KATA orang dulu-dulu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Kata orang sekarang, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata barulah glamor’. Kata orang dulu-dulu, ‘kerana pulut santan binasa, kerana... Klik di sini untuk terus membaca

KATA orang dulu-dulu, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Kata orang sekarang, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata barulah glamor’.

Kata orang dulu-dulu, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’. Kata orang sekarang, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut followers bertambah sekelip mata’.

Saya dan tentunya kita semua sejak kecil diasuh secara langsung atau tidak langsung supaya menjaga mulut. Datuk, nenek, emak dan bapa akan berpesan kepada kita supaya jangan cakap benda bukan-bukan, jangan gunakan bahasa kesat, jangan mencarut dan pelbagai lagi larangan seumpamanya yang disesuaikan dengan kehendak adat resam serta tuntutan agama.

Mungkin ada kes-kes terpencil ibu bapa bermulut celopar dan tidak kisah dengan tutur kata anak-anak mereka tetapi kes-kes begitu sangat sedikit. Yang banyak adalah jenis dia boleh celopar tetapi anak isterinya tidak boleh.

Kepentingan menjaga mulut bukan sahaja terbatas pada masyarakat kita tetapi meliputi umat manusia seantero dunia.

Belum pernah saya terjumpa mana-mana negara menggalakkan rakyatnya berbahasa kesat. Sebaliknya, di banyak negara, bahasa kesat dan tentunya termasuk carut-marut boleh menyebabkan anda diheret ke mahkamah.

Antaranya, Australia, Brazil, India, Pakistan, Rusia dan Filipina. Di negara kita pun ada peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membolehkan seseorang itu berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Walaupun telah diajar supaya ‘jangan’ dan ada pula peruntukan undang-undang, ia tidak menghalang manusia berbahasa kesat. Satu kajian menunjukkan secara purata seseorang itu menggunakan 0.5 peratus hingga 0.7 peratus perkataan kesat daripada seluruh perkataan yang digunakannya setiap hari (Nerbonne, G.Patrick; Hipskind, Nicholas M. (1972).

Dapatan kajian yang dibuat Angus Reid Public Opinion pada Julai 2010 menunjukkan orang Kanada lebih kerap berbahasa kesat berbanding orang Amerika dan Britain.

Penyelidikan oleh Jay dan Janschewitz (2012) menunjukkan sumpah seranah muncul pada usia seawal dua tahun. Apabila kanak-kanak memasuki sekolah, mereka mempunyai kira-kira 30 hingga 40 perbendaharaan kata perkataan ‘yang menyinggung’ dan pada usia 11 hingga 12 tahun, keupayaan mereka untuk menyumpah seranah sama dengan orang dewasa.

Semua kenyataan di atas membuktikan bahawa menggunakan bahasa kesat merupakan sebahagian kehidupan manusia tidak mengira tempat dan batas usia.

Namun, dahulu keadaan masih terkawal. Hanya mereka yang mulutnya benar-benar berskala longkang sahaja mampu berbahasa kesat, menyumpah seranah dan mencarut secara terbuka.

Majoriti manusia lain tetap berusaha menjaga tutur kata. Kalaupun bukan kerana rasa bersalah dan berdosa, mereka sekurang-kurangnya berasa segan serta malu untuk bercakap ‘main lepas sesedap rasa’, sebab orang yang celopar pada pandangan umum, rendah akhlaknya.

Tetapi sejak dunia hilang sempadannya, persepsi manusia terhadap kata-kata kesat dan sumpah seranah telah berubah. Ia hanya menjadi salah jika dilakukan oleh orang lain tetapi ‘tak salah’ jika diri sendiri melakukannya.

Susulan tanggapan tunggang-terbalik itu, perbuatan sedemikian pun mula diterima sebagai satu cara hidup dan seterusnya diangkat sebagai budaya.

Sekarang kita tidak lagi rasa jijik, geli atau marah apabila berdepan dengan perkataan kesat dan tidak senonoh. Ia boleh ditemui dengan banyaknya di ruang siber.

Dengan bantuan teknologi sedia ada, seseorang itu boleh melakukan apa sahaja bersendirian tanpa kehadiran orang lain. Ia salah satu sebab penggunaan kata-kata kesat berkembang pantas.

Kita tidak perlu lagi segan kepada sesiapa untuk menggunakannya, sama ada dengan jari yang menaip atau dengan mulut yang bercakap.

Tujuan penggunaan kata-kata kesat juga telah berubah. Kalau dahulu ia mungkin satu cara melepaskan geram atau kadang-kadang berseloroh, sekarang ia sudah menjadi satu cara mencari rezeki.

Ramai orang meraih populariti dengan mempamerkan kebolehannya memaki hamun dan menyumpah seranah. Tidak sedikit pempengaruh media sosial mencari makan dengan cara itu. Di pentas politik pun begitu. Ramai yang dua kali lima.

Perkembangan budaya itu yang begitu pantas menjadikan saya sedikit gusar membayangkan masa hadapan anak bangsa. Semakin difikirkan semakin rimas. Dan adakala kerana terlalu rimas, saya terasa seperti hendak mencarut juga. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai seorang setiausaha politik dan juga bekas wakil rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca