VLEUTEN - Pada setiap malam di Vleueten, sebuah bandar kecil di Belanda, Evert van Zijtveld akan menyalakan dua batang lilin di hadapan pintu rumahnya untuk memperingati dua anaknya.
Kira-kira lapan tahun yang lalu, dua anaknya, Frederique, 19, dan Robert-Jan, 18, antara 296 mangsa penumpang MH17 yang terkorban selepas pesawat itu yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine.
Kini, bapa berusia 67 tahun itu hanya mampu berharap keadilan dapat ditegakkan selepas keputusan akhir berhubung tragedi itu akan diputuskan pada Khamis ini.
"Mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17 sepatutnya dihumban ke dalam penjara.
"Komuniti antarabangsa perlu memburu keempat-empat tertuduh itu jika mereka disabit bersalah oleh mahkamah," tegasnya.
Tragedi itu masih meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada Van Zijtveld yang turut kehilangan dua ahli keluarga lain ketika kejadian menggemparkan tersebut.
"Marah bukanlah perkataan yang tepat untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Saya berasa sangat sedih. Anak-anak saya bersama ibu bapa mertua saya sedang dalam perjalanan untuk pergi bercuti ketika pesawat dinaiki mereka dibedil misil BUK.
"Mereka dibunuh tanpa perikemanusiaan," katanya yang turut terlibat dalam usaha membantu waris keluarga mangsa lain selain menubuhkan tabung bantuan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.
Pengecut
Sandee Essers, 72, yang tinggal di perkampungan Renkum di timur Belanda turut berkongsi kesedihan sama.
Dia kehilangan adiknya, Peter, 66, yang terkorban bersama isteri, Jolette Nuesink, 60, dan dua anak mereka, Emma, 20, serta Valentijn, 17.
"Kadangkala saya akan mendengar lagu kegemaran Peter untuk mengubati kerinduan kepadanya. Saya akan menangis apabila teringat tentang mereka sekeluarga.
Bagi Van Zijtveld dan Essers, apa jua keputusan hakim akan menjadi peristiwa penting kepada waris keluarga mangsa penumpang yang sabar menanti sejak lapan tahun lalu.
Perbicaraan yang bermula pada Mac 2020 itu turut menyaksikan sejumlah ahli keluarga mangsa penumpang tampil memberi keterangan dan berkongsi kisah sedih mereka yang kehilangan insan tersayang.
Van Zijtveld juga memberikan mesej tegas kepada keempat-empat defendan, Igor Girkin, Sergei Dubinskiy and Oleg Pulatov dan Ukrainian Leonid Kharchenko.
"Mereka sememangnya pengecut kerana tidak hadir di mahkamah. Saya tidak boleh menerima apa yang telah mereka lakukan. Saya tidak akan maafkan mereka sampai bila-bila," katanya sambil menahan kemarahan.
Sementara itu, Essers menggesa dalang yang terlibat menembak jatuh MH17 supaya tampil memberi penjelasan tentang apa yang berlaku pada hari kejadian.
"Anda perlu bertanggungjawab atas apa yang telah terjadi dan jadi orang bermaruah dengan munculkan diri.
"Tiada ruang untuk memberi kemaafan sehingga mereka menceritakan hal sebenar," tambahnya ketika diminta menyampaikan mesej kepada keempat-empat tertuduh. - AFP
Info
>Pada Khamis ini, hakim di mahkamah Belanda akan memberikan keputusan terhadap kes perbicaraan melibatkan empat tertuduh yang didakwa menembak jatuh MH17 di ruang udara wilayah timur Ukraine yang dikawal kumpulan pemisah pro-Rusia pada 2014.
>Prosiding itu diadakan di The Hague berikutan 196 daripada 298 mangsa penumpang ialah warga Belanda.
>Tiga tertuduh warga Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinskiy, Oleg Pulatov dan seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabit bersalah atas tuduhan membunuh dan menyebabkan nahas MH17.
>Pendakwa raya mendakwa kesemua tertuduh memainkan peranan utama membawa masuk sistem misil BUK ke Ukraine dari pangkalan tentera di Moscow.
>Peguam bela Pulatov berpendapat perbicaraan itu tidak adil kerana pendakwa raya gagal membuktikan misil BUK yang menembak jatuh pesawat itu dan turut mengemukakan 'senario alternatif' seperti jet milik Ukraine yang menembaknya.
>Kremlin menafikan ia terlibat dalam tragedi itu.
>Bahan forensik termasuk serpihan yang ditemui pada mayat mangsa penumpang membuktikan ia adalah misil BUK. Ia dikenal pasti melalui imej dan bukti media sosial yang menunjukkan misil tersebut dari Briged Peluru Berpandu Antipesawat ke-53 di Kursk, Rusia.
Klik di sini untuk terus membaca