BIARPUN isu pendidikan di negara ini dilihat tidak menjadi ‘modal’ utama pada kempen PRU15, namun ia tetap dilihat sebagai antara isu penting yang perlu diperjuangkan selain ditambah baik dari semasa ke semasa.
Malah sudah tiba masanya untuk bidang pendidikan di negara ini memerlukan satu model pendidikan yang baharu (New Education Model) dalam usaha memperbaiki keadaan sedia ada.
Ikuti temubual Sinar Harian bersama bekas Menteri Pendidikan, yang juga merupakan penyandang bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berhubung perkara berkenaan.
SINAR HARIAN: Sebagai bekas Menteri Pendidikan, bagaimana Dr melihat isu pendidikan diperkatakan sepanjang tempoh berkempen pada PRU15.
MASZLEE: Pertama sekali kita lihat isu pendidikan ini tidak menjadi modal utama bagi pihak Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Manifesto mereka lebih kepada ‘gula-gula’ dan bukan bercorak untuk memperbaiki keadaan pendidikan sedia ada. Sebab itulah dalam tawaran Pakatan Harapan (PH), kita letakkan isu lost generation dan lost learning sebagai keutamaan kita. Kita tahu selepas pandemik Covid-19, ramai pelajar yang ponteng dan tidak pergi ke sekolah manakala murid di Tahun 1 dan 3 pula yang dilihat bergelut untuk membaca, menulis dan mengira. Oleh itu, kita juga telah mempunyai satu pelan yang komprehensif dan holistik yang dinamakan New Education Model yang pernah kita sediakan pada 2019 lalu. Sepatutnya pada 2020 ia dibawa ke kabinet untuk kelulusan sebelum dilaksanakan pada 2021, tetapi, setelah pertukaran kerajaan, ia tidak dilaksanakan sehingga ke hari ini.
SINAR HARIAN: Boleh Dr terangkan lebih lanjut mengenai New Education Model?
MASZLEE: Ia merupakan pelan yang ingin kita bawakan untuk ubah landskap pendidikan negara dan menjadikan pendidikan kita berkualiti dunia. Kalau dari segi sains dan matematik setaraf Singapura, dari segi disiplin dan nilai, setaraf Jepun, dari segi pendidikan vokasional bertaraf Jerman dan dari segi perguruan dan persekolahan setaraf dengan Finland. Adakah benda ini terlalu mustahil?
Kita kata tidak! Kerana kita pernah mulakan dan ia hanya perlu diluluskan di kabinet untuk dilaksanakan. Yang terlibat melaksanakan pelan ini adalah pakar-pakar daripada pelbagai bidang. Harapan kita supaya, pelan ini boleh selamatkan pendidikan rakyat Malaysia dan kita bawa pendidikan negara ke satu tahap yang baharu.
Tetapi, semua ini perlu bermula dengan guru-guru dikembalikan kepada tugas hakiki mereka iaitu untuk mendidik dan membentuk kemenjadian murid. Mereka tidak boleh lagi dibebankan dengan kerja-kerja pengkeranian dan tidak berkaitan dengan tugas hakiki mereka. Lebih penting, ramai guru yang dibebani dengan tugas-tugas lain dan ditekan menyebabkan mereka rasa lesu, lemah semangat dan ramai yang ingin bersara awal. Ini isu utama yang perlu kita lihat pelan jangka panjang pendidikan pasca Covid-19 seperti yang dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong dan itu perlu dilaksanakan.
Apa antara perkara yang perlu ditambah dalam sistem pendidikan di negara kita?
MASZLEE: Pertama, kita perlu melihat pendidikan kita perlu berpaksikan kepada pendidikan abad ke-21 (PAK21) yang meraikan perkembangan semasa dan perubahan kepada ekonomi, teknologi dan juga pemikiran.
Jadi pendidikan kita juga perlu bertujuan untuk mencungkil potensi setiap murid dan memastikan agar mereka disasarkan dalam bidang menurut kemampuan, minat dan bakat mereka. Ini untuk elakkan ‘miss match’, ketika mereka pilih kursus di peringkat pengajian tinggi dan juga kerjaya di masa hadapan. Kita telah mulakannya dengan menggunakan artificial intelligence, deep analytics dan big data bagi memperbaiki sistem pendidikan kita. Kita pernah mulakannya pada 2019 apabila kita tubuhkan jawatankuasa data raya di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), malangnya, jawatankuasa ini dihentikan setelah bertukar kerajaan pada 2020. Dia tak nak laksanakan tidak mengapa, tetapi kemukakanlah yang lebih baik kerana perkara ini merisaukan kita dengan masa depan khususnya melibatkan pendidikan anak-anak...tambahan pula pada pasca Covid ini sepatutnya lebih kepada intervensi (campur tangan) yang serius, tetapi kita tidak nampak apa-apa...bahkan mereka ‘bussiness as usual’.
Boleh Dr terangkan mengenai artificial intelligence, deep analytics dan big data?
MASZLEE: Sebagai contoh, bila seorang pelajar nak ambil bidang perubatan dia akan dibantu oleh artificial intelligence (sebelum ini ikut pilihan ibu bapa atau kaunselor) berdasarkan big data yang kita ada mengenai pelajar itu yang dikumpulkan sejak dari pra sekolah lagi. Kerana dapat straight A dalam peperiksaan, ibu-bapa saran ambil medic (perubatan), tetapi bila tengok data yang dikumpulkan, kecenderungan pelajar itu berbeza dan ia berdasarkan juga kepada perbezaan unjuran ekonomi (deep analytics) pada masa akan datang.
Sebagai contoh, jika semua nak ambil medic, tetapi peluang pekerjaan dalam bidang itu sendiri sangat terhad. Maka, kita perlukan skil-skil lain. Secara keseluruhannya, bila pelajar nak pilih bidang, dia akan dibimbing agar bidang yang dipilihnya memenuhi tuntutan pekerjaan pada masa hadapan.
Bagaimana Dr melihat kepada isu keciciran pelajar dan apakah perancangan bagi mereka?
MASZLEE: Jika kita lihat di zaman saya berada di KPM dulu, kita laksanakan kempen keciciran sifar dengan adakan ziarah cakna dan lakukan pelbagai cara untuk tarik pelajar ke sekolah. Antaranya dengan program sarapan percuma dan ia turut dimasukkan dalam manifesto PH ketika itu. Sarapan percuma ini, selain bertujuan menarik semua pelajar ke sekolah ia juga mempunyai nilai-nilai sivik dan menjimatkan ibu bapa.
Kita cuba laksanakannya pada 2020 kerana mengikut pandangan beberapa pakar ekonomi, keluarga di negara ini bakal mendapat penjimatan sehingga RM2.7 billion dengan adanya program sarapan percuma ini.
Selain memastikan anak-anak kita mendapat makanan bergizi, berkhasiat, mereka juga akan menyediakan, makan dan mengemas bersama-sama tanpa mengira darjat, pendapatan, bangsa dan agama.
Mereka juga diajar mengenai adab makan, pengurusan waktu makan dan diajar pengurusan sisa makanan dan ini akan berlaku di sepanjang mereka berada di sekolah. Ada yang kata, benda ni sukar dilaksanakan tetapi kita kata di Jepun dah dilaksanakan berdekad lamanya, di negara-negara maju yang lain seperti United Kingdom dan Finland juga sudah dilaksanakan. Di Jepun, kita lihat sejak dua tiga generasi berlalu, rakyatnya sekarang ini lebih tinggi, lebih berkhasiat, lebih cergas, lebih sihat.
Pada pendapat Dr, apakah masalah sebenar dalam sistem pendidikan kita?
MASZLEE: Bagi saya, masalah yang kita hadapi hari ini adalah kebanyakan dasar (pendidikan) kita masih bersandarkan keadaan sosio politik ekonomi 90-an, sedangkan keadaan ekonomi ketika ini sudah jauh berubah. Kita ada Revolusi 4.0.
Sekarang ni pun semuanya dalam talian (online) dan tak ikut konvensional lagi. Oleh itu, semua perkara ini perlu diambil kira bagi merangka pelan pendidikan jangka panjang pasca Covid-19, iaitu minat dan peluang pekerjaan perlu selari dengan unjuran ekonomi pada masa hadapan.
Konsep ini bukan sahaja perlu dipetakan kepada peringkat pendidikan tinggi, tetapi perlu dimulakan di peringkat pendidikan dasar. Kalau kita masih berada di takuk lama dalam kerangka sosio ekonomi politik 90-an, kita akan ketinggalan.
Pada pasca Covid-19, berdasarkan laporan antarabangsa, Malaysia merupakan antara negara tercorot dalam bidang pendidikan.
Jadi kita perlu kepada perubahan yang komprehensif dan holistik. Maka, nak atau tidak, kita perlu kepada PH kembali ke Putrajaya dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kembali kepada PH kerana memiliki dasar pendidikan yang lebih baik dan jelas.
Klik di sini untuk terus membaca