TSUNAMI politik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini tidak sama seperti PRU14 yang ketika itu menyaksikan gelombang besar kebangkitan rakyat. Keputusan PRU14 di Kedah memihak kepada Pakatan Harapan (PH), yang membolot tujuh kerusi,... Klik di sini untuk terus membaca

TSUNAMI politik Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini tidak sama seperti PRU14 yang ketika itu menyaksikan gelombang besar kebangkitan rakyat.

Keputusan PRU14 di Kedah memihak kepada Pakatan Harapan (PH), yang membolot tujuh kerusi, iaitu di Kuala Kedah, Alor Setar, Sungai Petani, Merbok, Kulim Bandar Baharu dan Padang Serai yang dimenangi PKR manakala satu kerusi Parti Amanah Negara (Amanah) di Pokok Sena.

Pas menang tiga kerusi (Pendang, Sik dan Jerai) manakala Barisan Nasional (BN) sekadar dua kerusi di Padang Terap dan Baling. Tiga lagi milik Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ketika itu menang atas tiket PH di Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu.

Senario PRU15 nampaknya tidak begitu cenderung kepada mana-mana parti, sebaliknya semua gabungan, iaitu PH dan Perikatan Nasional (PN) dilihat mempunyai peluang sama rata. Namun, kelibat BN dilihat agak suram dan diramal sukar menembusi kekuatan parti lawannya termasuk Pejuang yang bernaung bawah Gerakan Tanah Air (GTA).

Seramai 68 calon bertanding dalam PRU15 bagi merebut 15 kerusi Parlimen di Kedah. PH, PN dan BN mempertaruhkan calon terbaik di kesemua kerusi, manakala Pejuang sebanyak 13 kerusi, Warisan (lima) selain seorang wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM) serta empat calon Bebas.

Buat pertama kali, Parlimen Alor Setar dan Padang Serai menyaksikan pertembungan tujuh dan enam penjuru yang dimeriahkan dengan kehadiran dua calon Bebas di Alor Setar.

Bandaraya Alor Setar dimeriahkan dengan kibaran bendera pelbagai parti politik yang bertanding pada PRU15.

Kehadiran nama-nama besar dalam parti menghangatkan saingan terutama calon heavyweight yang sekali lagi bertanding mempertahankan kerusi disandang. Antara yang mencuri tumpuan tentulah calon paling tua, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen Langkawi, dicabar empat calon lain.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga kekal mempertahankan Jerlun selain Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Padang Terap, manakala Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar yang sudah beberapa penggal menawan Parlimen Pokok Sena dijangka berdepan saingan apabila PN mencalonkan Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Ahmad Yahya.

Tokoh lain termasuk Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang kekal bertanding di Kubang Pasu dan Kulim Bandar Baharu. Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula dipertaruhkan kali kedua untuk merebut Parlimen Jerai biarpun tewas pada PRU14, selain Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz sekali lagi bertembung dengan Mukhriz di Jerlun.

Antara percaturan mengejutkan apabila BN membawa semula bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Kuala Kedah untuk bersama tiga lagi calon wanita, Datuk Suraya Yaacob (Pendang), Datuk Shahanim Mohamad Yusoff (Sungai Petani) serta Maizatul Akmam Othman di Sik.

Mereka adalah antara tujuh calon wanita di Kedah selain Norazrina Surip (PH), Datuk Latifah Md Yatim (PH) dan Noraini Md Salleh (Warisan).

Adakah aura mereka sebagai pemimpin dikenali mampu meraih undi atau pengundi kini memilih parti bagi memastikan kemenangan parti tertentu untuk menerajui negara.

FAKTOR CALON

Mengulas perkara itu, Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pertembungan di Kedah kemungkinan lebih kepada faktor calon dan parti di sesuatu kawasan.

"Jika calon itu mempunyai pengaruh personaliti yang dominan, peluangnya untuk menang adalah tinggi. Dr Mahathir antara figura terkenal, saya tidak terkejut kalau beliau menang lagi.

"Ini termasuk anak beliau di Jerlun, Mukhriz yang masih memiliki aura tersendiri dan peluang menang masih tinggi, walaupun undi PRU14 lalu mungkin berpecah (kepada PKR dan Pejuang),” katanya.

PH dijangka menguasai Parlimen Pokok Sena, Merbok, Sungai Petani dan Kulim Bandar Baharu yang dianggap deposit tetap apabila kembali mencalonkan penyandang masing-masing, kecuali di Sungai Petani mengetengahkan muka baharu, Dr Mohamed Taufiq Johari.

Parlimen Padang Serai yang berpotensi dimenangi PH terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kematian penyandangnya, M Karupaiya.

PN pula diramal mempertahankan Parlimen Sik yang sekali lagi mencalonkan penyandangnya, Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas) dan dilihat tidak berdepan kesukaran menewaskan dua calon wanita daripada BN dan PH dalam saingan tiga penjuru.

Dua lagi kawasan berpotensi dimenangi PN adalah Jerai, yang sekali lagi diwakili penyandangnya Sabri Azit (Pas). Baling pula memberi harapan kepada PN apabila calon sama diketengahkan BN, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang dianggap kurang selamat sekiranya dikaitkan dengan kes mahkamah.

BN dilihat berpeluang mengekalkan kemenangan di Padang Terap yang dimenangi Datuk Seri Mahdzir Khalid, selain kemungkinan kerusi Pendang mungkin berpihak kepada Datuk Suraya Yaakob.

Potensi GTA diyakini dapat dikekalkan oleh calon anak-beranak di Parlimen Langkawi dan Jerlun susulan Dr Mahathir dan Mukhriz dilihat lebih dominan berbanding calon lain.

Tiga lagi kawasan kelabu berdepan saingan sengit antara dua calon utama, ialah di Kubang Pasu, Alor Setar dan Kuala Kedah. Penyandang di Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang) dijangka agak goyah apabila PN meletakkan ‘otai’, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail selain calon BN yang berpotensi menarik undi, Datuk Hasmuni Hassan.

Alor Setar yang berdepan tujuh penjuru tidak memberi kesan besar namun saingan utama adalah antara Simon Ooi Tze Min (PH) dengan calon PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden. Ia dikatakan antara kubu kuat PKR namun dengan adanya calon Melayu boleh menggugat sokongan susulan kerusi berkenaan memiliki 64 peratus majoriti pengundi Melayu.

Kuala Kedah turut berdepan kesukaran apabila penyandangnya, Dr Azman Ismail (PKR) bakal bertembung dengan calon PN, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

Klik di sini untuk terus membaca