HANYA tinggal beberapa hari sebelum pembuangan undi dilaksanakan, semua calon dan parti bertanding terus giat menjalankan kempen dalam usaha meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Perak sudah pastinya menjadi tumpuan utama... Klik di sini untuk terus membaca

HANYA tinggal beberapa hari sebelum pembuangan undi dilaksanakan, semua calon dan parti bertanding terus giat menjalankan kempen dalam usaha meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perak sudah pastinya menjadi tumpuan utama apabila ramai nama besar bertanding di sini termasuklah tiga presiden parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Kehadiran nama-nama besar ini bukanlah satu jaminan bagi parti bertanding untuk mudah mendapat sokongan dan menang lebih banyak kerusi pada PRU kali ini.

Berdasarkan tinjauan serta pemerhatian semasa, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang seimbang di Perak tanpa menafikan prestasi memberangsangkan Perikatan Nasional (PN) yang kian meningkat naik.

Pengundi lebih cenderung menyokong calon yang mempunyai rekod berkhidmat dan mempunyai prestasi memberangsangkan di kawasan walaupun bukan sebagai penyandang Parlimen mahupun DUN.

Setakat ini, BN dijangka akan mengekalkan lapan kerusi Parlimen dimenangi sebelum ini iaitu Gerik, Lenggong, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak, Tapah dan termasuk kerusi ditandingi Ahmad Zahid di Bagan Datuk.

AHMAD ZAHID - Foto Bernama

Pada masa sama, tiga lagi kerusi Parlimen mampu dirampas BN iaitu Lumut, Kampar dan Sungai Siput yang diwakili Vigneswaran.

Anwar pula dijangka memenangi kawasan Parlimen Tambun sekali gus mengekalkan kerusi yang dimenangi PH pada PRU14 tetapi dengan majoriti yang berkurangan berbanding sebelumnya.

Selain Tambun, PH turut diramal memenangi sembilan lagi kerusi Parlimen yang kesemuanya dimenangi sebelum ini iaitu Parit Buntar, Taiping, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Beruas, Gopeng, Teluk Intan dan Tanjung Malim.

Tidak dilupakan, PN juga mungkin memenangi kerusi Parlimen Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang sungguh pun kesemua kerusi berkenaan adalah milik BN pada PRU14.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula bakal menyaksikan peristiwa tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan seperti mana berlaku selepas PRU14 apabila tiada gabungan parti yang dapat memperoleh majoriti mudah 30 kerusi DUN.

BN akan memenangi lebih banyak kerusi berbanding parti lain iaitu sejumlah 28 kerusi DUN termasuk beberapa kerusi yang tidak dimenangi pada PRU14.Kerusi DUN Pengkalan Hulu, Temengor, Kenering, Kota Tampan, Alor Pongsu, Selinsing, Kuala Sepetang, Trong, Changkat Jering, Chenderoh, Lubok Merbau, Lintang, Bukit Chandan, Manong, Pengkalan Baharu, Belanja, Bota, Tualang Sekah, Ayer Kuning, Kampung Gajah, Pangkor, Rungkup, Hutan Melintang, Changkat Jong dan Slim dijangka kekal dimenangi BN.

Kerusi DUN Sungai Rapat, Chenderiang dan Hulu Kinta mungkin dirampas kembali BN tetapi pada masa sama mereka juga akan kehilangan kerusi Batu Kurau dan Sungai Manik.

ANWAR - Foto Bernama

PH pula tiada masalah untuk mengekalkan 24 kerusi yang dimenangi sebelum ini iaitu DUN Kuala Kurau, Titi Serong, Kamunting, Pokok Assam, Aulong, Jalong, Canning, Tebing Tinggi, Pasir Pinji, Kepayang, Buntong, Jelapang, Menglembu, Tronoh, Pantai Remis, Astaka, Malim Nawar, Keranji, Simpang Pulai, Teja, Pasir Panjang, Pasir Bedamar, Sungkai, Behrang.

Bagaimanapun dua kerusi DUN di dalam Parlimen Tambun yang dimenangi sebelum ini iaitu Manjoi dan Hulu Kinta dijangka terlepas kepada parti lawan.

Sementara itu, PN pula dijangka mengekalkan tiga kerusi yang dimenangi calon Pas pada PRU lalu iaitu DUN Selama, Kubu Gajah dan Gunung Semanggol selain menambah tiga lagi kerusi iaitu Batu Kurau, Sungai Manik serta Manjoi. Jumlah kerusi bakal dimenangi parti bertanding ini mungkin boleh berubah dan bergantung kepada ‘peluru’ yang akan dikeluarkan sebelum kempen PRU15 berakhir.

Klik di sini untuk terus membaca