SEORANG penganjur komuniti menjadi wanita Muslim pertama berketurunan Palestin dilantik memegang jawatan awam setelah kemenangannya pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung sengit pada Selasa lalu. Ruwa... Klik di sini untuk terus membaca

SEORANG penganjur komuniti menjadi wanita Muslim pertama berketurunan Palestin dilantik memegang jawatan awam setelah kemenangannya pada Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung sengit pada Selasa lalu.

Ruwa Romman, 29, daripada Parti Demokrat melakar sejarah apabila dilantik mewakili District 97 untuk menganggotai Perhimpunan Agung Georgia yang merupakan badan perundangan negeri tersebut.

Ruwa berjaya menewaskan pesaingnya daripada Parti Republikan (GOP) yang didakwa menggunakan isu perkauman dan taktik anti-Islam untuk menakut-nakutkan pengundi serta memburukkan imejnya.

Tetapi, tuah berpihak kepadanya selepas beliau memperoleh margin jelas dengan meraih hampir 58 peratus undi.

Menerusi wawancara bersama Arab News, Ruwa dengan bangga menceritakan majoriti penduduk di daerah tersebut menyokongnya sepanjang tempoh berkempen.

Ruwa mendapat sokongan meluas penduduk di District 97 sepanjang beliau berkempen.

Menurutnya, penduduk di District 97 akan melindunginya apabila diancam penyokong kepada pesaingnya, John Chan yang menggelarkan dirinya sebagai 'MAGA Republikan' yang merujuk kepada slogan bekas Presiden Donald Trump iaitu Make America Great Again.

"Saya dapat membina hubungan atas dasar kepercayaan yang erat dengan komuniti di District 97 terutamanya dalam kalangan penyokong konservatif yang sentiasa mempertahankan saya.

"Jutaan terima kasih atas sokongan mereka yang dapat membantu saya mengatasi kempen hasutan dan serangan Islamofobia oleh kem pesaing saya,” ujarnya.

District 97 yang sempadannya dilukis semula pada 2021 merupakan daerah Gwinnett di utara Atlanta yang termasuk bandar Berkeley Lake, Duluth, Norcross dan Peachtree Corners.

Ia didiami pelbagai kaum yang mana 40 peratus populasi adalah berkulit putih selain terdapat kelompok penduduk Muslim, Afrika dan Asia-Amerika.

RAMPAS 'NEGERI MERAH'

Ruwa dilahirkan pada 14 Jun 1993 di Amman, Jordan.

Nenek dan datuknya merupakan pelarian Palestin.

Ibu bapa wanita itu kemudiannya berhijrah ke Atlanta kira-kira 22 tahun lalu ketika Ruwa berusia tujuh tahun.

Ruwa memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam politik dari Oglethorpe University pada 2015 dan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam Dasar Awam di Georgetown University pada 2019.

Menuntut pembiayaan penuh untuk pendidikan awam antara agenda utama yang diperjuangkan Ruwa.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai perunding kanan untuk syarikat pengurusan perkhidmatan profesional yang membantu agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain dengan memberikan bantuan nasihat serta membangunkan strategi lebih baik bagi menangani isu dasar awam utama di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan.

Jelasnya, kedua-dua ibu bapanya merupakan penyokong kuat terhadap cita-citanya dalam bidang politik walaupun pada mulanya mereka agak ragu-ragu ketika Ruwa mula berkempen kira-kira 10 bulan lalu.

"Mereka sangat bangga dan teruja dengan pencapaian saya,” katanya.

Ketika berkempen, beliau mengendalikan platform progresif yang melancarkan manifesto bagi menuntut pembiayaan penuh untuk pendidikan awam, memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan dan perlindungan hak wanita seperti pemerkasaan ekonomi.

Tambah Ruwa lagi, kemenangannya jelas membuktikan peralihan besar dalam politik di Georgia yang menentang undi secara pos bertujuan untuk memberikan 'manfaat' kepada GOP.

"Georgia yang berpopulasi 10.8 juta penduduk telah sekian lama dianggap sebagai 'negeri merah' yang dikawal Republikan dan 'menindas' pengundi untuk memastikan kemenangan calon Republikan,” ujarnya.

Ruwa juga berazam untuk meletakkan semula perkhidmatan awam di bawah kawalan politik bagi menjadikan kerajaan berfungsi kepada semua penduduk dan bukan hanya untuk kumpulan berkepentingan serta syarikat besar.

Selain Ruwa, tiga calon Muslim Amerika lain, Sheikh Rahman, Nabilah Islam dan Farooq Mughal turut mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih menganggotai Perhimpunan Agung Georgia untuk penggal akan datang. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca