SABTU ini, 21 juta rakyat yang mendaftar sebagai pemilih akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ia adalah proses memilih kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia. Walau apa pun keputusannya, rakyat Malaysia telah... Klik di sini untuk terus membaca

SABTU ini, 21 juta rakyat yang mendaftar sebagai pemilih akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ia adalah proses memilih kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia.

Walau apa pun keputusannya, rakyat Malaysia telah mula matang memilih kerajaan. Ini kerana sejak PRU13, kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) mula merosot apabila pemilih berani beralih selera.

Jika pada PRU12, BN memperoleh 140 kerusi dan Pakatan Rakyat (PR) pula 82 kerusi, pada PRU13, jumlah kerusi BN merosot menjadi 133 kerusi dan pembangkang pula memperoleh 89 kerusi.

Pada PRU14, kerusi BN merosot lagi kepada 79 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) pula 104 kerusi. Jika sudah tiga kali berturut-turut pengundi mula beralih daripada mengundi BN, ia adalah cabaran besar buat parti itu pada PRU15.

Lebih sejuta pengundi kali pertama bakal memberi kesan di kawasan-kawasan marginal. Mereka belum pernah mengundi. Namun, maaf cakap mereka sudah mumayiz, sudah akil baligh, sudah boleh berfikir dan membuat keputusan.

Keputusan mereka pula adalah berdasarkan apa yang mereka lihat dan dengar, audio serta visual. Itulah pendedahan yang menyentuh kepekaan mereka dan kita perlu hormati pilihan mereka. Tidak bolehlah nanti kita mengaitkan mereka sebagai faktor perosak kepada kedudukan kerusi mana-mana pihak.

Pemilih sebenarnya terdiri daripada beberapa kumpulan. Pertama, pengundi yang memilih berdasarkan parti, terdiri daripada jentera parti dan pengundi veteran yang tidak akan menukar pilihan.

Kedua, mereka yang mengundi calon yang dikenali. Barangkali calon dipilih adalah orang kampung, saudara mahupun individu yang kerap mereka nampak di media. Ketiga, pemilih yang mengundi calon yang pernah mereka temui secara live, menghadiri ceramahnya, menemui calon itu di majlis-majlis keramaian, majlis rasmi dan sempat bersalaman.

Keempat, mereka yang memilih berdasarkan cadangan orang terdekat dan dipercayai seperti ahli keluarga serta kawan.

Kelima, ada juga pengundi memilih calon kerana rasa terhutang budi sebab mendapat bantuan daripada calon itu tatkala menjadi mangsa banjir, kebakaran, sokongan permohonan derma untuk surau mahupun jersi bola sepak.

Pertimbangan ras dan agama nampaknya menjadi faktor pertimbangan pengundi. Mereka dalam kumpulan keenam mengundi kerana berasa bangsa akan terbela bila memilih seseorang calon. Atau rasa masa depan agama akan lebih terjamin jika memilih calon berkenaan.

Kepakaran seseorang sebagai ahli ekonomi mahupun diplomatik tidak menjadi kriteria utama bagi majoriti pengundi. Mereka dalam kumpulan ketujuh, mengundi berdasarkan ikut-ikutan. Biasanya mereka mengundi saat-saat akhir ketika berbaris sebelum melangkah ke bilik mengundi.

Dan kumpulan terakhir, mereka yang memilih untuk tidak memilih. Mungkin mereka akan rosakkan kertas undi atau sengaja tidak datang mengundi atas sebab-sebab tersendiri.

Walau apa pun keputusannya, kita mestilah menghormatinya. Setiap kali kita melihat keputusan satu demi satu kerusi diumumkan, yang boleh kita lakukan adalah mencatat skor di akhbar atau komputer. Bolehlah kalau kita hendak membebel dan mengata tetapi biarlah setakat itu sahaja.

Terimalah apa sahaja keputusan dengan berlapang dada. Kesemua calon yang terpilih pasti sudah memberi jasa kepada negara, apatah lagi kepada penduduk setempat walaupun ada dalam kalangan calon yang menang itu baru kali pertama menjadi Yang Berhormat.

Lagi pula, ALLAH SWT telah tunjukkan kepada kita – parti komponen BN, Perikatan Nasional (PN), PH dan Pejuang pernah memerintah negara. Mereka juga pernah menjadi pembangkang.

Masing-masing tidak mungkin dengan sengaja mahu merosakkan negara, tanah tumpah darah mereka sendiri. Mereka orang yang mempunyai kemahiran bercakap dalam bentuk syarahan, ceramah dan kritikan di pentas politik. Itu profesion mereka.

Di belakang pentas, mereka kesemuanya biasa duduk semeja bertepuk tampar dan bergurau senda. Kita sebagai rakyat, jangan over sangat seperti penonton gusti di kedai kopi!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca