SHAH ALAM - Kajian firma penyelidikan O2 Research Malaysia (O2) mendapati masih belum ada mana-mana parti mendominasi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun sudah lebih seminggu berlangsung.
Ketua Penyelidik O2, Anis Anwar Suhaimi berkata, berdasarkan pemerhatian, kedudukan setiap parti dilihat berbeza mengikut kawasan, dengan dipengaruhi kekuatan akar umbi parti, populariti calon Parlimen dan strategi kempen yang diguna pakai.
"Antara contoh kempen menarik melibatkan perang papan iklan di Parlimen Tambun antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilingkari dengan elemen humor serta sinikal.
"Di Sungai Buloh dan Kuala Selangor menunjukkan figura pemimpin nasional popular seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menenggelamkan populariti pihak lawan di Parlimen masing-masing.
Anis Anwar turut berpandangan, calon dilihat menonjol ketika ini ialah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli daripada PH, Tengku Zafrul dan Khairy Jamaluddin, masing-masing BN.
Ujarnya, setiap parti memiliki pendekatan tersendiri dalam menaikkan calon-calonnya.
"Misalnya bagi PH, Rafizi menjadi wajah utama yang cuba membawa arus sokongan kepada partinya melalui siri pendedahan berserta kempen DAP yang banyak mendapat kritikan pengundi seperti kesalahan peribahasa dan ‘sepanduk’ dengan ‘pelanduk’.
"Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga antara calon BN yang aktif melakukan jelajah seluruh negara dengan pembawaan imej pemimpin berkarisma.
"Beliau antara pemimpin BN aktif guna TikTok sebagai platform mendekati generasi Z (Gen Z),” jelasnya.
Beliau berkata, setiap pendekatan kempen memiliki kelebihan tersendiri dalam menaikkan ‘mood’ pilihan raya dan menarik perhatian pengundi.
"Kempen fizikal berperanan penting menarik sokongan masyarakat tempatan, manakala media sosial berupaya menarik pengundi luar dan atas pagar,” katanya.
O2 juga menjangkakan setiap parti masih memiliki peluang setara dalam persaingan PRU15 kerana masih belum jelas sebuah parti manakah yang mampu membentuk kerajaan tunggal.
"Setiap parti memiliki cabaran berkaitan pengundi untuk menang. PH masih bergelut untuk meraih kembali sokongan pengundi populis mereka setelah pentadbiran 22 bulan gagal membuktikan hasil,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca