[WAWANCARA] Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional (BN) mengalami waktu suram apabila hanya mampu menawan tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang, selain memenangi 79 kerusi Parlimen. Gelombang rakyat pada ketika itu... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional (BN) mengalami waktu suram apabila hanya mampu menawan tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang, selain memenangi 79 kerusi Parlimen.

Gelombang rakyat pada ketika itu diterjemahkan menerusi penolakan terhadap BN, namun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, parti itu membuktikan kebangkitan semula dengan beroleh sokongan rakyat yang mahu ia kembali mentadbir.

Pada PRU15, BN mengambil pendekatan berani dengan bergerak solo tanpa menyertai mana-mana gabungan politik. Sama ada langkah berkenaan bertepatan dengan penerimaan semula rakyat di beberapa negeri hanya akan terjawab pada Sabtu ini.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, ROSLINDA HASHIM bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung beberapa isu yang melanda parti itu, selain apa yang diharapkan pada PRU15.

SINAR HARIAN: Tempoh kempen PRU15 berbaki 24 jam, bagaimana Datuk Seri melihat penerimaan pengundi terhadap BN?

MAHDZIR:
Saya fikir rakyat secara keseluruhan ketika ini sudah mempunyai pendirian sebab mereka melalui pengalaman bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), termasuk PH dan PN. Saya percaya rakyat sudah dapat membuat penilaian antara tiga kerajaan tersebut, yang mana paling menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negara secara konsisten. Rata-rata yang kita ketahui, majoriti telah kembali menyokong BN.

Mahdzir (kanan) beramah mesra bersama masyarakat setempat dalam sebuah program di Kuala Nerang.

Adakah Datuk Seri yakin gelombang kemenangan BN sewaktu PRN akan terus menyumbang dalam PRU15?

Insya-ALLAH saya nampak begitu, sebab rakyat mahukan suasana yang stabil dan yang menjamin masa depan. Mereka tidak mahu lagi sebuah kerajaan yang sepanjang masa dalam krisis. Ini kerana situasi tersebut menyebabkan rakyat tidak dapat bersandarkan kepada suasana yang baik untuk ekonomi berkembang, pembangunan pendidikan mahupun sosial. Pengalaman lalu akan menjadikan rakyat memiliki pengetahuan tentang bagaimana mahu wujudkan suasana yang mereka ingini iaitu sebuah kerajaan yang establish dan aman.

Adakah ini bermakna BN akan terus menggunakan strategi sama seperti di PRN Melaka dan Johor, yang menumpukan kepada pengundi tegar BN?

Kita mempunyai pelbagai kelompok pengundi termasuk pengundi tegar yang antaranya kalangan profesional, teknokrat, kelas pertengahan hinggalah kepada masyarakat luar bandar. Kita perlu yakinkan mereka bahawa BN mampu membawa kestabilan dan kemakmuran di dalam negara sekiranya diberikan mandat mentadbir.

Apakah kelebihan yang BN miliki ketika ini berbanding parti lain?

Kita mempunyai warisan pemimpin yang mempunyai pengalaman lama. Malah sebahagian daripada pemimpin yang kini menyertai pembangkang pun pada asalnya ahli UMNO. Tokoh ternama seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin semua merupakan bekas ahli UMNO. Ini bermakna UMNO mempunyai kekuatan tersendiri dalam membina kepimpinan termasuk membangunkan negara.

Boleh dikatakan, UMNO adalah sebuah parti Melayu yang melahirkan pemimpin berkualiti, yang mana sebahagian besar mereka yang memimpin parti pembangkang adalah lahir daripada ‘periuk’ UMNO.

Ada pihak masih memainkan naratif BN sebenarnya mahu menjadikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri, bukannya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Adakah naratif itu jejaskan sokongan terhadap UMNO?

Saya percaya naratif tersebut sengaja ditimbulkan semula menjelang hari pengundian untuk timbulkan suasana kononnya wujud perbalahan dalam UMNO, seolah-olah mahu menggambarkan wujud dua puak, satu menyokong Ahmad Zahid dan satu lagi menyokong Ismail Sabri.

Ingin saya tegaskan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid telah membuat keputusan secara konsensus bahawa Ismail Sabri akan terus dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU15. Pendirian itu tidak berubah, Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri untuk BN. Mungkin pihak luar ketandusan isu untuk dibawa sebagai bahan kempen jadi diulang-ulang isu itu.

Pemilihan calon PRU15 didakwa tidak direstui sepenuhnya ahli mahupun bahagian sehingga ada dakwaan senarai calon asal dicantas oleh presiden sendiri dalam usaha mengurangkan sokongan kepada Ismail Sabri. Apa pandangan Datuk Seri?

Ada perkara yang berlaku itu adalah atas keputusan yang dibuat oleh presiden yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Sebagai rakan, saya simpati kepada mereka yang tidak dipilih sebagai calon PRU15 kerana ada dalam kalangan mereka merupakan pemimpin lama dan boleh menang di sesetengah tempat. Mungkin presiden mempunyai pandangan tersendiri dengan meletakkan calon tertentu di kawasan tertentu untuk berikan kemenangan kepada BN.

Pada PRU14, BN menang 79 kerusi Parlimen. Apakah jangkaan kali ini?

Saya optimis BN mampu peroleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk menjadi kerajaan. Sekurang-kurangnya paling minimum 112 kerusi atau lebih sedikit.

Terdapat beberapa kajian yang menyatakan BN tidak begitu agresif sama ada dalam kempen mahupun pendekatan, mengapa ini berlaku?

Saya tak nampak suasana lesu, semua tempat sebenarnya agresif, mungkin tiada pergerakan yang banyak dalam kelompok besar. Saya percaya semua calon dan jentera parti bergerak aktif di kawasan masing-masing. Mungkin tidak ketara secara keseluruhan dan tidak diuarkan.

Namun saya lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri turun padang ke setiap negeri untuk jumpa pengundi. Masing-masing dilihat bersemangat untuk menang selepas kekalahan teruk pada PRU14 lalu. Akar umbi parti tahu kali ini BN mahu menang, semua peringkat parti sudah bersemangat untuk cipta kemenangan baharu pada PRU15.

Mahdzir (kiri) ketika ditemu bual di kediamannya di Alor Setar.

Sekiranya BN tidak mendapat majoriti untuk tubuhkan kerajaan, adakah BN bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan?

Pada ketika ini adalah lebih baik untuk semua pihak beri tumpuan kepada pilihan raya, untuk menang terlebih dahulu. Perkara ini harus diberikan keutamaan sebelum fikirkan bentuk kerjasama politik yang akan kita bincangkan kemudian.

Apakah situasi terburuk yang Datuk Seri jangkakan pada Sabtu ini?

Saya berfikiran positif, saya yakin BN akan capai sesuatu yang lebih baik berbanding pencapaian pada PRU14 lalu.

Saya juga percaya ramai anak Kedah akan pulang mengundi untuk berikan sokongan kepada BN termasuk pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, India dan Siam.

Atas pengalaman BN mentadbir negara saya yakin masyarakat majmuk boleh mempercayai BN mampu meletakkan kestabilan dalam politik selain beri kemakmuran ekonomi dalam negara. Malah dapat wujudkan aktiviti sosioekonomi yang baik dalam suasana harmoni.

Kita akui ada perkara yang tidak disenangi rakyat, namun rakyat telah pun menghukum BN pada PRU14 lepas, kita sedar dan bermuhasabah diri. Kita sudah pun perbetulkan kesilapan lalu agar rakyat terus yakin pada BN.

Klik di sini untuk terus membaca