SHAH ALAM - Tatkala pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) saling berbalas kenyataan menolak kerjasama bagi membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penganalisis politik bagaimanapun mempunyai... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tatkala pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) saling berbalas kenyataan menolak kerjasama bagi membentuk kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penganalisis politik bagaimanapun mempunyai pandangan sebaliknya.

Malah, mereka menjangkakan blok-blok politik di Malaysia terpaksa mengetepikan perbezaan pandangan jika ramalan penganalisis bahawa tiada parti politik yang akan memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen menjadi kenyataan pada 19 November ini.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, berdasarkan situasi semasa, BN dijangka mengadakan kerjasama dengan PN serta gabungan dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan.

"Namun, jika BN masih tidak boleh menerima parti Bersatu, BN mungkin bertindak membentuk gabungan dengan Pas serta parti dari Sabah dan Sarawak."Kemungkinan ketiga adalah kerjasama antara BN, Pakatan Harapan (PH) tanpa DAP serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Namun, gabungan ini dianggap sukar dilaksana dan di luar kotak,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Jeniri berpendapat BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mungkin bergabung dengan PH selagi DAP ada bersama.

Jelasnya, situasi selepas PRU15 diramal getir kerana mana-mana pakatan yang ingin membentuk kerajaan perlu mendapat sokongan parti dari Sabah dan Sarawak.

"Tanpa sokongan mereka, tiada parti yang akan membentuk kerajaan.

"Yang penting adalah bagaimana gabungan itu nanti dapat memujuk dan meyakinkan parti dari Sabah dan Sarawak untuk menyokong mereka.

"Saya cenderung untuk mengatakan alternatif BN Pas Sabah Sarawak, kemungkinannya lebih tinggi. Tidak mungkin ada parti yang akan dapat majoriti 112 kerusi walaupun semua gabungan mendakwa mereka boleh dapat,” ujar beliau.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara, Dr Ariff Aizuddin Azlan pula berkata, jika tiada parti yang memperoleh majoriti, pakatan yang mungkin akan berlaku adalah antara BN PN atau BN PH.

Bagaimanapun jelasnya, dalam konteks penggabungan ini, agak sukar untuk BN bekerjasama dengan PH kerana ramai pimpinan termasuk Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang memberi amaran akan menghalang gabungan tersebut.

"Ini adalah kekangan dalam konteks blok itu sendiri. Saya melihat gabungan yang mungkin terbentuk adalah antara BN PN. Itu yang kita nampak semakin hampir.

"Kalau BN tidak berjaya mencapai 112 kerusi, parti itu boleh melihat kepada blok lain seperti di Sarawak.

"Di Sarawak, mereka kekal konsisten menyumbangkan kerusi yang agak dominan. Itu juga salah satu senario yang mungkin berlaku.

"Cuma kalau dilihat dalam konteks PH, agak mustahil PH untuk bersama-sama dengan BN atau PN.

"Bagi saya, kalau mereka kalah sekali pun, mereka tidak akan sewenang-wenangnya mempermainkan mandat rakyat dengan membentuk gabungan bersama BN atau PN,” ujarnya.

Landskap politik Malaysia berubah selepas PH menang PRU14 sekali gus menamatkan penguasaan BN selama 60 tahun.Sejak itu, boleh dikatakan tiada lagi gabungan politik yang dominan di Malaysia.

Pada 1 Mac 2020, kerajaan campuran pertama di Malaysia terbentuk hasil kesepakatan Bersatu, Pas, BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Lima bulan selepas pentadbiran, PN terbentuk menerusi gabungan Bersatu, Pas dan STAR sebelum disertai Parti Maju Sabah (SAPP) dan parti Gerakan.

Kerajaan yang dipimpin PN ini hanya bertahan selama 17 bulan. Negara kemudian diterajui oleh kerajaan campuran BN, PN, GPS dan PBS pada 30 Ogos 2021.

Kemungkinan jajaran: Senario 1: BN+PN+Sabah+Sarawak Senario 2: BN+Pas+Sabah+Sarawak Senario 3: BN+PH (tanpa DAP)+Sabah+Sarawak Senario 4: BN+PN Senario 5: BN+PH Senario 6: BN+Sarawak

Klik di sini untuk terus membaca