana mereka merasakan parti-parti politik sama sahaja '2 kali 5'.
"Berbanding PRU14, saya tidak nampak lagi kesungguhan pengundi luar negara dan luar negeri yang sanggup berkongsi kereta, menempah bas sewa, membeli tiket pengangkutan awam lebih awal demi pulang mengundi pada PRU kali ini," tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca