SELEPAS negara berhadapan kemelut politik dan ekonomi yang berlanjutan sejak dua tahun lalu, pengundi diminta tidak melepaskan peluang untuk ‘reset’ atau membentuk semula negara dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS negara berhadapan kemelut politik dan ekonomi yang berlanjutan sejak dua tahun lalu, pengundi diminta tidak melepaskan peluang untuk ‘reset’ atau membentuk semula negara dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, peluang mengundi tidak boleh disia-siakan kerana ia hanya datang sekali dalam masa lima tahun.

Tegas beliau, bagi memastikan perubahan dapat dilakukan, calon yang dipilih mestilah seorang yang berani, jujur, berintegriti, bijak, kompeten, bertanggungjawab, sanggup membela nasib rakyat dan paling penting bebas rasuah.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, RAIHAM MOHD SANUSI dan NUR IFTITAH ROZLAN bersama Hussamuddin yang juga Penasihat Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

SINAR HARIAN: Datuk lihat di mana kita hari ini?

HUSSAMUDDIN: Lihatlah di mana kita pada hari ini apabila bisnes, ekonomi, pendidikan, tak kira bangsa atau agama semua terpalit dengan isu moral dan nilai yang rosak sehingga rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, ketidaktelusan, ketidakefisienan berleluasa sekali. Kenapa kita jadi begitu? Kerana kita gagal meneliti nilai di sebalik agama untuk dijadikan pegangan dalam menjaga keharmonian. Kita haloba kuasa, nama dan harta yang tak bawa kita ke mana-mana.

Kita sudah kebas dan hilang rasa ketika melihat orang tua, anak-anak dan generasi kita merana kerana ketamakan dan kesombongan kita itu. Kita buta untuk melihat alam yang rosak kerana tangan-tangan kita sendiri. Kita juga bisu dan sanggup mendiamkan kebenaran.

SINAR HARIAN: Bagaimana masa depan yang kita inginkan?

HUSSAMUDDIN: Sebenarnya kita inginkan politik, ekonomi, sosial, teknologi, alam sekitar dan perundangan yang ada peradaban dan tamadun negara yang dibina atas dasar nilai yang mulia. Kita mahu profesional dan cerdik pandai kita menjadi menteri, doktor, peguam, jurutera, pensyarah dan lain-lain berakhlak, yang ada moral yang tinggi dan bukan penipu serta mementingkan diri sendiri.

Kita mahu Malaysia yang lebih bermaruah dan mulia, bukan terkenal kerana rasuah dan salah guna kuasa. Kita mahu negara yang rakyatnya miskin dan susah tidak kira di pedalaman mahupun di bandar dibantu.

Kita mahu pemimpin jujur yang menerajui rakyat dengan ikhlas, menggalakkan Malaysia kreatif dan berdaya saing serta teguh berpegang kepada integriti dan tata budaya negara kita. Kerana itulah kita semua mesti turun mengundi.

SINAR HARIAN: Boleh Datuk jelaskan lebih lanjut?

HUSSAMUDDIN: Selama ini kita mengeluh dan merungut negara kita berada dalam keadaan politik dan ekonomi yang tidak baik dan kelam kabut hingga menyebabkan kita rasa bosan. Jadi dalam PRU15 ini, kita berpeluang untuk ‘reset’ semula negara ini.

Sekarang mandat diserahkan kembali kepada rakyat. Jom kita keluar mengundi beramai-ramai untuk menentukan masa depan negara. Kita pilih orang dan parti yang lebih baik daripada yang ada sekarang.

Mari kita rebut peluang untuk memulihkan negara. Mengundi adalah hak dan tanggungjawab setiap warganegara. Peluang ini hanya datang sekali dalam masa lima tahun.

Kita yang patut menentukan masa depan negara, jadi janganlah biar orang lain tentukan masa depan kita.

Hussamuddin - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Keyakinan terhadap Malaysia perlu dipulihkan semula sama ada di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa. Pemimpin yang patut dilantik adalah yang mampu merealisasikan hasrat rakyat.

Kita mesti pastikan pemimpin yang kita pilih boleh memandu negara ini dengan pembaharuan yang berdaya saing dan mesti meningkatkan kedudukan kita dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun-tahun yang akan datang.

Kita mahukan negara kita yang berbilang bangsa mempunyai jati diri yang dibina bersama dengan harmoni. Bersedia atau tidak, kita perlu keluar mengundi.

Maka semua rakyat yang layak mengundi perlu keluar untuk menentukan masa depan negara kita. Undilah calon yang berani, jujur, berintegriti, bijak, kompeten, bertanggungjawab, sanggup membela nasib rakyat dan paling penting bebas rasuah.

SINAR HARIAN: Kadar peratusan keluar mengundi awal pada 15 November lalu adalah sebanyak 94.7 peratus, meningkat berbanding 83.2 peratus pada PRU14. Bagaimana Datuk melihat gelombang peningkatan ini?

HUSSAMUDDIN: Ini adalah satu perkembangan yang baik, maknanya sekarang rakyat mulai sedar tentang pentingnya kita memilih pemimpin yang baik. Saya kira rasuah ini sudah menjadi satu isu yang utama kerana di mana-mana pun kita melihat orang bercakap tentang rasuah.

Semua parti politik bercakap tentang antirasuah, malah pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan rasuah pun bercakap tentang antirasuah. Dalam manifesto semua parti untuk PRU15 ini turut menjanjikan reformasi undang-undang dan pelbagai tindakan yang akan diambil terhadap perasuah.

Sekarang rakyat merasakan ada harapan, jadi saya kira rakyat akan turun beramai-ramai untuk mengundi dan memilih pemimpin yang dirasakan baik dan boleh mengubah nasib kita.

SINAR HARIAN: Apa pandangan Datuk sekiranya kerajaan campuran akan diwujudkan?

HUSSAMUDDIN: Saya sangat bersetuju (dengan kerajaan campuran). Kita sudah melihat apabila kerajaan yang begitu mendominasi, apa akan terjadi kepada negara? Jadi, ini merupakan satu peralihan.

Kita lihat dalam PRU14, ada tiga kerajaan dan rakyat sudah boleh menilai bagaimana (bentuk pentadbiran) setiap kerajaan itu. Saya kira ini juga satu pengajaran buat parti-parti politik seperti BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), semuanya telah belajar daripada kesilapan mereka sepanjang lima tahun ini.

Hussamuddin - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Jadi, sekarang ini merupakan peluang untuk Malaysia bangkit kembali. Secara peribadi, saya berharap akan ada satu kerajaan campuran yang baik untuk sama-sama melaksanakan reformasi kerana semua parti menjanjikan reformasi. Apabila mereka bergabung, tidak ada alasan untuk mereka menolak apa-apa reformasi.

Untuk mengeluarkan kita daripada rasuah, kita memerlukan reformasi institusi dan undang-undang. Ini memerlukan undian daripada ahli Parlimen itu sendiri. Jadi, sebuah kerajaan campuran akan menekankan agenda itu. Untuk Malaysia, ini adalah perkara yang lebih baik.

Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memilih calon yang baik daripada setiap parti. Ketepikan parti kali ini. Pilih calon-calon yang baik, kemudian kita mengharapkan mereka akan mengubah parti masing-masing. Melalui kerajaan campuran, mereka dapat mengubah undang-undang dan institusi di Malaysia untuk memulihkan integriti dalam pentadbiran negara.

SINAR HARIAN: Sekiranya wujud kerajaan campuran, adakah Datuk bimbang krisis politik akan berlanjutan?

HUSSAMUDDIN: Saya kira lima tahun sebelum ini sudah mengajar ramai orang terutamanya rakyat. Mereka faham rakyat sekarang sudah tidak boleh ditipu, semua orang perlu berubah.

Maknanya, UMNO, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan semua parti harus berubah. Jika tidak, mereka tidak akan relevan lagi untuk PRU16.

Jadi, ini adalah sebuah transisi dan biasanya kita memerlukan tempoh antara 10 hingga 15 tahun untuk mengubah sistem yang sudah berusia 60 tahun. Ini adalah penggal kedua untuk berubah.

SINAR HARIAN: Apa harapan Datuk menjelang PRU15?

HUSSAMUDDIN: Seboleh-bolehnya kita ingin ramai keluar mengundi. Semua harus mengundi. Sebab itu kita lancarkan kempen #SatuJari kerana ini tanggungjawab rakyat.

Jadi, kita harus keluar dan tentukan siapa 222 ahli Parlimen yang boleh membawa Malaysia keluar daripada kancah yang ada sekarang. Sekurang-kurangnya apabila calon yang berjaya itu adalah calon yang kompeten, jika parti yang bergabung nak pilih menteri nanti, mereka akan memilih dalam kalangan pemimpin yang kompeten.

Sekiranya ada kerajaan campuran daripada tiga gabungan politik yang besar ini, mereka akan menjanjikan reformasi dan ini yang kita harapkan. Tetapi jika satu (gabungan) sahaja menang dominan, mereka tidak akan buat (reformasi). Atau kalau buat pun, yang lain tidak akan sokong.

Klik di sini untuk terus membaca