BAGI menganalisis peluang calon-calon bertanding di kerusi-kerusi 'panas' sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sinar Premium menggunakan sistem skor kad untuk menilai prestasi, populariti dan peluang mereka untuk... Klik di sini untuk terus membaca

BAGI menganalisis peluang calon-calon bertanding di kerusi-kerusi 'panas' sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sinar Premium menggunakan sistem skor kad untuk menilai prestasi, populariti dan peluang mereka untuk memenanginya.

Sistem skor kad ini adalah berteraskan kaedah penilaian lima faktor penting yang terdapat pada calon dan parti diwakilinya seperti imej dan populariti calon, kekuatan parti di kawasan, pengaruh calon dalam parti, tawaran manifesto kawasan dan peluang calon untuk menang.

Setiap kriteria penilaian diukur daripada rating satu hingga lima bintang yang mewakili biasa sehingga sangat cemerlang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerusi Parlimen Gombak bakal menyaksikan pertembungan sengit di antara tok guru dan bekas anak muridnya iaitu penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN) serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari daripada Pakatan Harapan (PH).

Selain dua figura politik popular itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Aziz Jamaludin Mohd Tahir (Putra) dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad turut mengintai peluang merampas kerusi panas itu.

Kerusi Gombak dianggap unik kerana dimenangi Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN selama tiga penggal berturut-turut, tetapi atas tiket Pakatan Rakyat (PR) dan PH sebelum ini.

Berikutan itu, PRU15 bakal menjadi pentas penentuan sama ada faktor penguasaan Menteri Kanan (Ekonomi) di kerusi itu adalah atas populariti beliau sendiri atau hanya sekadar didukung sentimen PH sebelum ini.

Dengan peningkatan pengundi berdaftar yang agak signifikan, iaitu daripada 141,112 kepada 206,744, berkemungkinan besar jumlah undi majoriti seperti diperoleh Mohamed Azmin pada 2018 iaitu 48,721 undi tidak akan berulang kali ini.

Bagi menganalisis peluang kemenangan calon di kerusi itu, penganalisis politik veteran, Dr Ahmad Atory Husain mengambil kira faktor imej dan populariti calon, kekuatan parti di kawasan, pengaruh calon dalam parti, tawaran manifesto kawasan dan peluang calon dalam mencongak kemampuan mereka kelak.

IMEJ DAN POPULARITI

Dari sudut imej dan populariti, Mohamed Azmin dan Amirudin dilihat mempunyai kelebihan besar berbanding calon-calon lain berdasarkan kedudukan mereka dalam kabinet, kerajaan negeri dan parti.

Sebagai contoh, Mohamed Azmin sudah memiliki rekod perkhidmatan baik sebagai bekas Menteri Besar Selangor daripada tahun 2014-2018 sebelum dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi (2018-2020), dan seterusnya Menteri Kanan (Ekonomi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pernah menjadi pemimpin nombor dua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin turut dilihat mendapat sokongan penuh Pas susulan tindakan beliau mengekalkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu dalam kerajaan negeri Selangor sekalipun Pas bertindak keluar daripada PR pada tahun 2015.

Status beliau sebagai ADUN Bukit Antarabangsa juga banyak membantu Mohamed Azmin untuk terus dikenali pengundi Parlimen Gombak.

Bagi Amirudin, status beliau selaku Menteri Besar Selangor ketika ini memberi kelebihan besar kepadanya untuk meraih sokongan rakyat Gombak.

Dengan kerusi itu dianggap kubu kuat PR dan PH selepas PRU12, ramai pihak berpandangan Mohamed Azmin sukar mengekalkan majoriti sokongan pengundi Melayu yang dilihat cenderung menyokong PH.

Prestasi Amirudin selaku Menteri Besar dan Naib Presiden PKR juga amat baik terutama pada saat kerajaan negeri Selangor mengharungi ancaman pandemik Covid-19.

KEKUATAN PARTI DI KAWASAN

Bagi menilai kekuatan parti di Parlimen Gombak, kerusi itu sebenarnya menjadi kubu kuat BN sejak ia diwartakan sebagai kawasan Parlimen pada tahun 1994.

Kerusi itu pernah disandang oleh Allahyarham Tan Sri Zaleha Ismail selama dua penggal (PRU9 dan PRU10), dan kemudiannya kawasan itu dimenangi Datuk Dr Rahman Ismail pada PRU11.

Bagaimanapun, pengaruh BN di kerusi itu semakin merosot sejak Mohamed Azmin memenanginya pada PRU12 dan situasi ini pastinya memberi kesukaran kepada Megat Zulkarnain selaku calon BN untuk mencipta kejutan.

Bagi PN, melalui undi diterima Pas pada PRU14, kerusi Gombak sebenarnya bukan kubu kuat mereka dengan undi diperolehi parti itu hanya 14.73 peratus daripada keseluruhan 119,042 undi.

Pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di situ pula masih menjadi tanda-tanya susulan parti itu bertanding pada PRU14 atas tiket PH dan PKR.

Kelebihan besar mungkin terletak di tangan PH apabila parti itu melalui Mohamed Azmin berjaya meraih sejumlah 63.10 peratus daripada keseluruhan jumlah undi.

Namun, sama ada karisma dan pengaruh Amiruddin mampu menyaingi Mohamed Azmin sewaktu bersama PKR hanya akan terjawab pada hari pengundian 19 November ini.

PENGARUH DALAM PARTI

Sebagai salah seorang daripada empat menteri kanan kabinet kerajaan PN dan Keluarga Malaysia, pengaruh Mohamed Azmin dalam Bersatu dan PN pastinya tidak dapat disangkal.

Lebih menarik, nama beliau antara disebut-sebut sebagai bakal Timbalan Perdana Menteri sewaktu pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meskipun perkara itu tidak menjadi realiti.

Dalam PN sendiri, beliau dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya koalisi itu, sekali gus dianggap sebagai salah seorang panglima perang PN bagi mendepani PRU15.

Dari sudut imej dan populariti, Mohamed Azmin dan Amirudin dilihat mempunyai kelebihan besar berbanding calon-calon lain.

Pengaruh Amirudin dalam parti pula semakin meningkat setelah beliau berjaya memenangi pertandingan jawatan Naib Presiden sewaktu pemilihan PKR pada Mei lalu.

Ditambah dengan kapasiti beliau dilantik Menteri Besar Selangor, Amirudin turut dianggap pemimpin masa hadapan PKR bersama-sama dengan Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

Menilai pengaruh Megat Zulkarnain pula, status beliau sebagai anak kepada mahaguru silat negara yang juga Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Allahyarham Tan Sri Omardin Mauju menyebabkan beliau dikenali masyarakat Gombak.

Ditambah pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi BN Selangor, Megat Zulkarnain dilihat mempunyai pengaruh kuat dalam parti.

TAWARAN MANIFESTO KAWASAN

Sebagai penyandang kerusi Gombak selama tiga penggal, Mohamed Azmin menawarkan janji mahu meneruskan usahanya menjadikan Gombak, daerah yang maju dan selamat untuk didiami pada PRU15.

Selain itu, manifesto beliau termasuklah membangunkan infrastruktur dan prasarana yang menjana ekonomi serta menjamin keamanan serta keselamatan rakyat Gombak.

Amirudin pula berikrar akan memperuntukkan keseluruhan gajinya dalam Dana Komuniti Gombak untuk memantapkan infrastruktur di kawasan tersebut.

Menerusi manifesto Deklarasi Gombak Bermaruah 5 Tekad untuk 5 Tahun, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor akan memberi perhatian kepada peningkatan sektor ekonomi tempatan, rumah mampu milik, peluang pendidikan serta pekerjaan.

Bagaimanapun, tawaran Megat Zulkarnain daripada BN dilihat lebih mencuri perhatian apabila beliau berjanji memperuntukkan kuota 30 peratus kemasukan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada anak Gombak yang layak sekiranya menang kelak.

PELUANG MENANG PRU15

Bagi menilai peluang kemenangan calon-calon di kerusi Sungai Buloh, sejujurnya peluang Mohamed Azmin untuk mengekalkan kerusi itu pada PRU15 masih 50-50.

Hal ini kerana beliau berkemungkinan berdepan penolakan sokongan pengundi bukan Melayu merangkumi 20 peratus yang dijangka kekal menyokong PH, selain sebilangan besar sokongan pengundi Melayu pro pembangkang berkenaan.

Pada sama, pertembungan banyak penjuru mungkin memberi kesan rekahan sokongan pengundi Melayu lain yang akhirnya mampu memberi kelebihan besar kepada Amirudin yang mewakili PH.

Bagi Amirudin pula, situasi pertembungan lima penjuru melibatkan calon-calon Melayu di Gombak pastinya memberi kelebihan kepada beliau untuk meraih sekurang-kurangnya 20 peratus undi kaum itu bagi menang PRU15.

Mengenai Megat Zulkarnain, peluang beliau untuk menang di kerusi itu dilihat samar susulan undi BN hanya melibatkan 22.17 peratus daripada keseluruhan jumlah undi pada PRU14.

Klik di sini untuk terus membaca