BAGI menganalisis peluang calon-calon bertanding di kerusi-kerusi 'panas' sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sinar Premium menggunakan sistem skor kad untuk menilai prestasi, populariti dan peluang mereka untuk... Klik di sini untuk terus membaca

BAGI menganalisis peluang calon-calon bertanding di kerusi-kerusi 'panas' sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sinar Premium menggunakan sistem skor kad untuk menilai prestasi, populariti dan peluang mereka untuk memenanginya.

Sistem skor kad ini adalah berteraskan kaedah penilaian lima faktor penting yang terdapat pada calon dan parti diwakilinya seperti imej dan populariti calon, kekuatan parti di kawasan, pengaruh calon dalam parti, tawaran manifesto kawasan dan peluang calon untuk menang.

Setiap kriteria penilaian diukur daripada rating satu hingga lima bintang yang mewakili biasa sehingga sangat cemerlang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerusi Parlimen Sungai Buloh dengan tidak semena-mena menjadi salah satu kerusi 'panas' susulan ia ditandingi oleh bintang Barisan Nasional (BN) yang telah 'disisihkan' pucuk kepimpinan parti iaitu Khairy Jamaluddin.

Berdepan pertandingan tujuh penjuru, Khairy atau lebih dikenali KJ bakal menghadapi cabaran Datuk R Ramanan (Pakatan Harapan atau PH); Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional atau PN); Mohd Akmal Mohd Yusof (Parti Pejuang Tanah Air atau Pejuang); Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia atau PRM) dan dua calon Bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.

Kerusi Parlimen itu dianggap kubu kuat PH bagi tiga penggal berturut-turut dengan bekas peyandangnya, R Sivarasa memenanginya pada PRU14 dengan majoriti 26,634 undi.

Bagi menganalisis peluang calon-calon memenangi kerusi Sungai Buloh, penganalisis politik veteran, Dr Ahmad Atory Husain mengambil kira faktor imej dan populariti calon, kekuatan parti di kawasan, pengaruh calon dalam parti, tawaran manifesto kawasan dan peluang calon dalam mencongak kemampuan mereka kelak.

IMEJ DAN POPULARITI

Dari sudut imej dan populariti, Khairy, 46, yang merupakan Menteri Kesihatan sudah pasti mempunyai kelebihan besar berbanding calon-calon pencabar lain termasuk Ramanan sendiri.

Imej KJ yang popular dan menangkap imaginasi golongan muda sejak beliau memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan sememangnya memberi nilai tambah kepadanya.

Selain itu, kajian Huayan Policy Institute Centre for Malaysia Chinese Studies (Huayan) turut menunjukkan KJ berada pada kedudukan kedua bagi calon pilihan Perdana Menteri bagi kaum Cina selepas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, imej Ramanan sebagai pengganti Sivarasa yang digugurkan PKR, pula boleh dikatakan sangat popular dalam kalangan kaum India di negara ini.

Ramanan, 41, yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, adalah merupakan cucu kepada pejuang MIC, Tan Sri Devaki Krishnan iaitu wanita pertama yang memegang jawatan awam di Tanah Melayu sebelum merdeka, apabila dipilih sebagai Ahli Majlis Perbandaran Bangsar pada 1952.

Pernah memegang jawatan Bendahari sewaktu bersama MIC, populariti Ramanan dalam kalangan hampir 15 peratus pengundi India di Parlimen Sungai Buloh dijangka memberi kelebihan kepadanya untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu.

Bagi calon PN iaitu Mohd Ghazali, 60, faktor calon anak tempatan mungkin memberi kelebihan kepada beliau berbanding calon-calon lebih terkemuka seperti KJ dan Ramanan.

Khairy menunjukkan nama kerusi Sungai Buloh yang diberikan kepadanya. (Gambar kanan: Ramanan)

KEKUATAN PARTI DI KAWASAN

Bagi menilai kekuatan parti di Parlimen Sungai Buloh, tidak keterlaluan untuk diunjurkan PH mempunyai kelebihan di kerusi itu susulan kejayaan koalisi itu mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan sejak tiga penggal berturut-turut.

Dengan kemenangan majoriti besar melebihi 26,000 undi ditambah dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Sungai Buloh iaitu Kota Damansara dan Paya Jaras dimenangi calon PH pada PRU14, tidak mustahil Ramanan mampu mengekalkan kerusi 'panas' milik PH selepas PRU15.

Dari sudut BN pula, cengkaman parti itu di kerusi Parlimen Sungai Buloh yang bersifat separa bandar semakin melemah selepas PRU12. Merupakan kerusi kuota MIC, nasib BN mungkin berubah apabila parti itu bersetuju untuk menyerahkan kerusi berkenaan kepada UMNO.

Ditambah kehadiran KJ, bekas Ahli Parlimen Rembau itu mungkin mampu mencipta keajaiban dengan memenangi kerusi berkenaan pada PRU15.

Untuk PN, kerusi Sungai Buloh bukanlah sebuah kerusi yang menjadi tunjang kekuatan Pas, mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Bagi Pejuang, PRM dan calon-calon Bebas pula, peluang mereka masih menjadi tanda-tanya susulan baharu pertama kali menyertai pilihan raya.

PENGARUH DALAM PARTI

Pengaruh KJ dalam UMNO-BN sememangnya tidak boleh disangkal lagi apabila beliau dianggap sebagai bintang pemimpin masa hadapan parti itu.

Pernah memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO dan bertanding pemilihan Presiden UMNO pada tahun 2018, KJ juga dilabel 'budak nakal' dalam parti apabila secara terbuka bersikap tidak sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Meletakkan KJ di kerusi Sungai Buloh dilihat penganalisis politik sebagai usaha membunuh karier politiknya. Namun sekiranya beliau mencipta kejutan, pastinya tekanan kembali terletak di bahu pucuk kepimpinan UMNO menjelang pemilihan parti itu kira-kira enam bulan dari sekarang.

Bagi Ramanan pula, hubungan baik terjalin di antara beliau dan Anwar dilihat faktor utama bekas pemimpin MIC itu diberikan peluang menggantikan Sivarasa di Sungai Buloh.

Bagaimanapun, timbul tanda-tanya sama ada beliau akan dikekalkan bertanding di kerusi itu beberapa hari sebelum hari penamaan calon susulan KJ mengisytiharkan dirinya bertanding di situ.

Bahkan terdapat spekulasi mengatakan Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli dan Anwar tidak sepakat dalam menentukan siapa paling layak bertanding di kerusi itu di antara Ramanan dan Sivarasa sendiri.

Dengan Ramanan akhirnya dipilih untuk kekal menjadi calon PH, peluang beliau mengekalkan kerusi itu masih lagi 50-50 susulan kehadiran KJ.

TAWARAN MANIFESTO KAWASAN

Sebagai calon luar kawasan, KJ menyedari penawaran manifesto pilihan raya khas untuk Parlimen Sungai Buloh amat penting bagi menggamit sokongan pengundi kawasan itu kelak.

Berikutan itu, KJ memperkenalkan manifesto bertemakan Kita Jaga Sungai Buloh dan Kita Jaya Malaysia yang meletakkan empat teras utama iaitu Sejahtera Sungai Buloh, Digital Sungai Buloh, Sihat Sungai Buloh dan Lestari Sungai Buloh.

Antara janji KJ dalam manifesto itu adalah melaksanakan projek mitigasi banjir, memperluaskan jaringan pengangkutan antara kawasan perumahan dengan stesen-stesen keretapi dalam Sungai Buloh, memperluaskan capaian internet 5G dan kemudahan akses terbaik kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Bagi Ramanan pula, beliau mengikut jejak langkah Anwar dengan berjanji tidak akan mengambil elaun Ahli Parlimen dan akan menyerahkan keseluruhan kemudahan itu kepada penduduk Sungai Buloh sekiranya menang PRU15.

Beliau turut berjanji akan menyelesaikan masalah tempatan di Sungai Buloh seperti menambah baik infrastruktur seperti jalan raya.

Untuk calon PN iaitu Mohd Ghazali, beliau nekad untuk membawa isu kemiskinan bandar di Sungai Buloh ke Parlimen sekiranya diberi peluang.

PELUANG MENANG PRU15

Bagi menilai peluang kemenangan calon-calon di kerusi Sungai Buloh, Ramanan dilihat memiliki kelebihan untuk mengekalkan kemenangan kerusi berkenaan di tangan PH.

Berbekal undi majoriti lebih 26,000 undi serta kerusi berkenaan diklasifikasikan kerusi separa bandar yang menyaksikan undi bukan Melayu melebihi 35 peratus, Ramanan hanya memerlukan tambahan sekurang-kurangnya lima hingga 10 peratus pengundi Melayu untuk menang dalam pertandingan tujuh penjuru itu.

Bagaimanapun, peluang BN untuk menang di kerusi berkenaan melalui KJ tidak boleh dipandang ringan. Dengan BN pertama kali meletakkan calon Melayu di kerusi berkenaan, ia mungkin menjadi pemangkin kepada parti itu untuk meraih sokongan lebih 60 peratus pengundi Melayu.

Bagi PN dan Pejuang pula, parti-parti ini memerlukan keajaiban sokongan majoriti pengundi Melayu berpihak kepada mereka dan menolak BN dan PH untuk menang.

Klik di sini untuk terus membaca