SHAH ALAM - Firma penyelidikan politik, EMIR Research mengeluarkan jangkaan atau ramalan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan beberapa keputusan mengejut termasuk beberapa pemimpin 'heavyweight' parti tewas di Parlimen ditandingi mereka.
Antara yang diramalkan EMIR Research akan tewas pada PRU15 Sabtu ini ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu diramalkan EMIR Research kepada 'giant killer' daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang pernah menumbangkan bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU14 lalu.
Pada PRU14 lalu, Zahid berjaya mempertahankan kerusi Bagan Datuk selepas memperoleh 18,909 undi (majoriti 5,073 undi) dengan menewaskan calon PH, Pakhrurrazi Arshad (13,836 undi) dan wakil Pas Ata Abdul Muneim Hasan Adli (4,061).
EMIR Research juga meramalkan dua ketua parti komponen BN iaitu Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, turut tumbang kepada lawan masing-masing di Parlimen Sungai Siput dan Ayer Hitam pada PRU kali ini.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula dijangka EMIR Research gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun.
Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga penyandang kerusi Ampang pula turut dikatakan akan kalah kepada Rodziah Salleh dari PH dalam pertembungan sengit sembilan penjuru Sabtu ini.
Nasib juga dijangka tidak menyebelahi Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang diramal gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tambun dimenanginya pada PRU14 kerana tewas kepada Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
EMIR Research meramalkan PH akan terus menambah kerusi menerusi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dijangka mencipta kejutan dengan menewaskan bekas mentornya merangkap Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak.
Untuk rekod, Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap bekas Timbalan Presiden PKR menyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum 2018.
Bekas Menteri Besar Selangor itu menang kerusi Gombak pada PRU14 selepas memperoleh majoriti 48,721 atas tiket PH, sebelum menyertai Bersatu semasa Langkah Sheraton pada 2020.
Satu lagi ramalan mengejutkan EMIR Research ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (BN), juga dikatakan bakal tewas di tangan penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor, merangkap bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad (PH) dalam pertembungan empat penjuru bersama Shaid Rosli (GTA) dan Mohd Noor Shahar (PN).
Satu lagi kerusi panas iaitu Sungai Buloh turut menyaksikan keputusan mengejut, apabila EMIR Research menjangka PH gagal mempertahankan kerusi tersebut. Firma itu meramalkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan menewaskan Ramanan dari PH.
Sementara itu, Ketua Srikandi Bersatu merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, pula diramal tersungkur di tangan calon PH, Raj Muni Aiman Athirah dalam pertarungan sengit tujuh penjuru.
Bagaimanapun EMIR Research meramalkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad akan tewas kepada bekas Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani di Parlimen Titiwangsa selepas berpindah dari Shah Alam.
Bekas Menteri Besar merangkap Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad pula dikatakan EMIR Research bakal tewas di tangan bekas Menteri Pendidikan, Dr Mazslee Malik dari PH di Parlimen Simpang Renggam pada PRU15 ini.
Penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota merangkap Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN) juga diramalkan firma itu kecundang kepada calon PH, Zuraidi Ismail dalam persaingan empat penjuru bersama Datuk Quek Tai Seong (BN) Dr Mohamad Nor Sundari (GTA).
Menurut EMIR Research dalam dapatan kajian yang dikeluarkan petang tadi, tindakan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, yang bertanding atas tiket BN diramal membawa padah apabila beliau dijangka gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tumpat disandangnya sebelum ini selepas kalah kepada calon PN, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Turut menerima nasib sama ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang diramalkan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tanah Merah selepas mengkhianati UMNO dan melompat parti menyertai Bersatu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (PN) yang menyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, pula tewas kepada calon BN merangkap Ahli Dewan Undang Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat.
Seorang lagi calon sensasi PN, Datuk Seri Shahidan diramalkan EMIR Research akan menang di Arau.
Dalam dapatan bagi 165 kerusi Parlimen di Semenanjung itu, EMIR Research meramalkan PH di depan dengan menang 94 kerusi, diikuti BN 46 kerusi, PN 24 kerusi dan GTA 1 kerusi.
Pun begitu dengan lebih 41 kerusi menurut EMIR Research adalah sangat sengit dengan mendakwa majoriti kurang 1,000 keputusan sebenarnya hanya diketahui Sabtu ini.