SHAH ALAM - Tiada apa yang lebih menyakitkan daripada kehilangan wanita yang paling agung dalam hidup ini dan terpaksa menanggung rindu sepanjang hayat. Itulah luahan anak kepada mangsa pramugari Malaysia Airlines, Mastura Mustafa yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada apa yang lebih menyakitkan daripada kehilangan wanita yang paling agung dalam hidup ini dan terpaksa menanggung rindu sepanjang hayat.

Itulah luahan anak kepada mangsa pramugari Malaysia Airlines, Mastura Mustafa yang terkorban dalam tragedi MH17 akibat pesawat itu ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Biarpun baru berumur 10 tahun ketika kejadian itu berlaku, masih terngiang-ngiang akan perasaan pilu yang ditanggung oleh Muhammad Muhriz Marzaidi,18, sejurus mendapat berita bahawa insan yang paling disayangi telah pun meninggal dunia dalam tragedi yang menyayat hati itu.

"Di manakah ibu? Adakah ibu tidak mahu pulang?” itulah kata-kata yang sering ditanya oleh Muhammad Muhriz kepada setiap ahli keluarganya.

Mujur sahaja ayahnya sentiasa berada di sisi untuk menenangkan keadaan dan menerangkan perkara sebenar kepada Muhammad Muhriz yang berada dalam keadaan sedih dan keliru ketika itu.

Mana tidaknya, dia cukup rapat kerana merupakan satu-satunya anak tunggal Allahyarham Mastura dan banyak meluangkan masa bersama biarpun ibunya sering sibuk bertugas dan jarang berada di rumah.

Muhammad Muhriz yang digendong oleh ibunya, Mastura Mustafa merupakan satu-satunya anak tunggal wanita itu.

Pada malam kejadian, masih segar di dalam ingatan Muhammad Muhriz apabila dia mendapat mimpi seolah-olah ibunya mengucapkan selamat tinggal dan akan pergi buat selamanya.

"Kejadian MH17 berlaku pada tengah malam ketika saya tengah tidur. Semasa itu, saya didatangi mimpi aneh di mana arwah ibu memakai baju putih dan seolah-olah mengucapkan selamat tinggal untuk kali terakhir.

"Selepas dari mimpi itu, saya terjaga dan terus menitikkan air mata. Perasaan saya sangat sukar digambarkan dan saya juga agak terkejut kerana tidak pernah mengalami mimpi seperti itu sepanjang hidup,” katanya kepada Sinar Premium.

Selain itu, Muhammad Muhriz turut berkongsi pengalaman kali terakhir dia menatap wajah si ibu sebelum pergi meninggalkannya untuk selama-lamanya.

"Pada hari kejadian semasa di balai pelepasan lapangan terbang, ibu berkelakuan agak janggal apabila dia bersalam-salaman dan meminta maaf kepada arwah atuk serta memeluk saya dengan sangat erat seolah-olah tahu itu merupakan kali terakhir kami melihatnya.

"Saya masih terasa kehangatan berada dalam pelukan ibu dan apabila dikenang kembali, saya tertanya-tanya mungkinkah itu petanda bahawa ibu akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya?” katanya.

Ketika ditanya apa kenangan yang paling sedih sepanjang pemergian ibu tercinta, Muhammad Muhriz berkata, ia adalah semasa hari raya pertama tanpa ibu.

"Tragedi pahit itu berlaku pada 10 malam terakhir di bulan puasa. Oleh itu, tahun 2014 adalah tahun pertama berhari raya tanpa ibu dan itu merupakan perkara yang paling sedih dan terkilan bagi saya.

"Seluruh ahli keluarga kami berkabung. Suasana ketika itu sangat suram. Perasaan saya bercampur baur dan sangat sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata,” luahnya sedih.

TIDAK LAGI BOLEH MELIHAT KAPAL TERBANG

Tentu sahaja, tragedi lapan tahun lalu merupakan sebuah titik hitam buat semua keluarga mangsa MH17.

Trauma dan pilu, Muhammad Muhriz amat berat sehinggakan dia tidak boleh lagi melihat kapal terbang sama seperti dulu kerana memori hitam itu akan menjelma.

Serpihan pesawat MH17 yang meletup di udara selepas ditembak jatuh di ruang udara wilayah timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

"Saya tidak boleh melihat kapal terbang sehingga kini kerana ia sentiasa mengingatkan saya tentang ibu.

"Saya seperti dapat melihat kelibat ibu dan selepas kejadian itu, saya tidak pernah menjejakkan kaki di dalam kapal terbang lagi. Mungkin ia akan memakan masa yang agak lama untuk saya kuat menaiki kapal terbang semula,” katanya.

Jika boleh diundur masa, Muhammad Muhriz ingin memohon sejuta kemaafan dan tidak akan jemu mengungkapkan kata-kata sayang kepada ibunya yang telah pergi.

"Ibu tidak sempat melihat saya membesar dan kini saya merupakan seorang pelajar jurusan kejuruteraan komputer di sebuah universiti tempatan.

"Jika ibu masih hidup, mungkin dia akan tersenyum dan bangga dengan saya kerana sudah berusaha untuk mencapai pencapaian akademik yang baik demi dirinya,” katanya.

TIADA DENDAM, HANYA MAHU KEADILAN

Pada Khamis ini, hakim di mahkamah Belanda akan memberikan keputusan terhadap kes perbicaraan melibatkan empat tertuduh yang didakwa menembak jatuh MH17 di ruang udara wilayah timur Ukraine yang dikawal kumpulan pemisah pro-Rusia pada 2014.

Keempat-empat suspek yang didakwa sebagai dalang utama tragedi menggemparkan itu.

Prosiding itu diadakan di The Hague berikutan 196 daripada 298 mangsa penumpang ialah warga Belanda.

Jumlah rakyat Malaysia yang terkorban adalah seramai 43 orang termasuk 15 krew Malaysia Airlines.

Tiga tertuduh warga Rusia, Igor Girkin, Sergei Dubinskiy, Oleg Pulatov dan seorang rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabit bersalah atas tuduhan membunuh dan menyebabkan nahas MH17.

Pendakwa raya mendakwa kesemua tertuduh memainkan peranan utama membawa masuk sistem misil BUK ke Ukraine dari pangkalan tentera di Moscow.

Sebagai seorang anak yang kehilangan ibu, Muhammad Muhriz bagaimanapun tidak berdendam namun berharap mahkamah membuat keputusan yang tepat dengan menjatuhkan hukuman setimpal.

"Saya berharap mereka dapat mencari apa motif sebenar tertuduh menembak kapal terbang.

"Selain keadilan mahkamah, saya amat berharap kerajaan Malaysia menunaikan janji mereka untuk menjaga kebajikan anak-anak waris MH17. Sehingga kini, saya tidak menerima sebarang bantuan seperti yang dijanjikan,” katanya.

TIADA LAGI PANGGILAN KAKAK YANG DINANTI SETIAP MINGGU

Sementara itu, adik bongsu Allahyarham Norahimah Mohd Noor, salah seorang daripada mangsa kejadian itu, Noorlin, 55, berkata, biarpun reda dengan pemergian kakaknya, perasaan terkilan masih ada apabila dia tidak dapat lagi mendengar suara kakak keduanya dalam panggilan yang dinanti setiap minggu.

"Biarpun sudah lapan tahun tragedi ini terjadi, sehingga kini saya merasakan bahawa kakak saya masih ada cuma dia duduk berjauhan daripada kami semua. Dahulu, kakak tidak pernah lupa untuk bertanya khabar dan menelefon saya setiap minggu. Itu yang paling saya rindu.

Seramai 15 kru dan anak kapal MH17 terkorban termasuk Mastura Mustafa (kanan, baris kedua dari atas).

"Oleh kerana saya merupakan anak bongsu, kakak melayan saya persis seorang ibu. Saya amat manja dan makan bersuap sehingga tingkatan tiga malah kakak akan membekalkan makanan untuk saya walaupun sudah berkahwin,” katanya kepada Sinar Premium.

Noorlin berkongsi, tujuan kakaknya naik ke pesawat ketika itu adalah untuk pulang ke Malaysia menyambut 10 malam terakhir berpuasa dan beraya bersama keluarga setelah hampir 30 tahun tidak beraya bersama-sama.

Allahyarham yang pada kebiasaannya akan mengambil tiket penerbangan dari Paris ke Malaysia terpaksa mengubah destinasi di Amsterdam ketika itu kerana kehabisan tiket.

Lebih menyedihkan apabila semua persiapan raya termasuk membeli telekung untuk solat terawih bersama-sama sudah dibuat oleh Noorlin sekeluarga yang sangat teruja menyambut kepulangan kakak tercinta.

"Semasa di Amsterdam, dia menelefon saya dan memesan untuk menunggu kepulangannya. Itu yang membuat saya terkilan kerana tidak kesampaian untuk beraya bersama kakak,” katanya.

Pun begitu, Noorlin amat bersyukur kerana kakaknya adalah salah satu daripada 16 jenazah yang sempurna dan telah dikebumikan di Masjid Lama, Tambun, Perak.

"Saya reda dan bersyukur kerana akhirnya dia pulang ke sini jua kerana itu merupakan permintaan terakhirnya,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca