BAGI menganalisis peluang calon-calon bertanding di kerusi-kerusi panas sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sinar Premium menggunakan sistem skor kad untuk menilai prestasi, populariti dan peluang mereka untuk memenanginya. Sistem... Klik di sini untuk terus membaca

BAGI menganalisis peluang calon-calon bertanding di kerusi-kerusi panas sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sinar Premium menggunakan sistem skor kad untuk menilai prestasi, populariti dan peluang mereka untuk memenanginya.

Sistem skor kad ini adalah berteraskan kaedah penilaian lima faktor penting yang terdapat pada calon dan parti diwakilinya seperti imej dan populariti calon, kekuatan parti di kawasan, pengaruh calon dalam parti, tawaran manifesto kawasan dan peluang calon untuk menang.

Setiap kriteria penilaian diukur daripada rating satu hingga lima bintang yang mewakili biasa sehingga sangat cemerlang.

Pasca PRU14 menyaksikan kerusi Simpang Renggam menjadi tumpuan umum susulan penyandangnya daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik ketika itu dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

Mempunyai visi jelas dalam merangka hala tuju pendidikan negara, khidmat Maszlee yang bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) waktu itu, bagaimanapun terhenti pada penghujung tahun 2019 susulan beliau membuat keputusan meletak jawatan sebagai menteri.

Beliau kemudiannya kembali tampil bersemangat sebagai calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH pada PRU15, bagaimanapun laluan Maszlee untuk mengekalkan kerusi itu kini dianggap penuh berliku.

Calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (empat dari kiri) tiba di Pusat Penamaan Calon sambil diiringi penyokong yang memakai busana pengantin di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam.

Hal ini susulan beliau berdepan cabaran Pengerusi UMNO dan BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang mengambil alih kerusi berkenaan daripada Gerakan yang keluar koalisi itu, diikuti Mohd Fazrul Kamat (Perikatan Nasional (PN) - Bersatu) dan Kamal Kusmin (Putra).

Bagi menganalisis peluang kemenangan calon di kerusi itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar mengambil kira faktor imej dan populariti calon, kekuatan parti di kawasan, pengaruh calon dalam parti, tawaran manifesto kawasan dan peluang calon dalam mencongak kemampuan mereka kelak.

Imej dan populariti

Dari sudut imej dan populariti, sudah pasti Maszlee dan Hasni yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor selama setahun mempunyai kelebihan dan dikenali rakyat Simpang Renggam berbanding dua calon lain.

Selain perkhidmatan beliau sebagai Menteri Pendidikan sewaktu pentadbiran kerajaan PH selama 14 bulan, Maszlee juga dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada September 2018.

Hasni

Bagi Hasni, kejayaannya mengetuai BN Johor menang besar dengan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu sudah pasti meningkatkan imej positif beliau dalam kalangan rakyat Simpang Renggam.

Kekuatan parti di kawasan

Menilai kekuatan parti di Parlimen Simpang Renggam, kerusi itu sebenarnya menjadi kubu kuat BN melalui Gerakan sejak ia diwartakan sebagai kawasan Parlimen pada tahun 2004.

Bagaimanapun, apabila Gerakan bertindak keluar koalisi untuk menyertai PN pasca PRU14, kerusi itu menjadi perebutan di antara UMNO dan MCA.

Namun, prestasi dua DUN di bawah Parlimen itu iaitu Layang-Layang dan Machap yang dimenangi calon UMNO pada PRN Johor memastikan kerusi itu diambil alih UMNO pada PRU15.

Bagi PH, kejayaan Maszlee memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti selesa pada PRU14 memberi tapak kukuh kepada koalisi itu untuk mengekalkannya.

Namun kekalahan Maszlee di kerusi DUN Layang-Layang pada PRN Johor menimbulkan tanda-tanya sama ada pengaruh PH di Parlimen itu sudah semakin merosot.

Bagi PN, kehadiran jentera Gerakan membantu Fazrul pada PRU15 juga tidak boleh diambil ringan, manakala kekuatan Putra pula masih samar.

Maszlee (kiri) berdepan saingan empat penjuru termasuk cabaran Hasni (kanan) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam.

Pengaruh dalam parti

Pengaruh Hasni dalam BN sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Hasni merupakan tokoh politik negeri Johor yang paling dihormati bukan sahaja dalam kalangan ahli-ahli parti, bahkan rakyat negeri berkenaan.

Bagi Maszlee pula, kemampuan beliau memperoleh undi sokongan tertinggi ahli PKR bagi pelantikan jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan parti itu, Mei lalu, membuktikan pengaruhnya dalam PKR sangat besar.

Dengan pengalaman luas sebagai bekas Menteri Pendidikan dan sering dianggap calon terbaik untuk kembali menggalas jawatan itu sekiranya PH ke Putrajaya, Maszlee merupakan tonggak harapan PH bagi mencipta momentum kemenangan PRU15.

Tawaran manifesto kawasan

Sebagai penyandang kerusi Simpang Renggam, Maszlee mahu meneruskan agenda mewujudkan hab pendidikan di kawasan itu sekiranya beliau diangkat semula sebagai ahli Parlimen.

Dr Maszlee Malik

Dengan impian mahu melihat warga Simpang Renggam berpendidikan tinggi, Maszlee turut berharap dapat membangunkan sebuah universiti ataupun sekurang-kurangnya sebuah politeknik di Parlimen itu.

Sementara itu, Hasni pula menegaskan beliau tidak ingin memberi sebarang janji 'bulan dan bintang' kepada pengundi sepanjang kempen PRU15.

Namun beliau yakin pengalamannya sebagai bekas menteri besar serta ketua pembangkang sebelum itu akan dapat membantunya bagi lebih memahami bagaimana untuk membangunkan Simpang Renggam.

Bagi Fazrul, beliau lebih mementingkan kepada isu pendidikan kemahiran khususnya kepada anak muda kerana ia lebih penting.

Peluang menang PRU15

Mendepani hari pengundian pada 19 November ini, faktor pertambahan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun dan daftar automatik sebanyak 15,035 orang mungkin menjadi faktor penentu kemenangan mana-mana calon di Simpang Renggam kelak.

Dengan demografi terkini bagi kerusi Simpang Renggam menampakkan pertambahan peratusan pengundi kaum Melayu, sudah pasti Hasni mewakili UMNO-BN dilihat mempunyai potensi melakar kejutan ke atas Maszlee.

Namun, sekiranya kadar peratusan keluar mengundi pada PRU15 tinggi melebihi 80 peratus dan kempen luar biasa PH mampu memujuk pengundi muda menyokong koalisi itu, Maszlee mampu mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti tipis.

Ada juga kemungkinan PN berupaya memecahkan dominasi PH atau BN, sekiranya tsunami pengundi Melayu menjauhi dua koalisi berkenaan yang berlaku sepanjang kempen PRU15.

Klik di sini untuk terus membaca