SHAH ALAM - Peratusan keluar mengundi pada 19 November ini dijangka melebihi 80 peratus.
Penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, ia susulan pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Ahmad Atory menjangkakan ‘gelombang’ pengundi luar pulang ke kampung akan lebih kuat berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana didorong isu kepimpinan negara dan masalah kestabilan politik.
Menurutnya, jika ia menjadi kenyataan, keputusan PRU15 akan menjadi lebih seimbang.
"Saya melihat usaha yang dibuat kerajaan seperti memberi cuti umum dan gaji penjawat awam diawalkan adalah satu inisiatif yang cukup baik bagi memastikan rakyat dapat menunaikan tanggungjawab mereka.
"Cuma yang menjadi kebimbangan kita adalah sekiranya berlaku banjir.
"Jadi, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak cepat dan menyediakan alternatif seperti trak, sampan atau bot bagi mengangkut pengundi.
"Jika itu berlaku, peratusan keluar mengundi boleh melebihi 80 peratus. Ia sekali gus menjadikan PRU15 lebih cantik dan seimbang.
"Maknanya tidak akan ada yang boleh beri alasan atau menuding jari kepada kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin, mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada PRU15.
Selain itu, tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi bulan November diawalkan pada 17 November, manakala bayaran pencen diawalkan pada 14 November ini.
Sebanyak 30 syarikat konsesi lebuh raya juga telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari kepada pengguna sempena PRU15, manakala pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat bernilai RM2.1 bilion melibatkan 5.2 juta penerima dikreditkan secara berperingkat selama tiga hari bermula 15 November ini.
Ahmad Atory menjelaskan, keputusan kerajaan itu dilihat turut didorong oleh gesaan pelbagai pihak termasuk parti politik dan badan bukan kerajaan memandangkan mengundi adalah peristiwa besar setiap lima tahun bagi rakyat Malaysia.
"Bagi memastikan kestabilan politik, rakyat mesti berperanan untuk mengundi.
"Sebab itu dengan adanya inisiatif bagi membolehkan lebih ramai pulang untuk mengundi, proses pengundian akan menjadi lebih seimbang seterusnya parti politi dapat membentuk kerajaan yang stabil,” jelasnya.
Antara inisiatif buat pengdundi PRU15: - Hari Pelepasan Am pada 18 dan 19 November 2022.
- Gaji penjawat awam dipercepatkan kepada 17 November, manakala penerima pencen pada 14 November.
- Tol percuma pada 18 dan 19 November ini.
- BKM Fasa 4 dipercepatkan dan dikredit ke dalam akaun bank penerima secara berperingkat bermula 15 November ini.
Peratusan keluar mengundi pilihan raya umum: 1959 - 73.3 peratus (Rabu) 1964 - 78.9 peratus (Sabtu) 1969 - 73.6 peratus (Sabtu) 1974 - 75.1 peratus (Sabtu) 1978 - 75.3 peratus (Sabtu) 1982 - 75.4 peratus (Sabtu) 1986 - 74.9 peratus (Ahad) 1990 - 72.3 peratus (Ahad) 1995 - 68.3 peratus (Selasa) 1999 - 69.3 peratus (Isnin) 2004 - 73.9 peratus (Ahad) 2008 - 75.9 peratus (Sabtu) 2013 - 84.4 peratus (Ahad) 2018 - 82.3 peratus (Rabu) 2022 - 80 peratus?
Klik di sini untuk terus membaca