SHAH ALAM - Tempoh 48 jam terakhir kempen bakal menjadi waktu kritikal untuk kesemua pihak bersaing dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk meraih sokongan pengundi di kesemua 222 kerusi Parlimen. Pensyarah Sosiologi Politik dari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tempoh 48 jam terakhir kempen bakal menjadi waktu kritikal untuk kesemua pihak bersaing dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk meraih sokongan pengundi di kesemua 222 kerusi Parlimen.

Pensyarah Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, berbeza dengan pilihan raya sebelum ini, PRU15 belum menyaksikan mana-mana parti atau gabungan yang menjamin sokongan mencukupi untuk memenangi mana-mana kerusi dipertandingkan.

Beliau berkata, ini kerana terdapat banyak faktor baharu dilihat akan menjadi penentu antaranya pertambahan bilangan gabungan politik dan calon bertanding, kewujudan jumlah pengundi baharu dan peningkatan bilangan pengundi atas pagar.

"Sekarang ini tidak ada satu kerusi pun boleh dikatakan selamat. Sebab peluang persaingan bertambah kerana pengundi meningkat. Jika sebelum ini jumlahnya 14.9 juta tapi ,sekarang ini dah hampir 22 juta.

"Lepas itu dulu hanya ada dua gabungan iaitu BN dan Pakatan Harapan (PH), sekarang dah ada empat ditambah dengan dengan Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA), dan bilangan bertanding juga meningkat sampai 945 calon.

"Jadi boleh dikatakan setiap kerusi itu penting ditambah pula ada berlaku pengguguran calon, baharu dan perpindahan calon daripada parti lain ke parti lain. Kesemua itu boleh mempengaruhi pola gelagat pengundi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Sivamurugan, selain memastikan pengundi tegar parti masing-masing keluar mengundi, langkah penting perlu dilakukan oleh parti bersaing dalam tempoh dua hari terakhir itu ialah usaha untuk meyakinkan pengundi atas pagar bagi menyokong mereka.

Beliau berkata, jumlah pengundi atas pagar pada pilihan raya kali ini juga dilihat amat signifikan dalam menentukan kemenangan di sesuatu kawasan Parlimen.

"Mengikut kajian dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia (USM), hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan memiliki antara 38 hingga 40 peratus pengundi yang masih belum buat keputusan.

"Jadi mereka inilah tergolong dalam kelompok kelabu (atas pagar) tadi yang sekiranya parti menggunakan pecutan terakhir, sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah itu pun sudah memadai, dengan syarat sokongan pengundi tegar dapat dikekalkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, dengan persaingan dijangka semakin sengit mendekati hari terakhir kempen, terdapat kemungkinan pihak bertanding untuk menggunakan taktik terdesak seperti menyebarkan fitnah dan penggunaan duit untuk meraih undi.

"Itu pernah berlaku sebelum ini antaranya tindakan melakukan pembunuhan karakter berlebihan, menghina, mengaib dan memalukan untuk melahirkan kontroversi yang mana masyarakat tidak sempat nak mencari kesahihan.

Jelas Sivamurugan , dengan tahap literasi politik masyarakat yang dilihat masih belum begitu memberangsangkan, isu ditimbulkan sememangnya berupaya untuk mempengaruhi pengundi dan seterusnya memberi kesan terhadap keputusan PRU15.

Sementara itu, Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis pula berkata, tempoh dua hari terakhir itu sepatutnya digunakan oleh parti dan gabungan politik untuk melaksanakan kempen secara bersasar kepada dua kumpulan utama iaitu pengundi tegar dan pengundi atas pagar.

"Pihak bertanding juga perlu mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan bercanggah antara kepimpinan dan menimbulkan kontroversi remeh yang mampu menjejaskan sentimen kedua-dua golongan pengundi sasaran itu,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca