SHAH ALAM - Soal selidik yang dijalankan Sinar Harian menerusi platform media sosial Instagram dan Twitter mendapati netizen memilih Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai parti paling menonjol menerusi kempen secara dalam talian.
Berdasarkan undian bagi tempoh 24 jam bermula pada Ahad, di Instagram sebanyak 2,084 undian atau 42 peratus memilih PN, diikuti PH dengan 1,737 undian (35 peratus), BN 1,039 undian (21 peratus) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dengan 24 undian (satu peratus).
Di Twitter, PH mendahului dengan 56 peratus, PN (29 peratus), BN (13 peratus) dan GTA (dua peratus).
Dalam pada itu, Sinar Harian mendapati responden lebih memilih TikTok dan Facebook sebagai platform berkempen paling popular digunakan oleh calon-calon bertanding.
Di Instagram, 37 peratus undian memilih TikTok, diikuti Facebook (33 peratus), Instagram (23 peratus) dan Twitter (tujuh peratus).
Namun, soal selidik di Twitter menunjukkan Facebook mendapat undian tertinggi dengan 48 peratus, seterusnya TikTok (29 peratus), Twitter (23 peratus) dan Instagram (satu peratus).
Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat mengenai kempen dan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebanyak 68 peratus responden di Instagram memilih untuk membaca secara dalam talian, siaran langsung (26 peratus) dan menghadiri ceramah (tujuh peratus).
Seterusnya di Twitter, kadar responden yang gemar membaca secara dalam talian adalah 60 peratus, siaran langsung (36 peratus) dan menghadiri ceramah (empat peratus).
Undian di platform Twitter dan Instagram itu merangkumi tiga soalan iaitu parti mana dilihat menonjol dalam kempen secara dalam talian, platform dalam talian mana paling popular digunakan oleh calon-calon bertanding dan kaedah dipilih untuk mendapatkan maklumat.
Sementara itu, sejak 19 September lalu, lima media pelbagai bahasa iaitu Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban turut mengambil inisiatif mengadakan Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15.
Kaji selidik mega berakhir 9 Oktober lalu telah mendapat kerjasama tiga firma penyelidik yang terlibat iaitu Ilham Centre, Huayan Policy Institute Centre dan o2 Research Malaysia (O2).
Klik di sini untuk terus membaca