KALI terakhir Presiden Rusia, Vladimir Putin mendapati dirinya 'dipinggirkan' adalah pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brisbane, Australia pada tahun 2014 iaitu tidak lama selepas negaranya merampas Crimea bersebelahan dengan Ukraine.
Kira-kira lapan tahun kemudian, selepas melancarkan serangan berskala penuh di Ukraine pada Februari lalu dan terdapat desas-desus Rusia akan menggunakan senjata nuklear di negara tersebut, Putin yang berusia 70 tahun itu memilih untuk tidak menghadiri mesyuarat G20 ke-17 yang bermula pada 15 hingga 16 November di Bali, Indonesia.
Pada Ogos lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo menyatakan bahawa Putin merancang untuk menghadiri sidang tersebut.
Namun, pada 8 November lalu ketika diwawancara oleh akhbar Financial Times, Widodo yang terkenal dengan panggilan Jokowi menyatakan beliau dapat merasakan bahawa rakan sejawatannya dari Rusia itu tidak akan menghadirinya.
Selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, tuan rumah sidang kemuncak G20 itu kemudian telah mengesahkan bahawa Putin tidak menghadiri perhimpunan 20 negara ekonomi terbesar dunia itu dan kehadirannya itu diwakilkan kepada Menteri Luarnya, Sergey Lavrov.
Sebelum ini, Lavrov telah keluar daripada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar G20 di Bali pada awal Julai lalu selepas menteri-menteri luar dari negara-negara Barat yang menjadi anggota kumpulan ekonomi terbesar dunia itu mengecam serangan Rusia ke atas Ukraine.
Namun, pemerhati-pemerhati berkata, Moscow sedang berusaha untuk melindungi pemimpin Rusia itu daripada ribut kecaman di Indonesia tetapi ketidakhadiran Putin berisiko mengasingkan lagi negara yang sudah dikenakan sekatan Barat yang belum pernah berlaku sebelum ini.
TIDAK MAHU DIMALUKAN
Alexei Malashenko iaitu Ketua Penyelidik Dialogue of Civilisations Institute atau Institut Dialog Peradaban di Moscow berkata, Putin tidak mahu dimalukan secara terbuka sekali lagi sambil mengingati bahawa pada Sidang Kemuncak G20 di Brisbane pada tahun 2014, Presiden Rusia tersebut diletakkan di sudut jauh ketika bergambar beramai-ramai bersama para pemimpin asing.
"Pada sidang kemuncak itu, anda perlu bercakap dengan orang ramai dan bergambar," kata Malashenko seperti dilaporkan AFP.
Perhimpunan G20 pasti akan dibayangi oleh serangan Moscow di Ukraine yang telah mengejutkan pasaran tenaga global dan mencetuskan masalah kekurangan makanan global kerana negara yang diserang oleh Rusia itu ialah pengeluar utama gandum serta barli.
"Kedudukan beliau terkenal, ia (keputusan menceroboh Ukraine) tidak akan berubah. Jadi, apakah gunanya pergi (Sidang Kemuncak G20 di Bali)?," kata Lukyanov yang merupakan editor jurnal Russia in Global Affairs seperti dilaporkan AFP.
Moscow tidak menyatakan apa yang mendorong pemimpin Rusia tersebut menghadiri salah satu sidang kemuncak global berprofil tinggi itu bagaimanapun Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky akan menyertai perhimpunan berkenaan secara maya.
Seorang penganalisis politik, Konstantin Kalachev berkata, keengganan Putin untuk pergi ke Bali mencerminkan 'rasa buntunya' mengenai Ukraine dan Putin tidak mempunyai cadangan yang boleh memuaskan hati tentang konflik tersebut.
Walaupun menggerakkan ratusan ribu pasukan simpanan pada September lalu, Rusia telah bertindak dengan mengundurkan tenteranya dari wilayah timur laut Kharkiv di Ukraine baru-baru ini dengan askar-askrnya berundur dari bandar pelabuhan selatan, Kherson.
Dijauhi oleh ramai pemimpin Barat, Putin berusaha untuk mengeratkan hubungan dengan negara-negara yang secara tradisinya menikmati hubungan baik dengan Moscow atau yang juga menentang dominasi Amerika Syarikat (AS) dalam hal ehwal global.
"Pada pandangan Putin, keengganannya untuk menghadiri sidang kemuncak G20 tidak akan menghalang Rusia daripada membina hubungan dengan negara-negara berkecuali. Putin percaya bahawa barisan anti-Amerika Rusia mendapat banyak sokongan,” kata Tatiana Stanovaya iaitu pengasas sebuah firma analisis politik, R. Politik seperti dilaporkan AFP.
Stanovaya menegaskan bahawa Putin telah mencari sekutu-sekutunya di Afrika, Asia dan Timur Tengah dan cuba membina pakatan anti-Barat.
Ramai pemerhati politik berasa ragu-ragu bahawa perang ke atas Ukraine akan berjaya dan selepas Putin menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari lalu, tiada negara besar telah bersatu di belakang Rusia termasuk China.
Serangan Rusia ke atas Ukraine juga menakutkan jiran-jiran Moscow di Asia Tengah.
Dalam pada itu, Kalachev berkata konfrontasi Rusia dengan Barat telah mendorongnya dipinggirkan secara politik di peringkat global.
"Rusia bukan lagi sebahagian daripada agenda dunia," katanya seperti dilaporkan AFP. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca