PAHANG antara negeri yang kekal dikuasai BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan perkembangan sama dijangka berlaku pada PRU15 ini. Pada PRU14, BN menguasai sembilan kerusi Parlimen dan 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.... Klik di sini untuk terus membaca

PAHANG antara negeri yang kekal dikuasai BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan perkembangan sama dijangka berlaku pada PRU15 ini.

Pada PRU14, BN menguasai sembilan kerusi Parlimen dan 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada satu majlis di Maran baru-baru ini menzahirkan keyakinan bahawa parti itu dapat merampas 30 hingga 33 kerusi DUN di Pahang kali ini.

Keyakinan itu disandarkan rekod pencapaian BN dalam usaha membangunkan negeri sepanjang pentadbiran 54 bulan.

Di sebalik jangkaan BN akan terus mengekalkan kuasanya di negeri ini, perhatian tetap diberikan kepada jumlah kerusi yang bakal dimenangi gabungan itu sama ada bertambah seperti yang dijangkakan atau sebaliknya.

Selain rekod pencapaian BN penggal lepas, antara faktor lain yang dijangka memihak kepada UMNO/BN termasuk tawaran manifesto 'Ikhtiar Makmur' yang dibentangkan BN Pahang untuk PRU15 ini.

Manifesto itu dilihat agak realistik dan meyakinkan sebagai kesinambungan usaha kerajaan negeri membantu rakyat melalui inisiatif dan bantuan yang diperkenalkan sebelum ini termasuk dalam aspek ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat.

Isu-isu yang timbul sepanjang 22 tahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kelemahan kerajaan sebelum ini mungkin membantu membawa undi yang beralih arah pada PRU14 kembali kepada BN.

Perpecahan undi dalam kalangan parti lain termasuk PH, Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Bebas yang bertanding kali ini juga dilihat antara faktor yang bakal memihak kepada BN.

Calon dalam kalangan penyandang dan muka baharu yang rata-rata anak tempatan juga dilihat memainkan peranan untuk menarik undi kepada UMNO/BN.

Walaupun banyak faktor dilihat akan memihak kepada BN untuk kekal berkuasa di Pahang ini, laluan parti itu untuk menang selesa tidak mudah.

Saingan daripada parti lawan terutama PN dan PH tidak boleh dipandang mudah oleh BN.

PN sebelum ini mencongak sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN dapat dimenangi pada PRU15 ini.

Untuk rekod, PN pada penggal lalu menguasai satu kerusi Parlimen (Indera Mahkota) dan lapan kerusi DUN.

PH pula merupakan penyandang empat kerusi Parlimen dan sembilan kerusi DUN juga yakin untuk menambah kerusi kali ini.

Mengambil kira pelbagai isu baik di peringkat nasional dan setempat, PN dan PH tetap ada peluang di kerusi yang disasarkan namun untuk merampas Pahang mungkin bukan pada PRU15 ini.

Berbaki beberapa hari lagi tempoh kempen, rata-rata calon dari semua parti bertanding mula menggiatkan usaha membawa tawaran kepada pengundi melalui manifesto masing-masing.

Keputusan sebenar siapa yang diberi mandat untuk mentadbir Pahang bergantung kepada pilihan pengundi 19 November ini.

Klik di sini untuk terus membaca