BAGI menganalisis peluang calon-calon bertanding di kerusi-kerusi 'panas' sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sinar Premium menggunakan sistem skor kad untuk menilai prestasi, populariti dan peluang mereka untuk... Klik di sini untuk terus membaca

BAGI menganalisis peluang calon-calon bertanding di kerusi-kerusi 'panas' sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sinar Premium menggunakan sistem skor kad untuk menilai prestasi, populariti dan peluang mereka untuk memenanginya.

Sistem skor kad ini adalah berteraskan kaedah penilaian lima faktor penting yang terdapat pada calon dan parti diwakilinya seperti imej dan populariti calon, kekuatan parti di kawasan, pengaruh calon dalam parti, tawaran manifesto kawasan dan peluang calon untuk menang.

Setiap kriteria penilaian diukur daripada rating satu hingga lima bintang yang mewakili biasa sehingga sangat cemerlang.

Pada PRU15 ini, kerusi Parlimen Ampang bakal menyaksikan pertembungan sengit sembilan penjuru antara penyandang sedia ada iaitu Datuk Zuraida Kamaruddin, yang bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan lapan calon lain.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu bakal menghadapi saingan lapan calon lain termasuklah bekas rakan seperjuangannya dalam PKR, Rodziah Salleh, dari Pakatan Harapan (PH); wakil Barisan Nasional (BN), Ivone Low Yi Wen dan Sasha Lyna Abdul Latif dari Parikatan Nasional (PN).

Dari kanan, Hua Meng, Sasha Lyna, Nurul Ashikin, Zuraida, Rodziah, Ivone Low, Raveendra, Bryan Lai dan Muhammad Shafiq

Lima lagi calon lain yang turut memberi cabaran kepada Zuraida ialah Dr Nurul Ashikin Mabahwi dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang); Bryan Lai Wai Chong (Parti Warisan), Raveendra Marnokaran (Bebas), Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos (Bebas) dan Tan Hua Meng (Bebas).

Oleh itu, tidak hairanlah Parlimen Ampang dianggap antara kerusi paling panas dan unik bukan hanya kerana pertembungan sembilan penjuru, malah bakal menjawab teka-teki sama ada kemenangan Zuraida selama tiga penggal di parlimen berkenaan sebelum ini adalah atas faktor populariti dan sumbangan peribadinya kepada penduduk setempat atau bersandarkan kekuatan PH.

Biarpun terdapat peningkatan jumlah pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang agak drastik di Parlimen Ampang, iaitu dari 91,737 (pada PRU14) kepada 133,494 pada PRU15, namun ia bukan jaminan Zuraida bakal menang dengan majoriti lebih besar kali ini.

ZURAIDA LANGKAH KANAN ATAU KIRI

Pada PRU14, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden PKR, memenangi kerusi Parlimen Ampang atas tiket PH selepas memperoleh 54,307 undi (majoriti 41,956 undi).

Beliau menewaskan tiga lagi calon lain termasuk Leong Kim Soon (BN), Nurul Islam Mohamed Yusoff (Pas) dan Tan Hua Meng (Parti Rakyat Malaysia), sebelum melompat dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Zuraida sah menyertai PBM, pada 9 Jun lalu dan diangkat menjadi pengganti presiden oleh pucuk pimpinan parti itu, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Tidak lama selepas itu, hubungan Zuraida dan Larry Sng menjadi tegang seketika gara-gara perebutan kuasa antara mereka sehingga menyebabkan penyandang kerusi Ampang itu digantung keahliannya oleh parti.

Namun, Zuraida kembali dicalonkan oleh Larry Sng selepas perbincangan dalaman selain PBM tidak mempunyai calon lain bagi menggantikan bekas Naib Presiden PKR yang agak popular dalam kalangan pengundi di situ.

Berikutan itu, wartawan Sinar Premium mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, bagi menjelaskan secara lebih terperinci mengenai peluang setiap calon.

Antara faktor diambil kira dalam menilai wakil parti bertanding dan calon Bebas untuk memenangi kerusi panas berkenaan termasuklah dari segi imej, populariti calon, kekuatan parti, pengaruh calon dalam parti, tawaran manifesto kawasan dan peluang mereka untuk menang.

IMEJ DAN POPULARITI

Dari segi imej dan populariti, Zuraida dan Rodziah dilihat lebih terkehadapan berbanding tujuh calon lain kerana mereka berdua masing-pernah menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet Persekutuan dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Untuk rekod, Zuraida, 64, pernah memegang jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semasa era pemerintahan PH selama 22 bulan dan PN selama 17 bulan sebelum bertukar portfolio ke Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, pada tahun lalu.

Zuraida, Rodziah

Dari segi politik Zuraida pernah menjadi salah seorang Naib Presiden dan Ketua Wanita PKR, sebelum bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu dan dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 2020, seterusnya melompat sekali lagi dan dilantik menjadi Presiden Pengganti PBM.

Manakala, Rodziah, 58, pula adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga selama tiga penggal berturut-turut sejak 2008 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Wanita PKR serta Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor sejak 2018.

Rodziah juga pernah memegang jawatan selaku, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi juga merupakan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan Ketua Wanita Keadilan Selangor.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Rodziah yang bertanding atas tiket PH menang kerusi DUN Batu Tiga dengan mendapat 27,638 undian sekali gus menewaskan Ahmad Mua`adzam Shah Ya`kop daripada BN yan mendapat 12,022 undi dan wakil Pas, Abdul Halim Omar (7,793 undi).

KEKUATAN PARTI DI PARLIMEN AMPANG

Walaupun popular di Ampang, Zuraida mempunyai masalah dengan populariti dan pengaruh parti PBM di Parlimen itu.

Jika pengundi melihat kepada faktor parti, ia akan memberi masalah kepada Zuraida yang sebelum ini berada dalam kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia berbeza dengan Rodziah, apabila Ampang merupakan antara kubu kuat parti PH sejak beberapa edisi PRU. Parti-parti lain seperti BN dan Pejuang juga tidak mempunyai atau belum membuktikan pengaruh hebat mereka PH di Ampang.

TAWARAN MANIFESTO

Dari segi manisfesto, tawaran diberikan oleh Rodziah terutama untuk menyelesaikan isu perumahan rakyat jauh nampak menyakinkan kerana beliau ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor dan mungkin diangkat menjadi Menteri Kabinet jika beliau menang kerusi Ampang dan PH berjaya kembali menguasai Putrajaya nanti.

Biarpun, Zuraida mengemukakan enam tawaran utama dalam manisfestornya termasuk pemberian RM1 juta daripada peruntukan Ahli Parlimen kepada sekolah di Ampang, namun ia dilihat kurang realistik kerana PBM sukar untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan campuran selepas PRU15 nanti jika BN, PH mahu pun PN menguasai Putrajaya.

PELUANG MENANG PRU15

Berikutan itu, tidak hairanlan jika penganalisis politik melihat biarpun Zuraida menang besar dalam PRU14 lalu, namun tiada jaminan beliau mampu mempertahankan kerusi Parlimen Ampang kecuali ada sesuatu keajaiban berlaku kerana PBM tidak mempunyai penyokong akar umbi yang ramai dan saingan sengit daripada lapan calon lain.

"Zuraida menyandang kerusi Ampang selama tiga penggal atas tiket PKR tetapi secara bersendirian dan atas tiket peribadi, beliau tidak mempunyai pengaruh yang kuat dan penyokong setia ramai di kerusi berkenaan.

"Oleh itu, saya menjangkakan calon Rodziah akan menang di kerusi Ampang pada PRU15 kerana beliau adalah orang lama dalam PKR dan dianggap sebagai penyokong setia Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala tujuh lagi calon sekadar memeriahkan suasana sahaja," kata Mazlan.


INFO


Keputusan PRU14:

ZURAIDA KAMARUDDIN (PKR) - menang

Jumlah undi: 54,307

Majoriti : 41,956

Telah menewaskan:

LEONG KIM SOON (BN)

Jumlah undi: 12,351

Telah menewaskan:

NURUL ISLAM BIN MOHAMED YUSOFF (Pas)

Jumlah undi: 9,598

Telah hilang deposit:

TAN HUA MENG (PRM)

Jumlah undi: 294


Klik di sini untuk terus membaca