[WAWANCARA] PEMILIHAN Khairy Jamaluddin sebagai calon Parlimen Sungai Buloh pada dasarnya memberi tamparan hebat buat parti lawan memandangkan beliau antara figura politik kesukaan ramai termasuk pengundi bukan Melayu. Pun begitu, calon... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] PEMILIHAN Khairy Jamaluddin sebagai calon Parlimen Sungai Buloh pada dasarnya memberi tamparan hebat buat parti lawan memandangkan beliau antara figura politik kesukaan ramai termasuk pengundi bukan Melayu.

Pun begitu, calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk R Ramanan tidak melihat Khairy atau KJ sebagai satu halangan buat parti itu, yang sudah tiga penggal menguasai Parlimen Sungai Buloh, untuk mengulangi pencapaian itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu nanti.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Premium, Mohd Faizul Haika Mat Khazi bersama Ramanan bagi membicarakan lebih lanjut peluang dan visinya untuk rakyat di Sungai Buloh.

SP: Seperti kita tahu terdapat lebih 158,00 pengundi pelbagai lapisan umur yang bakal mengundi di Parlimen Sungai Buloh. Berapa peratus pengundi yang Datuk sudah temui?

RAMANAN:
Kalau saya mahu memberikan anggaran tepat berapa peratus pengundi di Sungai Buloh sudah saya temui, memang sukar tetapi ceramah kelompok saya setiap malam dihadiri lebih 200 hingga 500 pengundi. Manakala ceramah mega dihadiri oleh lebih 3,000 penduduk setempat.

Selain itu, saya juga melakukan banyak tinjauan mesra ke pasar pagi, pasar malam dan pasar tani bagi memperkenalkan diri, berjabat tangan dan mendapatkan maklum balas mengenai masalah dihadapi mereka.

Saya juga menggunakan kaedah memberi peluang kepada penduduk dan pengundi Sungai Buloh meluahkan perasaan, rasa tidak puas hati dan masalah mereka ketika mengadakan ceramah berkelompok.

Ini berbeza dengan pendekatan digunakan pihak lawan terutama BN. Anda boleh tengok menerusi Instagram dan Facebook, di mana saya akan membuka peluang kepada masyarakat dan pengundi untuk bertanyakan soalan dan meluahkan perasaan dalam salah satu ceramah saya setiap hari.

Oleh itu, jika kita lihat secara keseluruhannya tanpa mengira kaum dan agama, isu paling besar dihadapi oleh pengundi di Sungai Buloh adalah masalah kerosakan jalan raya, kesesakan lalu lintas dan banjir kilat.

Jadi jika maklumat dan fakta yang diperoleh oleh kami tepat dengan mengambil kira apa yang dijanjikan oleh semua calon dan parti, saya yakin bahawa PH mampu mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Buloh, pada PRU15 ini.

SP: Adakah Datuk yakin PH mampu menang kerusi Sungai Buloh dengan majoriti lebih besar berbanding 26,634 diperoleh Sivarasa pada PRU14 lalu?

Saya rasa agak sukar kerana Sivarasa meninggal 'kasut' yang besar untuk diisi oleh orang baharu seperti saya. Beliau sudah tiga penggal menang di Sungai Buloh dan berpengalaman, namun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sivarasa kerana sanggup turun padang dan mengarahkan jenteranya supaya membantu saya berkempen di sini.

Khairy menunjukkan nama kerusi Sungai Buloh yang diberikan kepadanya. (Gambar kanan: Ramanan)

SP: Seperti kita tahu Datuk dahulunya bersama MIC sebelum menyertai PKR. Jadi adakah Datuk tidak takut dipulau masyarakat dan pengundi India kerana tidak lagi bersama MIC?

Setakat ini, majoriti pengundi kaum India menyambut baik kehadiran saya di Sungai Buloh. Jika kita lihat kebanyakan ahli PKR adalah berasal dari BN.

Jadi tidak timbul soal saya diboikot pengundi kaum India, malah sebenarnya mereka sentiasa menyokong saya kerana ramai ahli MIC adalah ahli keluarga dan sahabat saya.

Sama ada mereka mahu mengundi saya atau tidak, terpulanglah kerana itu adalah hak mereka. Namun, saya yakin mereka tidak akan mensabotaj saya.

SP: Kenapa pengundi Sungai Buloh perlu memilih Datuk berbanding calon lain terutama Khairy?

Pertama kerana saya tidak menipu. Saya juga boleh memberi jaminan bahawa jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang di Parlimen Tambun dan PH kembali menguasai Putrajaya, saya yakin beliau akan diangkat menjadi Perdana Menteri dalam tiga hari berbanding pihak lawan (Khairy) dalam tempoh 10 tahun lagi.

Saya juga mahu bertanya kepada pengundi di Sungai Buloh, adakah perjuangan mereka mengundi untuk menyelamatkan nyawa politik Khairy atau rakyat? Fikirlah betul-betul dan kemudian undilah sesiapa yang anda mahu.

SP: Pada pandangan Datuk, kenapa rakyat termasuk pengundi di Sungai Buloh patut memberi peluang kepada PH untuk kembali mentadbir negara?

Kita mahu negara stabil tetapi dalam tempoh empat tahun ini, Malaysia sudah tiga kali bertukar kerajaan dan Perdana Menteri. Perkara itu tidak pernah berlaku di negara lain termasuk di negara dunia ketiga.

Jika ditanya pilihan mana yang tepat, jawapannya adalah PH.

Inilah yang akan membawa kestabilan kepada kerajaan kerana kita sentiasa bersatu padu dalam kempen.

SP: Apa pandangan Datuk mengenai janji dan manifesto dikemukakan parti lawan terutama Khairy kepada penduduk Sungai Buloh?

Saya memberikan solusi saya, bukan manisfesto 15 muka surat seperti dikemukakan oleh pihak lawan (BN). Antara program solusi saya untuk pengundi di Parlimen Sungai Buloh termasuklah bantuan meringankan beban kos sara hidup golongan B40.

Saya juga akan memperkenalkan program perantis: padanan pekerjaan graduan dengan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Sungai Buloh; menyusun dan menempatkan semula penjaja dan peniaga kecil di tepi jalan; pemantapan tempoh respon krisis; program 'super sport & youth'; memperkasakan peranan wanita dan ibu tunggal serta mengkaji semula masalah banjir dan kesesakan lalu lintas di Sungai Buloh.

Solusi yang saya kemukakan adalah realistik dan boleh ditunaikan berbanding pihak lawan.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru di antara KJ (tiga kanan) mewakili BN, P Ramanan (dua kiri) daripada PH dan calon-calon PN, GTA serta Bebas.

SP: Sejauh manakah Datuk melihat peluang PH menang PRU15 sekali gus merealisasikan impian Presiden PKR menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas 19 November ini?

Saya melihat peluang PH menang PRU15 dan Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri adalah amat cerah kerana pejuang beliau bukan baharu berusia dua atau tiga tahun tetapi sudah bermula lebih 20 tahun lalu.

Malah, Anwar pernah menjalani hukuman penjara selama 10 tahun lapan bulan. Dia adalah seorang tokoh politik yang memberikan seluruh jiwa raganya untuk memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca