TOK termenung jauh memikir nasib yang menimpa sebuah parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ironinya, parti inilah yang mendesak supaya diadakan pilihan raya lebih awal walaupun banyak pihak tidak bersetuju kerana dibimbangi berlaku banjir besar.
Sebaik sahaja Parlimen dibubar, parti-parti lain telah mengumumkan calon masing-masing tetapi mereka yang paling lambat.
Ibarat rumah sudah siap pahat masih berbunyi, pemilihan calon telah menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dan amarah.
Kemudian, manifesto dibentangkan agak lambat berbanding parti lain, ada suara-suara yang mengatakan manifesto itu tidak mencapai tahap yang memuaskan hati.
Ada juga yang memuji manifesto terbaik ialah yang terdapat dalam pembentangan bajet yang lepas.
Justeru, ramai tertanya-tanya ke mana hala tuju parti berkenaan yang sepatutnya dipimpin oleh seorang panglima perang yang hebat berada di depan mengepalai serangan lawan.
Selidik punya selidik, Tok dengar adalah beberapa isu yang timbul. Antaranya masalah peruntukan kewangan yang khabarnya tidak sampai kepada jentera parti.
Selain itu, isu calon Perdana Menteri terus jadi persoalan walaupun sudah dijawab berulang kali sehingga menjadi senjata untuk pihak lawan.
Dalam pada itu, beberapa penganalisis turun untuk meninjau perkembangan semasa beritahu Tok parti itu sudah ketinggalan di belakang parti lain.
Nampaknya strategi yang cuba dilaksanakan parti itu memang sukar untuk dibaca pemerhati politik.
Bagaimanapun, jika strategi itu berjaya dilaksanakan, maka Tok memang angkat topi dan tabik dengan pemimpin parti itu. Jadi Tok tak sabar hendak tunggu keputusan rakyat pada Sabtu ini.
Klik di sini untuk terus membaca