SEJUMLAH 146,737 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasangan serta anak-anak mereka bakal mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Bagi anggota dan pegawai, sebanyak 153 pusat mengundi awal ATM telah diwartakan Suruhanjaya... Klik di sini untuk terus membaca

SEJUMLAH 146,737 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasangan serta anak-anak mereka bakal mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagi anggota dan pegawai, sebanyak 153 pusat mengundi awal ATM telah diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara dengan undian pos sudah bermula pada 7 November lalu.

Bagi bekas anggota tentera yang dianggarkan berjumlah 300,000 orang, mereka akan menjalani proses pengundian seperti mana rakyat negara ini pada 19 November.

Sekiranya dihitung jumlah warga ATM yang masih berkhidmat serta veteran dan ahli keluarga terdekat mereka, jumlahnya bukan sedikit.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan, trend ini tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

Perubahan ini mula berlaku dan dirasai impaknya pada PRU14.

Ia dapat dilihat di empat kerusi Parlimen yang dimenangi parti pembangkang ketika itu, dengan pengundi awal yang kebanyakannya terdiri daripada anggota polis dan tentera memberikan impak tidak diduga.

Perubahan polar sokongan daripada deposit tetap parti pemerintah ‘tradisional’ kepada parti-parti lain mungkin bermula pada tahun 2014, apabila apabila Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menyuarakan hasrat untuk mendapatkan penyelarasan pencen daripada kerajaan.

Menurut kajian, kira-kira 60 peratus veteran tentera di negara ini dikategorikan hidup susah dengan 95 peratus daripadanya dalam kalangan lain-lain pangkat yang menerima gaji rendah.

Sebagai panduan, pencen diterima mereka yang berpencen sebelum tahun 2004 ialah bawah RM1,000 manakala seorang pegawai waran yang pencen pada tahun 1990 hanya mendapat pencen RM500 ke RM600.

Untuk perbandingan, Survei Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022 dilaksanakan Jabatan Perangkaan, kadar garis kemiskinan peringkat nasional adalah RM2,208, manakala bagi miskin tegar sebanyak RM1,169.

Jika pencen seorang pegawai waran tamat perkhidmatan pada 1990 ialah RM500 ke RM600, jumlah yang didapati individu pencen Prebet pula meletakkan beliau dalam keadaan lebih buruk daripada miskin tegar!

Ini sememangnya tidak wajar bagi mereka yang menyabung nyawa untuk memastikan keadaan sentiasa aman, stabil dan makmur bagi membolehkan negara membangunkan infrastruktur dan ekonominya kepada tahap keselesaan dan kemewahan hari ini.

Dalam kalangan warga ATM yang masih berkhidmat, tentunya pendapat atau kegusaran mereka sukar untuk diketengahkan kepada umum memandangkan mereka adalah penjawat awam yang tertakluk kepada pelbagai perintah dan akta.

Walaupun demikian, sejak kebelakangan ini pihak pemerintahan tertinggi cabang ATM turut mengutarakan rasa terkilan dan memohon kewajaran kerajaan untuk memberi lebih tumpuan kepada perkara berkaitan ATM.

Paling utama adalah trend penurunan bajet pertahanan berterusan, contohnya dari 2016 sehingga 2018, dan jika adapun peningkatan tidak mencapai apa yang diharap dan disuarakan oleh kepimpinan tertinggi ATM.

Penurunan bajet pertahanan berterusan untuk sesuatu tempoh masa lazimnya akan menyebabkan kemampuan aset dan kelengkapan hakiki ATM yang dianggap mempunyai nilai strategik, seperti sistem radar pengawasan, pesawat tempur, kapal tempur, kereta kebal, pelancar roket berganda dan sistem artileri bakal menerima impaknya.

Malah menurut seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), bajet RM17.4 bilion yang diperuntukkan bagi tahun 2023 tidak cukup untuk membekalkan peralatan baharu kepada ATM bagi menghadapi cabaran geopolitik di rantau Asiia Tenggara hari ini.

Malah, dalam satu perbincangan melalui media elektronik alternatif tahun ini, seorang Panglima cabang ATM telah menzahirkan kekecewaan mengenai kerajaan yang menurut pandangan beliau telah mengabaikan pertahanan negara.

Selain itu, beliau turut menyentuh masalah rasuah yang kembali bermaharajalela menyebabkan program-program yang sepatutnya memberi anjakan kuasa tempur kepada ATM telah terkesan.

Pada PRU kali ini, sekali lagi janji-janji manis ditaburkan kepada golongan veteran dan tentera.

Mana-mana pihak yang bakal mendapat mandat rakyat pada PRU15 semestinya memastikan janji manis mereka kepada dua golongan ini tidak hanya ibarat tin kosong.

Pihak yang memerintah jangan ‘umpama kacang lupakan kulit’ dan melayan golongan veteran ‘umpama tebu, habis manis sepah dibuang’.

*Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca