TINGGAL satu hari saja lagi sebelum keseluruhan rakyat Malaysia yang berdaftar keluar mengundi. Ruang masa berkempen yang panjang untuk semua parti-parti politik seharusnya telah dapat menyakinkan pengundi dan penyokong masing-masing. Namun... Klik di sini untuk terus membaca

TINGGAL satu hari saja lagi sebelum keseluruhan rakyat Malaysia yang berdaftar keluar mengundi.

Ruang masa berkempen yang panjang untuk semua parti-parti politik seharusnya telah dapat menyakinkan pengundi dan penyokong masing-masing.

Namun ada juga yang masih keliru. Ada yang menjadi keliru mungkin kerana mendapat maklumat terkini melalui TikTok bahawa si polan yang mereka ingin sokong rupanya sudah terpalit dengan pelbagai skandal.

Ada juga yang menjadi keliru bila mendengar sesetengah pemimpin menyatakan bahawa pengisytiharan harta itu adalah satu kebodohan.

Ia diumpamakan seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk kekayaan kepada orang ramai.

Tidak kurang juga yang terkedu apabila diberitahu bahawa kehadiran di Parlimen oleh seorang wakil rakyat bukan seperti kehadiran di sekolah.

Ada situasi yang lebih mengelirukan apabila ada calon tersasul dan meminta pengundinya menyokong parti lawan. Semua ini berlaku dalam tempoh berkempen untuk PRU15 kali ini.

Namun rata-rata kita dapat melihat kempen PRU15 kali ini tidak jauh beza dengan yang sebelumnya kerana ia dijadikan sebagai medan di mana orang-orang yang berkempen membina persepsi tertentu sama ada dalam memuji calon mereka ataupun mengeji lawan.

Dalam konteks ini, sesiapa yang lebih meyakinkan dalam membina persepsi tersebut berdasarkan naratif yang lebih jelas dan diterima logik fikiran, maka merekalah yang akhirnya akan dipercayai ramai dan ini boleh diterjemahkan kepada undi.

Begitu jugalah dengan pelbagai alasan yang diberikan untuk melawan hujah pihak lawan. Sebagai contoh, apabila ada satu pihak yang cuba menunjukkan bahawa mereka menghormati sistem demokrasi yang lebih telus dengan mengisytiharkan harta, satu pihak yang lain pula menempelak bahawa itu satu tindakan bodoh seolah-olah cuba menunjuk-nunjuk kekayaan.

Sedangkan kita semua tahu semangat di sebalik pengisytiharan harta oleh seseorang calon itu adalah agar rakyat dapat mengetahui harta sedia ada seseorang calon sebelum mereka ini diamanahkan dengan jawatan.

Sebab itu dengan cara mengisytiharkan harta yang dibuat di hadapan pesuruhjaya sumpah, rakyat dapat memantau sama ada selepas seseorang calon itu menang dan dapat memegang jawatan, adakah mereka menyalah guna kedudukan untuk mengaut dan mengumpul harta peribadi.

Itu antara tujuannya, selain pengisytiharan harta ini menjadi alat penting untuk menangani rasuah, dan konflik kepentingan. Bagi mana-mana pihak yang menentang rasuah, pengisytiharan harta perlu disokong.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk membenar atau menyalahkan mana-mana pihak. Ia sekadar peringatan kepada rakyat terbanyak untuk berfikir tentang situasi yang bagaimana yang akan menjadikan negara ini lebih baik.

Pemimpin yang lebih telus atau yang memberi alasan tidak mahu menunjuk-nunjuk kekayaan mereka.

Malah rakyat harus mendesak agar satu sistem governans yang baik perlu dipatuhi oleh semua calon yang bertanding demi kelangsungan dan masa depan negara. Kita perlukan calon yang bukan saja telus, tetapi juga ada akauntabiliti, efisien dan efektif untuk menggalas tugas sebagai wakil rakyat.

Rakyat perlukan wakil rakyat yang boleh berfikir dan memberi cadangan terbaik yang pragmatik untuk menyelesaikan masalah rakyat. Kita perlu tahu apakah rancangan mereka untuk memulihkan kadar mata wang negara kita umpamanya? Apakah cadangan mereka untuk membantu rakyat miskin yang terkesan daripada pandemik COVID-19 untuk kembali ke situasi sebelum krisis? Begitu juga dengan masalah gaji dan pengangguran.

Saya masih ingat semasa PKP yang lalu ketika ramai kehilangan pekerjaan dan jatuh miskin, ada orang yang mencetuskan idea bendera putih sebagai cara untuk pihak yang ingin membantu dapat mengenal pasti keluarga atau rumah yang memerlukan bantuan.

Walaupun idea ini mendapat kritikan ramai, namun ia terbukti berjaya membantu ramai pihak.

Kita sama-sama doakan agar 222 kerusi di Dewan Rakyat akan dipenuhi dengan orang-orang yang menghormati demokrasi, mengamalkan governans baik, beradap dalam berhujah dan paling penting mempunyai idea yang bernas untuk menyelesaikan rintihan rakyat dan menggubal undang-undang serta dasar negara yang akan menguntungkan rakyat terbanyak.

Moga doa kita ini dimakbulkan Tuhan.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca