SHAH ALAM - Berbaki empat hari sebelum hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini, semua calon dijangka bekerja keras kerana masa semakin suntuk apabila tiada gabungan parti dilihat berjaya menguasai pusingan pertama tempoh berkempen.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, berdasarkan pemerhatian, beliau berpandangan kempen sepanjang minggu lalu masih suram.
Namun, menurutnya, ‘drama’ melibatkan nama-nama besar pemimpin parti meraih perhatian rakyat.
"Bagaimanapun, perkembangan itu tidak menggambarkan kita bersedia berdepan PRU15 berdasarkan penglibatan atau penyertaan pengundi dan rakyat yang melihat bahawa demokrasi di negara kita ini kembali untuk diraikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah Tawfik, semua parti politik perlu bekerja keras pada minggu kedua kerana masa semakin singkat.
Sementara itu, penganalisis Politik dan Hubungan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula menyifatkan persaingan untuk PRU15 semakin rancak dan sengit, namun agak sukar untuk melihat parti mana yang lebih ke depan.
Justeru, katanya, strategi kempen dari rumah ke rumah penting untuk memenangi hati pengundi.
"Selain itu, platform media sosial juga penting. Banyak isu dibangkitkan dan serang-menyerang berlaku, selain dapat membincangkan isu dasar.
"Malah, ceramah juga dilihat sangat agresif terutama secara terbuka dan berkelompok,” ujar beliau.
Menurut Mohd Azizuddin, parti utama jelas dilihat menarik perhatian pengundi tetapi terdapat kawasan tertentu yang masih dalam proses untuk menyelesaikan masalah dalaman angkara lompat parti atau bertukar menjadi calon Bebas kerana ketidakpuasan hati.
"Susulan itu, dapat dilihat suasana yang agak mengelirukan kepada pengundi terutama melibatkan ahli politik hardcore.
"Apabila berlaku perubahan pencalonan menyebabkan pengundi keliru dan menunggu penjelasan daripada parti-parti politik,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca