PUTERA Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman atau lebih dikenali sebagai MBS memulakan jelajah Asia selepas berlepas dengan menaiki pesawat dari negaranya baru-baru ini untuk menuju ke Bali, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemucak Kumpulan 20 (G20).
Kehadirannya di sidang kemuncak itu berlaku di tengah-tengah perbalahan sengit antara Amerika Syarikat (AS) dengan negaranya yang merupakan anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC)berhubung isu pemotongan bekalan minyak mentah sebanyak dua juta tong sehari.
Sebelum ini, Rumah Putih bekerja keras untuk menghalang pemotongan pengeluaran minyak mentah itu ketika AS dilanda dengan kenaikan inflasi dan Eropah pula dibelenggui harga tenaga yang tinggi.
AS turut membidas tindakan OPEC yang memotong bekalan minyak mentah itu sehingga terdapat dakwaan bahawa Arab Saudi membantu Rusia yang kini menceroboh Ukraine dan memberi amaran tentang akibat yang akan dihadapinya berikutan langkah pemotongan tersebut.
Walaupun mengumumkan rekod keuntungan daripada hasil jualan minyak dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pegawai-pegawai Arab Saudi bersungguh-sungguh mempertahankan dasar mereka tentang pemotongan bekalan minyak mentah kerana ia dibuat berdasarkan faktor ekonomi semata-mata.
Pada Julai lalu, Presiden AS, Joe Biden melawat Jeddah sekali gus membatalkan ikrar yang dibuat pada tahun 2019 untuk 'meminggirkan' Arab Saudi berikutan pelanggaran hak-hak asasi manusia terutamanya kejadian pembunuhan kolumnis akhbar Washington Post, Jamal Khashoggi di Pejabat Konsulat negara beraja itu di Istanbul, Turkiye.
Kemungkinan persinggahan beliau selepas Bali ialah Korea Selatan yang mana media tempatan melaporkan Putera Mahkota itu akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin perniagaan dan beliau dijangka menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik yang bermula pada Jumaat ini di Bangkok.
Walaupun Biden dan Putera Mohammed berada di Bali kerana menghadiri sidang kemuncak G20 itu, Rumah Putih berkata Presiden AS tersebut tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan MBS.
Isu tentang pemotongan bekalan minyak mentah itu telah mencetuskan spekulasi tentang pergeseran antara Arab Saudi dengan AS itu.
"Ini (kunjungan MBS ke beberapa negara Asia) adalah perjalanan untuk menyemaikan lagi penyelarasan dengan pasaran tenaga di Asia tetapi juga untuk menunjukkan kepada dunia Barat terutamanya kepada AS bahawa Arab Saudi tidak kekurangan pilihan dari segi perkongsian," katanya Umar Karim iaitu pakar politik Arab Saudi di Universiti Birmingham seperti dilaporkan AFP.
Pada penghujung Perang Dunia Kedua, hubungan Arab Saudi dengan AS sering digambarkan sebagai perjanjian minyak untuk keselamatan namun sejak sedekad lalu, pasaran eksport utama minyak mentah negara beraja tersebut berada di Asia iaitu di China, Jepun, Korea Selatan dan India.
Justeru, pegawai-pegawai Arab Saudi mula memberi penekanan khusus untuk memupuk hubungan di rantau itu sebelum Putera Mohammed menjadi pewaris takhta, jelas Aziz Alghashian yang merupakan seorang penganalisis dasar luar Arab Saudi.
Kunjungan MBS ke beberapa negara Asia juga mungkin melibatkan perbincangan tentang kemudahan mengeksport minyak mentahnya.
Pertemuan Putera Mohammed dengan pemimpin Asia berkemungkinan menyentuh beberapa inisiatif untuk memudahkan eksport selanjutnya ke rantau ini termasuk kemungkinan projek penapisan dan kemudahan penyimpanan, kata Kaho Yu iaitu seorang pakar tenaga Asia di firma risikan risiko Verisk Maplecroft.
"Ia bukan sekadar membeli minyak (mentah) dari Arab Saudi. Ia lebih kepada usaha meluaskan kerjasama di sepanjang rantaian bekalan," katanya.
Arab Saudi juga boleh bekerjasama dengan negara-negara Asia mengenai alternatif minyak mentah.
Pada Isnin lalu, syarikat gergasi tenaga Arab Saudi, Aramco dan syarikat milik kerajaan Indonesia iaitu Pertamina mengumumkan rancangan untuk meneroka kerjasama dalam sektor hidrogen dan ammonia.
Jelajah Asia Putera Mohammed itu juga mendahului lawatan ke Arab Saudi oleh Presiden China, Xi Jinping yang dirancang akan berlaku pada Disember depan.
Walaupun tiada tarikh disahkan, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan berkata pada bulan lalu bahawa kerajaan itu memuktamadkan persiapan untuk mengadakan rundingan dengan Presiden China yang akan turut melibatkan negara Arab lain.
Membangunkan hubungan yang lebih kukuh dengan China menghantar isyarat paling kuat mengenai langkah Riyadh untuk mengimbangi hubungannya dengan kuasa global, meneruskan dasar luar yang berorientasikan Arab Saudi didahulukan.
"Arab Saudi masih sangat bergantung kepada AS dalam soal hal-hal keselamatan tetapi menunjukkan bahawa ia sedang meneroka hubungan strategik lain, mungkin secara beransur-ansur cuba menjadi kurang bergantung kepada AS," kata Torbjorn Soltvedt dari Verisk Maplecroft seperti dilaporkan AFP. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca