MERUPAKAN calon muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Siddiq optimis pengundi di Nibong Tebal mampu menilai kemampuannya untuk mewakili masyarakat di Parlimen tersebut.
Walaupun kerusi berkenaan merupakan kubu kuat penyandangnya, Datuk Mansor Othman yang turut bertanding pada pilihan raya nanti, anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Dr Siddiq Fadzil itu berazam mahu membawa perubahan kepada Nibong Tebal.
Selain mahu memperkenalkan kawasan itu sebagai hab ekopelancongan baharu di negara ini, Fadhlina yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) bertekad membawa suara rakyat ke Parlimen selain mahu memperkasa institusi Mahkamah Syariah khusus buat golongan wanita.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, DIANA AZIS bersama Fadhlina di Kompleks Karangkraf, Shah Alam bagi mengupas hala tuju baharu yang ingin dibawa serta tekadnya pada PRU15.
SINAR HARIAN: Pertama kali dicalonkan dan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi untuk berkempen, sejauh mana penerimaan pengundi di Nibong Tebal setakat ini?
FADHLINA: Penerimaan sangat baik cuma masalah besar adalah cuaca. Dari segi penerimaan dan sokongan, saya fikir untuk first timer, tiada isu yang besar dengan pengundi.
Nibong Tebal sudah menjadi kubu kuat PKR cukup lama dan dengan adanya isu pengkhianatan, menjadikan rakyat mahu mandat dikembalikan kepada PH.
Pada awalnya, isu ‘orang luar’ ada sedikit kekangan tetapi tidak lama kerana apabila dimaklumkan saya adalah mantan Ahli Dewan Negara lantikan Pulau Pinang dan masih lagi ahli Lembaga Zakat Pulau Pinang, isu itu selesai.
Saya tidak fikir faktor calon wanita kerana keterujaan itu lain sedikit. Mereka (pengundi) nak tengok secara fizikal (berdepan), jadual saya (berkempen) memang jumpa secara fizikal. Orang ambil profil calon, terutama orang muda yang menilai manifesto dan tawaran PH, bahkan mereka berikan cadangan yang sangat menarik.
Saya juga bakal menentang calon yang berpengalaman dan cabarannya, adakah saya mempunya merit seperti mereka? Justeru, sebagai Ketua Wanita PKR yang bertanding di Nibong Tebal, saya juga mohon pengundi untuk melihat track record sama ada saya berkemampuan atau tidak.
SINAR HARIAN: Apa strategi yang dibawakan untuk menawan hati pengundi memandangkan calon wanita muka baharu?
FADHLINA: Saya kena kerja keras, jumpa pengundi secara door to door seramai mungkin. Itulah strategi yang dibuat oleh jentera PH sekarang dan jentera kita adalah paling tersusun dan kemas untuk bekerja di Nibong Tebal.
Selain itu, saya juga gunakan personal touch, itu juga yang dibuat oleh pasukan dan jentera sekarang. Saya lega kerana mempunyai pasukan yang sangat kuat di Nibong Tebal. Saya juga dapat sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap dan Jawi.
Kedua-duanya sangat perform di kawasan masing-masing, sekali gus kita tidak ada banyak masalah untuk berdepan dengan isu rakyat sebab mereka berdua telah menjawab bagi kawasan mereka.
Mungkin sebagai pecutan terakhir sebelum hari mengundi, tempat-tempat yang kita boleh lonjakkan undi (iaitu) kawasan majoriti besar sebelum ini, saya perlu turun padang sekali lagi dan push bagi memastikan pengundi turun dan balik mengundi.
SINAR HARIAN: Apakah jaminan yang boleh diberikan kepada pengundi?
FADHLINA: Ketika berkempen, 80 peratus orang bertanya, adakah saya akan melompat ke parti lain? Jadi saya anggap itu soalan mengenai jaminan, mereka mahu seorang wakil rakyat yang tidak melompat parti. Saya beri jaminan dengan menyatakan Akta Anti Lompat Parti dan isu itu selesai.
Kedua, mereka tanya, adakah saya akan berada di Nibong Tebal? Soal ketersediaan itu bagi mereka sangat penting. Saya juga sudah membuat keputusan untuk tinggal di Sungai Bakap dan itu juga saya anggap selesai.
Isu dalam kalangan pengundi saya rasa itu sahaja, mereka mahu wakil rakyat yang ada, turun padang dan dengar. Sepanjang kempen, saya terima enam memorandum daripada penduduk, maknanya mereka nak kita beri perhatian kerana selama ini diabaikan, mungkin tiada siapa yang mengambil perhatian tentang isu-isu yang berlaku di sana.
SINAR HARIAN: Mengapa memilih Nibong Tebal? Apa keistimewaan kawasan tersebut?
FADHLINA: Nibong Tebal sangat berpotensi besar, banyak tempat yang tidak diteroka dan boleh dijadikan pusat ekopelancongan.
Durian hitam terbaik adalah di Nibong Tebal, sawah bendang kedua (luas) selepas Permatang Pauh, kemudian nelayan yang ramai dan jeti-jeti sangat cantik khususnya berkaitan dengan udang galah dan sebagainya.
Namun ini semua (ekopelancongan) tidak ada orang beri tumpuan, kita juga ada Taman Kunang-kunang, ada satu tugu besar kunang-kunang di tengah pekan selain ada jeti dan kafe khas untuk orang datang dan tengok.
Cuma ia tidak diperkenalkan, ia akan menjadi tumpuan dan tanggungjawab besar saya dalam konteks itu iaitu menaikkan nama Nibong Tebal sebagai sebuah hab ekopelancongan di masa akan datang.
SINAR HARIAN: Sebagai Ketua Wanita PKR, apakah hala tuju pembangunan wanita yang ingin dibawakan?
FADHLINA: Secara keseluruhan, PKR menghantar 30 peratus calon wanita untuk bertanding kerusi Parlimen di seluruh negara. Kalau kita lihat di sesetengah Parlimen itu adalah muka baharu dan juga mengekalkan incumbent yang memang terbukti berkhidmat kepada rakyat.
Jentera wanita sangat kuat, kita sedang menarik ramai lagi anak muda untuk bersama dan isu-isu wanita di Nibong Tebal perlu disentuh secara signifikan, (di samping) isu nelayan, kemiskinan, kekeluargaan dan dadah serta dari segi keselamatan anak-anak di sekolah dan akses kepada pendidikan.
Kalau ikutkan, isu besar yang barangkali perlu diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan nanti ialah kesesakan di Hospital Sungai Bakap dan akses kesihatan. Kita tidak mempunyai pengangkutan awam, ramai mengeluh kerana anak-anak tidak mempunyai perkhidmatan bas sekolah, jadi mereka terpaksa bawa motosikal tanpa lesen dari awal.
Saya juga membawakan tekad untuk memperkasa institusi Mahkamah Syariah bagi memastikan akses, dana dan bantuan guaman syarie kepada wanita dapat dilaksanakan serta penubuhan Jawatankuasa Kanak-kanak di semua Mahkamah Syariah. Selain itu, pindaan perlembagaan berkaitan hak kerakyatan anak kepada wanita tempatan yang dilahirkan di luar negara, tidak dapat hak warganegara Malaysia.
Begitu juga penjagaan kanak-kanak yang dirasakan perlu ada inisiatif lebih efektif bagi menyokong ibu bapa berkerjaya dengan menawarkan perkhidmatan harga mampu milik, berkualiti dan selamat.
Klik di sini untuk terus membaca