MENJELANG pecutan terakhir mendepani hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah berani dengan mengemukakan janji pengurangan anggota Kabinet sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dan beliau kembali terpilih mengemudi Putrajaya.
Menurut penyandang kerusi Parlimen Bera itu, saiz Kabinet yang terlalu besar sering menjadi topik perbualan rakyat dan Ismail Sabri sedar rasional untuk mengecilkannya.
Dalam satu program bual bicara khas disiarkan oleh Bernama TV pada malam Selasa, Ismail Sabri turut menegaskan selain ahli politik, pembentukan Kabinet dengan kepelbagaian kepakaran itu akan membabitkan golongan teknokrat.
Hakikatnya, suara tuntutan rakyat negara ini meminta saiz Kabinet dikecilkan daripada lebih 70 orang sejak pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac 2020, kepada jumlah sekitar 25 hingga 30 orang menteri sahaja, semakin lantang sejak negara berdepan tri-krisis melibatkan pandemik Covid-19, ekonomi dan ketidakstabilan politik.
Hal ini susulan kekecewaan mereka melihat kemampuan kerajaan terdahulu untuk menangani isu fundamental rakyat seperti kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup dan krisis kesihatan meskipun memiliki bilangan anggota Jemaah Menteri begitu ramai.
Sebelum pembubaran Parlimen, Kabinet kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri melantik 31 menteri termasuk empat menteri kanan, 38 timbalan menteri serta tidak menamakan Timbalan Perdana Menteri.
Dalam sejarah pentadbiran negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menawarkan bilangan anggota Kabinet terkecil iaitu hanya seramai 28 menteri dengan dibantu 27 timbalan menteri.
Justeru, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berpandangan tawaran Ismail Sabri itu tepat pada masanya dan mampu menangkap imaginasi pengundi dari segenap segmen pada PRU15.
Tawaran Ismail Sabri itu juga bukan retorik susulan Naib Presiden UMNO itu sebenarnya terpaksa mewarisi satu Kabinet bersaiz besar sejak penubuhan kerajaan PN, susulan beliau mahu menyesuaikan keperluan banyak parti yang membantu pembentukan kerajaan campuran berkenaan.
"Tawaran pembentukan Kabinet bersaiz kecil akan memastikan kerajaan lebih efektif dalam menyelesaikan isu-isu penting yang berbangkit seperti peningkatan kos sara hidup, peluang pekerjaan dengan gaji lebih bermaruah serta pertumbuhan ekonomi kalis krisis.
"Ditambah dengan peranan beberapa kementerian dianggap bertindih sebelum ini dijangka kembali disatukan serta jaminan pembabitan tokoh teknokrat dalam setiap kementerian kritikal, saya percaya kerajaan dipimpin Ismail Sabri akan lebih efisien memacu negara ke arah lebih baik.
"Bagaimanapun, cabaran terbesar Ismail Sabri adalah dengan memastikan setiap kementerian yang sudah disatukan akan diketuai pemimpin berpengalaman, berkemahiran dan mempunyai sifat kepimpinan tinggi dalam mendepani pelbagai cabaran masa hadapan," ujar Raduan kepada Sinar Premium pada Rabu.
Selain tawaran mengecilkan saiz Kabinet, Raduan turut menyarankan Ismail Sabri mempertimbangkan pindaan akta bagi membolehkan pelaksanaan pilihan raya umum akan datang diadakan dalam satu tempoh waktu ditetapkan seperti kewajipan penggal pentadbiran kerajaan cukup lima tahun.
Jelas beliau, langkah itu penting supaya aktiviti berpolitik dapat dikurangkan dengan tumpuan semua pihak bermula daripada kerajaan, pemimpin pembangkang serta golongan marhaen terarah sepenuhnya kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
"Saya fikir bukan sahaja Ismail Sabri, bahkan semua pihak perlu berjiwa besar untuk membantu mana-mana kerajaan yang bakal tertubuh selepas PRU15 menggembleng tenaga bagi membantu kebangkitan negara.
"Hal ini kerana isu ketidakstabilan politik negara yang tercetus pasca PRU14 telah membantutkan pertumbuhan Malaysia sedikit terkebelakang dalam pelbagai aspek.
"Oleh itu, pertimbangan pindaan akta menetapkan PRU wajib dilaksanakan setelah penggal pentadbiran tamat adalah sangat signifikan bagi mengurangkan aktiviti berpolitik," tegas Raduan.
Sekalipun tiada parti yang mampu mendapat sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan secara persendirian selepas PRU15, Raduan percaya Ismail Sabri masih mampu menunaikan janji mengecilkan saiz Kabinet berkenaan.
Hal ini kerana beliau mengunjurkan BN bakal menjadi parti dominan dalam kerajaan campuran baharu itu kelak, berbanding dengan kerajaan Keluarga Malaysia yang meletakkan PN sebagai koalisi dominan.
"Dengan BN diramalkan mampu memenangi lebih 70 kerusi Parlimen pada 19 November ini, saya percaya sebuah kerajaan campuran di antara BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pas bakal terbentuk selepas PRU15," katanya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca