POLAND yang terletak bersebelahan dengan Rusia dan Ukraine menerima kejutan pada petang Selasa apabila sebuah peluru berpandu mendarat dan meletup di sebuah bangunan di ladang kampung Przewodow sehingga menyebabkan dua lelaki terbunuh. Pada... Klik di sini untuk terus membaca

POLAND yang terletak bersebelahan dengan Rusia dan Ukraine menerima kejutan pada petang Selasa apabila sebuah peluru berpandu mendarat dan meletup di sebuah bangunan di ladang kampung Przewodow sehingga menyebabkan dua lelaki terbunuh.

Pada peringkat awalnya, Rusia yang menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu segera didakwa sebagai suspek serangan itu manakala Presiden Poland, Andrzej Duda memberitahu bahawa peluru berpandu tersebut kemungkinan buatan Rusia.

Bagaimanapun, katanya, tiada bukti jelas tentang pihak manakah yang melancarkannya ke arah kampung tersebut tetapi menjelaskan bahawa siasatan sedang dilakukan oleh pihak berkuasa negaranya.

Kementerian Luar Poland turut menyatakan bahawa peluru berpandu itu adalah buatan Rusia sehingga menyebabkan Menteri Luarnya, Zbigniew Rau memanggil Duta Rusia ke Warsaw untuk memberikan penjelasan terperinci dengan segera tetapi tiada sebarang butiran lanjut diberikan tentang pertemuan tersebut.

Berikutan itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memberitahu para pemimpin G20 pada Rabu lalu menerusi video lalu menuduh Rusia yang melancarkan serangan peluru berpandu itu dan meminta tindak balas segera dilakukan selepas kejadian tersebut.

Poland merupakan anggota pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sejak tahun 1999 dan dilindungi oleh komitmen NATO terhadap pertahanan kolektif yang termaktub dalam Artikel 5 perjanjian penubuhannya.

Namun, Rusia kemudian menafikan bahawa ia yang melancarkan serangan peluru berpandu itu ke arah kampung tersebut dan menganggap Moscow dikaitkan dengan kejadian tersebut sebagai provokasi yang bertujuan untuk meningkatkan ketegangan dalam perang Ukraine.

Kampung itu pula terletak berdekatan dengan sempadan Ukraine di bahagian timur Poland.

TERGEMPAR

Berita 'serangan' peluru berpandu tersebut tersebar dengan pantas sehingga satu mesyuarat tergempar diadakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Bali, Indonesia pada Rabu.

Mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Biden di Bali itu dihadiri oleh para pemimpin dari negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) termasuk Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Canselor Jerman, Olaf Scholz Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang bukan merupakan anggota NATO.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez; Perdana Menteri Belanad, Mark Rutte; Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel turut menyertai menyuarat tergempar tersebut.

Ketika bercakap kepada pemberita, Biden tidak 'menuding jari' ke arah Moscow seperti yang dibuat oleh Presiden Ukraine kerana menyebabkan peluru berpandu tersebut meletup di kampung Poland itu sehingga mengakibatkan kematian sebaliknya menyatakan bahawa maklumat awal menunjukkan ia tidak mungkin dilancarkan dari Rusia.

Moscow menafikan melancarkan peluru berpandu ke sebuah kampung di Poland. - Foto AFP

Rusia menghargai sikap Biden itu apabila jurucakap Moscow, Dmitry Peskov pada Rabu memuji tindak balas AS menerusi kenyataan Biden itu dengan menyatakan respon yang diberikannya lebih profesional dalam isu peluru berpandu di Poland.

TEMBERANG

Adakah 'temberang' Ukraine dalam isu 'serangan' peluru berpandu itu terbongkar?

Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, imej yang diterbitkan dari tapak letupan di Poland menunjukkan terdapat serpihan peluru berpandu anti-pesawat berpandu daripada sistem pertahanan udara S-300 milik Ukraine.

Justeru, Moscow menuduh Ukraine yang melancarkan peluru berpandu itu di Poland sehingga menyebabkan dua orang terkorban.

Dakwaan bahawa Ukraine yang melancarkan serangan tersebut diperkuatkan lagi dengan kenyataan daripada sekutu AS iaitu Belgium apabila ia mendakwa peluru berpandu tersebut mendarat di kampung Poland mungkin disebabkan oleh pertahanan udara Keiv yang melepaskan tembakan ke arah peluru berpandu milik Rusia.

Menteri Pertahanan Belgium, Ludivine Dedonder menegaskan dalam satu kenyataan bahawa berdasarkan maklumat awal, serangan itu berkemungkinan besar hasil daripada sistem antipesawat Ukraine yang terlibat untuk mengeluarkan peluru berpandu Rusia dari ruang udara negaranya.

Persoalannya kini adakah Ukraine masih mahu menuduh Rusia terlibat dalam serangan peluru berpandu di sebuah kampung di Poland itu walaupun terdapat bukti-bukti bahawa ia sebenarnya senjata milik negara yang diserang oleh Rusia?

Pastinya ada pihak yang melancarkan serangan peluru berpandu itu dan tidak mungkin terdapat kumpulan pejuang misteri yang mahu meningkatkan lagi ketengangan dalam perang Ukraine. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca