SHAH ALAM - Kenyataan kontroversi Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Perikatan Nasional (PN) bersedia membentuk kerajaan gabungan dengan Barisan Nasional (BN) pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dibimbangi menggugat momentum positif koalisi itu ketika memasuki minggu kedua kempen pengundian.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, dengan kempen pilihan raya PN mendapat sambutan luar biasa pengundi Melayu terutama di segmen luar bandar, kenyataan Takiyuddin itu menghantar isyarat salah kepada penyokong koalisi itu bahawa mereka tiada keyakinan menang PRU15 secara bersendirian.
Meskipun Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya mengeluarkan kenyataan balas mengenepikan pandangan Takiyuddin, kemungkinan implikasi negatif kenyataan penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu itu terhadap peluang koalisi itu amat tinggi.
"Dengan momentum kempen PN agak baik dan berada di landasan tepat sewaktu mendepani hari pengundian berbaki dua hari lagi, kenyataan Takiyuddin sudah pasti menghantar isyarat salah kepada penyokong PN dan segmen pengundi atas pagar.
"Sama ada Takiyuddin sengaja atau tidak, kenyataan tidak cermat sebegini tidak sewajarnya dilakukan pemimpin senior seperti beliau kerana memberi ruang parti lain memanipulasinya.
"Segmen pengundi atas pagar dan penyokong PN akan melihat seolah-olah ada keretakan berlaku dalam PN dengan Takiyuddin yang mewakili Pas seolah-olah mengalu-alukan kerjasama BN, manakala Muhyiddin yang mengemudi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpandangan sebaliknya," ujar Hisommudin kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin yang menyanggah pandangan Takiyuddin berhubung isu bekerjasama dengan BN.
Menurut Muhyiddin beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk bertindak sedemikian.
Dalam satu ceramah PRU15 di Ketereh, Takiyuddin mengunjurkan PN mampu memenangi pilihan raya secara bersendirian atau berkemungkinan membentuk kerajaan dengan pihak lain termasuk BN jika gagal memenangi kerusi mencukupi pada 19 November ini.
Takiyuddin bagaimanapun pada Selasa menegaskan kenyataan mengenai penggabungan PN dan BN selepas PRU15 telah dilapor di luar konteks sebenar.
Takiyuddin menjelaskan, tajuk pada kenyataan itu juga secara tidak langsung telah mengelirukan pengundi.
"Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu Prihatin, Bersih dan Stabil.
"Dengan kenyataan yang jelas ini, maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU15," kata Takiyuddin dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Hisommudin turut berpandangan kenyataan Takiyuddin itu menimbulkan persoalan sama ada Pas yang bertanding di dua negeri menggunakan lambang parti berkenaan, secara tersirat mahukan kerjasama dengan BN benar-benar menjadi realiti.
Tegasnya, sekiranya refleksi kenyataan Takiyuddin terbukti ke arah itu, ia pastinya menunjukkan Pas sebuah parti oportunis dan seolah-olah bersedia membelakangkan PN semata-mata mahu terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu.
"Lebih mengecewakan, majoriti pengundi atas pagar dan penyokong Pas akan melihat parti itu flip-flop, di saat beberapa pemimpinnya mengeluarkan kenyataan kontroversi sewaktu berkempen seperti undi selain PN masuk neraka serta wanita tidak layak jadi calon," katanya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca