SHAH ALAM - Pemberian tiga insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha menggalakkan orang ramai mengundi memperlihatkan kerajaan menghormati perjalanan proses demokrasi melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilalui negara pada ketika ini.
Malah kata Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian, ia juga memberikan semangat kepada rakyat yang berdepan dengan kelesuan politik untuk melunaskan tanggungjawab pada 19 November ini.
"Ini adalah satu pendekatan yang akan dihargai oleh pengundi kerana mereka tidak perlu untuk memohon cuti tambahan pulang ke kampung halaman dan membayar tol.
"Malah kerajaan juga tidak mahu peratusan keluar mengundi rendah sama seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Pemberian cuti pada 18 dan 19 November ini satu keputusan yang tepat,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Dalam usaha menggalakkan orang ramai menunaikan tanggungjawab mengundi, kerajaan menetapkan hari Jumaat dan Sabtu iaitu 18 dan 19 November ini sebagai Hari Kelepasan Am.
Tidak hanya itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian tol percuma untuk 30 konsesi Lebuh raya pada Hari Kelepasan Am berkenaan kepada para pengguna sempena hari pengundian yang berlangsung pada 19 November ini.
Ismail Sabri turut mengumumkan tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam diawalkan pada 17 November ini dan bagi pesara pula, bayaran pencen adalah pada hari ini.
Melalui inisiatif ini, Ismail Sabri menegaskan, kerajaan berharap dapat meringankan sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warganegara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan pada setiap lima tahun sekali.
Mengulas lanjut Sivamurugan berkata, pemberian Hari Kelepasan Am itu juga dianggap sebagai pengajaran berguna buat kerajaan selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu.
"Ketika itu PRU14 jatuh pada hari Rabu (9 Mei 2018) dan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan jika menang, rakyat akan mendapat cuti tambahan dua hari. Jadi rakyat mendapat cuti yang lama ketika itu.
"Jadi kerajaan hari ini mengambil iktibar dan memberikan masa dan peluang buat pengundi untuk membuat pilihan pada terbaik. Biarpun sentimen dalam kalangan pengundi tidak dapat dibaca tetapi sekurang-kurangnya kerajaan Ismail Sabri tidak menyekat peluang orang ramai balik mengundi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca