DUA hari lagi, pertembungan Piala Dunia 2022 akan bermula dengan tuan rumah, Qatar menguji Ecuador di Al Bayt Stadium di Al Khor, jam 7 malam waktu tempatan.
Adakah Qatar akan menjelmakan keajaiban bola sepak tatkala terlalu banyak insiden keputusan bercelaru melibatkan Teknologi Video Pembantu Pengadil atau Video Assistant Referee (VAR) dalam pelbagai liga bola sepak di Eropah?
Penulis melihat betapa Antonio Conte berang ketika Tottenham Hotspur dinafikan kemenangan ke atas Sporting Lisbon dalam perlawanan Liga Juara-juara Eropah. Semuanya gara-gara VAR! Justeru, adakah VAR akan menyelamatkan Piala Dunia sekali lagi selepas Moscow 2018. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengakui VAR telah menjadi agenda terpenting Piala Dunia 2018.
Presiden FIFA, Giovanni Infantino yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak menegaskan keputusan pengadil sepanjang Piala Dunia 2018 meningkat penilaian ketepatan daripada 95 peratus kepada 99.2 peratus hasil bantuan VAR.
Namun, hari demi hari VAR dikatakan lebih banyak menimbulkan kecelaruan daripada ketenangan. Kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2022-2023 menyaksikan keputusan VAR sering dipertikaikan.
Jadi, penulis tertanya-tanya adakah VAR yang turut digunakan pada Piala Dunia Wanita Bawah 17 Tahun di India bulan lalu, masih signifikan kepada kecantikan bola sepak secara keseluruhan.
Selain VAR, penulis berharap penggunaan Teknologi Ofsaid Separa Automatik atau Semi-Automated Offside Technology (SAOT) di Qatar akan mengurangkan beban pengadil.
SAOT berperanan menjejaki data bola dan pemain sepanjang perlawanan. Pegawai video perlawanan akan menerima isyarat secara automatik jika berlaku ofsaid. Seterusnya, pegawai perlawanan video akan mengesahkan keputusan SAOT dan meminta kebijaksanaan pengadil membuat keputusan.
Sistem SAOT disepadukan dengan sistem Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI). Ia meningkatkan kecekapan pemberitahuan andainya berlaku ofsaid berdasarkan masa sebenar (in-realtime).
FIFA percaya SAOT boleh mempercepatkan 50 peratus tempoh masa diambil pengadil untuk membuat sesuatu keputusan tepat. Setakat ini, belum ada petanda adakah SAOT boleh membantu Piala Dunia 2022 sebagaimana VAR menyelamat Moscow 2018.
AI DALAM SUKAN
Begitupun, penulis percaya menggunakan AI yang diaplikasikan kepada SAOT, kombinasi pengadil dan pegawai pembantu pengadil perlawanan akan diselaraskan dengan baik.
Setidak-tidaknya aplikasi in-realtime boleh mencipta bentuk visualisasi baharu bagi meringankan beban pengadil membuat keputusan tepat.
Berdasarkan teori, enjin AI yang dibangunkan untuk sistem SAOT mengenal pasti semua maklumat data mata (points) dihasilkan daripada pergerakan dan kedudukan sendi pemain seperti kepala, siku tangan, lutut kaki, hujung ibu jari kaki serta jari tangan.
Data deria digelar Unit Pengukuran Inersia atau Inertial Measurement Unit (IMU) yang dipasang dalam bola perlawanan, memiliki 29 data mata. Data tersebut diselaraskan 12 kamera yang mampu menangkap data sepantas 50 data mata setiap saat.
Kamera dipasang pada setiap sudut padang supaya sistem SAOT boleh mengira secara in-realtime setiap kedudukan data mata secara tepat. SAOT mampu melukis garisan ofsaid secara ilusinasi bagi menentu dan mengesahkan kedudukan di mana dan bila berlakunya ofsaid.
Penulis percaya AI akan menjadi resipi terpenting kepada SAOT. Ditambah dengan kecanggihan VAR, Piala Dunia 2022 pasti menjadi kejohanan perdana kepada Qatar yang muncul negara Asia pertama sebagai tuan rumah kejohanan terbesar dalam kalendar FIFA.
Penciptaan dan pembangunan teknologi seperti VAR serta SAOT juga akan meningkatkan kehebatan inovasi jurutera atau teknologis sukan.
Harapan penulis agar VAR dan SAOT akan mengelak kontroversi sebagaimana yang tercetus pada perlawanan akhir Piala Dunia 1966 di di Stadium Wembley tanggal 30 Julai 1966.
Sehingga kini, gol ketiga penyerang tersohor England, Geoff Hurst dikatakan tidak melintasi palang gol sehingga menyebabkan pemain Jerman Barat melakukan bantahan keras.
Kesimpulannya, teknologi harus membantu sukan. Apatah lagi, Piala Dunia yang sering dianggap ‘ibu segala sukan’. Qatar harus bersedia dengan pelbagai kemungkinan.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca