SEKALI lagi rakyat seluruh negara berpuak-puak menurut parti politik (parpol) serta aliran siasah yang disokong atau tidak disokong.
Musim emotions running high (emosi meningkat) ini kita sedar bahawa dalam pelbagai parpol wujud pelbagai jenis manusia.
Ada yang narsisistik (pemujaan dan kecintaan kendiri) dan/atau antisosial (pelanggaran peraturan masyarakat).
Sebaliknya ada yang umpama lilin, membakar diri untuk menerangi masyarakat. Apabila bilangan ahli yang altruistik menjadi dominan dan majoriti, selamatlah rakyat dan negara.
Telah terbukti secara empirikal bahawa trait (jenis) sahsiah atau kecelaruan personaliti narsisistik dan antisosial banyak terdapat dalam kalangan politikus serta para banduan dalam penjara.
Namun, kedua-dua trait ini terdapat juga di bidang kehidupan yang lain seperti bisnes dan akademia.
Untuk menyekat para penipu menjadi calon dengan pemalsuan gelaran seperti Datuk, Ir, Dr dan sebagainya, semua calon mestilah menunjukkan bukti sijil yang sahih terkait dengan gelaran-gelaran itu.
Ini mesti disahkan sewaktu penamaan calon atau menerusi satu sistem rapi.
Di medan siasah, ada calon yang berjaya, yang merajuk, yang veteran, yang menjengah hanya sebentar, yang ikhlas dan yang munafik.
Teringat akan As You Like It, drama William Shakespeare, dan kata-kata watak yang bernama Jacques (terjemahannya): "Seluruh dunia ialah pentas, dan semua lelaki dan wanita hanyalah pelakon; mereka mempunyai masa masuk dan masa keluar...”
Penggunaan pelantar (platform) siasah untuk memperjuangkan nasib peniaga kecil dan Orang Asli yang tidak mahu terpinggir berlaku seiringan dengan para hartawan yang sedang membida untuk kuasa di sebalik tabir.
Dalam kalangan perasuah tegar ada yang mengharapkan hubungan ‘kabel’ dapat melepaskan diri daripada cengkaman the long arm of the law (capaian undang-undang yang meluas) natijah daripada fungsi mahkamah yang bebas.
Namun, saya masih berpendapat bahawa selagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia digaji oleh Jabatan Perdana Menteri, tiada sesiapa boleh menyekat pandangan rakyat yang serong terhadap keberkesanan tindakan SPRM.
Puluhan juta ringgit boleh diselamatkan jika kita tidak memberi fokus yang besar kepada sepanduk, bendera dan gegantung (bunting) yang tidak mesra alam.
Sebaliknya kita berfokus kepada penggunaan media sosial yang capaiannya kini meluas hingga ke kawasan pendalaman.
Golongan pengundi muda yang pintar maklumat mesti cerdik berfikir dan menganalisis segala kempen semua calon PRU15 ini.
Prinsip Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur, yakni Negara Baik dan Tuhan Pengampun (Al-Quran surah Saba’ 34:15) menjiwai konsep Negara Rahmah (Benevolent State) bagi warga makmur di bawah perlindungan ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.
Banyak gerombolan iblis dan syaitan menganggur di dunia ini kerana ramai insan sudah melaksanakan kerja-kerja iblis dan syaitan yang sedang berehat di bawah pohon rendang, di tanah lapang dan di rumah kosong yang usang.
Namun pada musim PRU, gerombolan ini akan sibuk bersama-sama qarin syaitan (yang mendampingi manusia) untuk menghasut insan menabur fitnah dan alpa akan ajaran Tuhan dan Rasul-Nya.
Daripada ‘Ubadah bin As-Samit bahawa Nabi SAW bersabda (maksudnya): "Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian.” (HR Ahmad No. 21695)
Bagi saya, calon PRU wajib mempunyai sifat ABCD seperti berikut: A untuk Amanah - penjagaan amanah dan penghayatan keimanan.
B untuk Benar - percakapan yang benar. C untuk Cekap - kemampuan fizikal serta kepintaran psikologial.
D untuk Disiplin - pengelakan pembaziran wang dan masa.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah psikiatris, penulis dan aktivis masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca