SHAH ALAM - Parti-parti politik menjangkakan peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini akan meningkat berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Ia berdasarkan pemerhatian di lapangan dan maklum... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti-parti politik menjangkakan peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini akan meningkat berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Ia berdasarkan pemerhatian di lapangan dan maklum balas pengundi yang dilihat sangat teruja untuk menunaikan tanggungjawab bagi memilih kerajaan baharu.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, pihaknya menjangkakan peratusan mereka yang keluar mengundi akan melepasi 70 peratus.

"Saya tak pasti kita akan melepasi 80 peratus atau tidak, tapi sudah pasti antara 72 hingga 80 peratus. Itu bacaan saya.

"Cuma kalau dia tak keluar itu ada kemungkinan-kemungkinan lain (seperti) ribut, hujan (dan) kesesakan trafik yang teruk,” katanya.

Dalam PRU14, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan jumlah keseluruhan pengundi yang keluar adalah sebanyak 82.32 peratus.

Sementara PRN Melaka dan Johor baru-baru ini menyaksikan jumlah peratusan pengundian masing-masing sebanyak 65.85 peratus dan 54.92 peratus.

Dalam pada itu, Rafizi menambah, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan hari kelepasan am pada Jumaat dan Sabtu adalah satu tindakan yang baik.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan juga mengharapkan peratusan mengundi akan meningkat esok.

Bagaimanapun, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tasek Gelugor itu melahirkan kebimbangan sekiranya hujan pada hari tersebut.

"Kalau hari hujan walaupun ada niat untuk keluar, mungkin itu akan menghalang mereka (pengundi) daripada keluar.

"Tambah lagi di kawasan-kawasan banjir. Saya rasa orang yang menghadapi bencana banjir ini nak mengundi semasa pilihan raya itu mungkin belum ada dalam senarai keutamaan mereka.

"Jadi, saya harap itu dapat diubah pada saat-saat akhir ini. Kita kena pastikan rakyat sedar bahawa mengundi itu satu tanggungjawab dan perkara yang amat penting,” katanya.

Wan Saiful turut menyeru kepada pengundi yang berdaftar untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengundi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula berpandangan peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini akan lebih tinggi berbanding PRN Johor dan Melaka.

Beliau turut menjangkakan peratusan pengundi yang akan keluar mengundi dalam PRU15 adalah sebanyak 75 peratus.

Jelasnya, peratusan itu berdasarkan terdapat pengundi yang tidak mahu mereka didaftarkan secara automatik.

"Dari segi logiknya mereka yang telah didaftarkan itu ada sebahagiannya tidak ambil kisah pun pada proses demokrasi.

"Pada pandangan saya daripada 82 peratus (pengundian) pada PRU14 sebelum ini, mungkin 75 peratus akan keluar menunaikan tanggungjawab pada PRU15,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca