SHAH ALAM - Beberapa mesej mengenai isu pengundian tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp telah mengelirukan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.
Satu daripada mesej tersebut ialah waktu atau masa mengundi yang disarankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut mesej tular itu, jika gagal mematuhi waktu yang ditetapkan maka seorang pengundi tidak dibenarkan untuk mengundi.
Bagaimanapun, sebenarnya ia merupakan saranan daripada SPR bertujuan untuk mengelakkan kesesakan di pusat pengundian.
Untuk itu, pengundi boleh membuat semakan waktu saranan tersebut menerusi aplikasi MySPR.
Sebaliknya, pengundi masih boleh mengundi bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan. Pengundi juga dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat akhir.
Dalam satu rakaman video, individu terbabit menunjukkan contoh kertas undi yang boleh menyebabkan wujud tanda pada bahagian pengundian apabila kertas undi tersebut dilipat.
Lelaki itu berkata, ia menyebabkan pengundi tidak boleh menanda pada bahagian lain dan ia boleh dikira sebagai kertas undi rosak.
Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak SPR berhubung perkara tersebut.
Begitu juga dengan isu, pengundi pos luar negara yang masih belum menerima kertas undi mereka dan timbul kebimbangan kertas undi tidak tiba pada waktunya.
Antara isu-isu lain yang berbangkit ialah mengenai persediaan SPR sekiranya banjir berlaku.
Ini kerana pengundi ingin mengetahui tindakan atau langkah yang perlu dilakukan pada hari mengundi.
Sehubungan itu, pihak SPR sepatutnya memberikan penerangan dari masa ke masa bagi memudahkan pengundi.
Klik di sini untuk terus membaca