MINGGU ini adalah sangat penting untuk semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kalau ada yang tersilap langkah pada waktu ini akan membawa padah yang amat buruk.
Stamina calon-calon juga kena dipertingkatkan sehingga dua atau tiga kali ganda lagi untuk jumpa seramai mungkin pengundi.
Strategi-strategi untuk menang juga sudah perlu dikeluarkan untuk capai keputusan yang diinginkan.
Tetapi bila Tok lihat kembali prestasi separuh masa pertama PRU15 ini, ada pergerakan parti yang dilihat tidak berapa cergas dan lemah longlai.
Ada macam-macam cerita dah sampai ke halwa telinga Tok tentang masalah parti-parti yang bertanding.
Semua sekali ada empat parti terbesar, namun yang rakyat nampak sekarang hanya tiga sahaja yang nampak kuat dan bersungguh-sungguh.
Ada terdengar kisah peruntukan tidak turun menyebabkan calon terpaksa guna duit sendiri untuk menggerakkan kempen.
Selain itu, cerita tentang 'cah keting' atau perbuatan sabotaj parti yang tidak kurang hebatnya juga.
Ini adalah sebahagian asam garam dalam pilihan raya. Sedikit sebanyak pasti ia akan menjejaskan parti tersebut.
Tok difahamkan parti ini wujudkan pasukan pengurusan krisis mereka sendiri untuk mengatasi masalah itu.
Malah beberapa tindakan tegas juga sudah diambil kepada mereka yang tidak mahu akur dan ingkar dengan arahan.
Tetapi cerita yang paling hot yang Tok dengar ialah gosip pembentukan kerajaan campuran jika tiada parti berjaya mendapat majoriti.
Ramai sudah mula congak sana congak sini dan meramalkan berapa kemenangan yang bakal dimenangi calon yang bertanding.
Macam biasalah sifir orang politik ini memang pelik kalau ikut hukum hakam ilmu matematik.
Bagi mereka satu campur satu jawapannya bukan dua tetapi boleh jadi sangat luar biasa dan tidak terfikir dek akal.
Apa pun, kita sebagai pengundi ini nanti keluarlah beramai-ramai pada 19 November ini untuk buat keputusan memilih pihak yang dapat bekerja untuk rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca