SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk ke mahkamah berhubung tuntutan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menerusi surat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk ke mahkamah berhubung tuntutan yang dikemukakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menerusi surat tuntutan (LOD) pada Rabu.

Rafizi mengakui turut mengalu-alukan dan menerima secara terbuka sekiranya Ikmal Hisham ingin memfailkan saman terhadapnya.

Beliau berkata, setiap pendedahan yang dikemukakan telah disemak faktanya terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum agar ia tidak menyalahi undang-undang.

"Saya agak selesa untuk ke mahkamah kerana kebiasaannya saya sudah semak dahulu untuk pastikan ia berada dalam peruntukan undang-undang.

"Jadi, surat saman beliau saya alu-alukan, kita akan teruskan di mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program terbaharu Sinar Harian, Last Lap PRU15 bertajuk Tiada Majoriti: Bersediakah Kongsi Kuasa yang dihoskan Kamarul Bahrin Haron.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan, Rafizi dituntut untuk membayar kos ganti rugi am dan teladan sebanyak RM500,000 susulan kenyataan fitnah berhubung isu perolehan meriam artileri jenis Self-Propelled Howitzer (SPH) yang dilemparkan terhadap Ikmal Hisham sekeluarga.

Rafizi turut digesa untuk memadamkan kenyataan fitnah dan berhenti daripada menyebarkan serta mengulangi pernyataan fitnah terhadap beliau dan isteri.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

Sementara itu, Rafizi berkata, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan dibawa untuk disoal siasat dalam sidang Parlimen sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menegaskan bahawa SPRM juga akan diletakkan di bawah kuasa pemantauan Parlimen jika gabungan parti itu berjaya menerajui pentadbiran negara.

"Bukan kuasa saya (untuk memecat beliau). Antara perkara yang kita nak buat jika PH menang PRU15, kita nak SPRM diletakkan di bawah Parlimen.

"Sekiranya ada pelantikan baharu atau jika Azam terus dalam jawatannya, beliau perlu mendapat pelepasan di Parlimen.

"Maksudnya beliau akan disoal siasat dan perlu adakan sesi pendengaran di Parlimen sama seperti yang berlaku di negara-negara lain,” ujar beliau.

Sebelum ini, calon PH di Parlimen Pandan itu dilaporkan memberi amaran kepada Azam bahawa gabungan parti itu akan ‘mencarinya’ berhubung isu pemilikan saham sebelum ini jika mereka memenangi PRU15 kali ini.

Ia susulan dakwaan serbuan terhadap syarikatnya, syarikat Invoke Solutions Sdn Bhd berkenaan pemberitahuan pemeriksaan dokumen berkaitan cukai.

Klik di sini untuk terus membaca