DALAM kehidupan selalu ada macam-macam pilihan. Kadangkala situasi itu menghambat kita ke persimpangan dilema. Contohnya hendak pilih di sana menanti atau di sini yang menunggu.
Dalam hal ini, Islam mengajar kita cara membuat pilihan yang bijak. Pertama dipanggil istikharah, kedua istisyarah.
Istikharah ialah memohon jawapan daripada ALLAH SWT untuk memilih yang terbaik antara dua atau lebih banyak pilihan. Istisyarah pula ialah membuat keputusan selepas melakukan penyelidikan dan berbincang dengan mereka yang pakar serta berpengalaman dalam sesuatu bidang.
Istikharah dan istisyarah adalah saling melengkapi. Tidak sempurna istikharah tanpa istisyarah, begitulah sebaliknya.
Menurut Irsyad al-Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan, jawapan daripada istikharah tidak semestinya daripada mimpi. Perasaan senang dan lapang juga antara tanda jawapan bagi istikharah.
Istikharah sinonim dengan urusan jodoh dan perkahwinan. Apatah lagi, para ustaz ustazah sering mengingatkan kita supaya solat sunat istikharah dan berdoa moga-moga diberi petunjuk memilih jodoh terbaik.
Tetapi istikharah bukan untuk urusan nikah kahwin sahaja. Menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, sesetengah pengundi mungkin patut beristikharah.
Pilihan raya kali ini sangat kritikal. Sudah empat tahun rakyat dipaksa menonton drama politik tanpa kesudahan. Ketika rakyat hidup susah akibat Covid-19, Malaysia sudah tiga kali bertukar Perdana Menteri, empat kali menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
PENGUNDI ATAS PAGAR
Sesetengah ahli sains politik menganggap politik adalah permainan persepsi. Siapa berjaya menjual naratif bahawa partinya lebih baik, lebih cekap dan lebih bersih berbanding parti utama yang lain, mereka ada peluang untuk menang.
Dalam politik seperti itu, tersilap membuat pilihan mudah berlaku. Tambah memeningkan kerana kali ini ada 39 parti politik bertanding, membariskan 945 calon Parlimen termasuk calon Bebas.
Jumlah pengundi yang belum membuat keputusan atau disebut pengundi atas pagar adalah besar iaitu kira-kira 4.5 juta daripada keseluruhan lebih 21 juta pemilih berdaftar.
Jadi, kita perlu tahu apakah rancangan bakal wakil rakyat ini untuk menurunkan harga barang dan kos sara hidup. Bagaimana mereka mahu memulihkan kadar mata wang ringgit? Apakah cadangan mereka untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.
Apakah ada jaminan untuk kestabilan politik dan keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum? Paling penting, apakah mereka mampu bebas rasuah dan amanah untuk mentadbir negara. Inilah istisyarah.
Amalan istikharah dan istisyarah hakikatnya tidaklah terlalu asing dalam politik. Seorang ahli politik sebelum ini pernah meminta pemimpin dan ahli Pas melakukan solat sunat istikharah untuk memilih rakan gabungan sama ada Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15.
Rafizi Ramli pada Februari lalu berkata, beliau akan membuat solat istikharah terlebih dahulu sebelum aktif semula dalam politik. Beliau menang jawatan Timbalan Presiden PKR semasa pemilihan pada bulan Mei.
Dalam sehari dua ini pula, seorang calon bertanding PRU15 di Terengganu menyarankan rakyat negeri itu beristikharah bagi memohon petunjuk, selain menilai semula prestasi kerajaan negeri.
Dalam konteks lebih luas, istikharah adalah sebahagian daripada usaha memohon campur tangan Tuhan atau devine intervention dalam kehidupan manusia. Pandemik Covid-19 membuktikan manusia tidak mampu meletakkan harapan kepada kecanggihan sains semata-mata.
Ironinya, masyarakat pelbagai agama di seluruh dunia juga mencari solusi keagamaan agar wabak itu segera berakhir. Para selebriti Barat seperti Jennifer Lopez, Lady Gaga, Britney Spears dan Jusin Bieber tidak terkecuali ‘berdoa’ seperti yang dipaparkan dalam media sosial masing-masing.
Ada masanya bukan semua masalah dunia dapat diselesaikan dengan logik akal. Inilah juga antara sebab Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan program World #QuranHour sejak beberapa tahun lalu. Antara lain ia bertujuan membudayakan usaha mencari solusi kepada masalah-masalah kehidupan dengan ‘campur tangan’ ALLAH menerusi panduan al-Quran dan sunnah.
Tidak ada calon dan parti yang sempurna. Namun, kita harus mengundi yang terbaik daripada yang tidak sempurna.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca