SAINTIS memberi amaran pemanasan global yang melebihi nilai ambang berisiko menjadikan bumi tidak boleh lagi didiami.
Menjelang akhir dekad ini, trend semasa dijangka menyaksikan pencemaran karbon meningkat 10 peratus, manakala kepanasan permukaan bumi naik kepada 2.8 darjah Celsius, lantaran mencetus pelbagai kebimbangan.
Di seluruh dunia, dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai bencana berkait cuaca telah meragut ribuan nyawa selain menyebabkan berjuta-juta penduduk hilang tempat tinggal dan kerugian mencecah berbilion ringgit.
Ini termasuk insiden banjir besar di Pakistan dan Nigeria, kemarau buruk di Afrika serta barat Amerika Syarikat, taufan membadai Caribbean dan gelombang haba melanda tiga benua yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Malah, di Filipina Laporan Iklim dan Pembangunan Negara bagi Filipina memberi amaran negara kepulauan itu terdedah kepada kenaikan paras laut yang mengancam hampir separuh daripada 110 juta penduduknya yang tinggal di kawasan bandar dan kawasan pantai.
Maka, kemuncak iklim bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP27 yang kini sedang berlangsung tidak mempunyai banyak pilihan, mereka perlu meletak asas kukuh untuk tindakan lebih pantas serta berani dalam perjuangan menangani isu iklim global yang semakin genting untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kepada 45 peratus menjelang 2030 dalam usaha mengehadkan pemanasan global pada paras 1.5 darjah Celsius.
Namun, usaha ini menjadi sukar dengan keadaan dunia yang dilanda krisis ekonomi, peperangan dan pergolakan sedangkan isu perubahan iklim memerlukan nilai pelaburan serta peruntukan yang tinggi.
Menurut PBB, menjelang 2030, saban tahun negara membangun dan sedang membangun tidak termasuk China, memerlukan pelaburan lebih AS$2 trilion (RM9.48 trilion) jika dunia mahu menghentikan ancaman pemanasan global yang kian serius serta menangani kesannya.
Menurut sidang kemuncak iklim PBB di Glasgow pada 2021 (COP26) serta COP27 yang sedang berlangsung di Sharm El Sheikh, Mesir, dana bernilai AS$1 trilion (RM4.74 trilion) itu perlu datang daripada negara kaya, pelabur dan bank pembangunan pelbagai hala, manakala baki AS$1.4 trilion (RM6.63 trilion) lagi perlu diperoleh secara domestik daripada sumber swasta dan awam.
Hakikatnya, sumber kewangan ini penting untuk pasaran baharu serta negara membangun untuk menyokong tindakan memulihkan tanah dan alam semula jadi, selain bagi melindungi serta bertindak balas terhadap kerugian dan kerosakan akibat kesan perubahan iklim.
Lantaran itu, adalah penting untuk mengemukakan sasaran, namun lebih penting lagi mengubah sasaran menjadi tindakan.
Pada tahun 2009, kumpulan negara berjanji untuk menyediakan dana berjumlah AS$100 bilion (RM472 bilion) setahun menjelang 2020 untuk membantu negara membangun menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
Hakikatnya, dana dan pelaburan mencukupi sangat diperlukan merentasi tiga bidang besar dalam isu perubahan iklim global iaitu pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang mendorong pemanasan (mitigasi), menyesuaikan diri dengan kesan iklim masa depan (adaptasi), dan memberi pampasan kepada negara miskin serta rentan atas kemusnahan sudah berlaku yang tidak dapat dielakkan (kerugian dan kerosakan).
Tindakan dasar dan pelaburan melalui langkah-langkah pintar iklim mampu mengurangkan dua pertiga daripada kesan negatif iklim.
Justeru, tumpuan harus diberikan terhadap pelan tindakan pelaburan bagi menghijaukan ekonomi global secara pantas ke arah memenuhi matlamat Perjanjian Iklim Paris yang mengehadkan kenaikan suhu global kepada bawah 2.0 darjah Celcius dan seboleh-bolehnya pada 1.5 darjah Celsius.
Tindakan ini sangat penting kerana negara kaya harus sedar bahawa pelaburan tersebut juga adalah demi kepentingan mereka.
Apatah lagi bila menyentuh berkaitan aspek keadilan, memandangkan kesan serius pelepasan gas rumah hijau terutama karbon ketika ini turut disumbangkan oleh tindak tanduk mereka yang mengeksploitasi alam sekitar secara keterlaluan pada masa lalu.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca