SETELAH rakyat ‘dihidangkan’ dengan pelbagai perspektif manifesto pilihan raya, esok adalah penentu, gabungan parti manakah yang akan menerajui kepimpinan negara.
Pendek kata, rakyat Malaysia akan menunggu dengan penuh debaran untuk mengetahui adakah calon atau gabungan parti yang mereka pilih mengetuai kerajaan atau tidak?
Begitu juga dengan calon-calon yang bertanding, adakah mereka terpilih atau tidak? Pun begitu, itulah lumrah dalam pilihan raya. Ada yang menang dan ada yang kalah.
Sebetulnya, kempen pilihan raya tidak pernah putus dihidangkan kepada rakyat Malaysia semenjak pilihan raya umum yang ke-14 lagi. Tambahan pula dengan suasana politik yang tidak pernah tenang, menjadikan situasi politik di negara kita sentiasa panas. Mujurlah, majoriti rakyat tidak begitu ekstrem dan tidak terikut-ikut dengan rentak politik tersebut.
Sehingga kini, Alhamdulillah, negara kita masih stabil daripada ancaman anarki pilihan raya.
Pada hemat saya, isu yang paling besar setiap kali pilihan raya adalah kematangan dalam berpolitik. Hasil daripada beberapa pemerhatian berkaitan dengan input-input kempen pilihan raya, didapati lebih menjurus kepada kebencian.
Apabila benci, sejarah lama akan diputarkan semula, menghantam kepincangan calon, menggunakan perkataan-perkataan yang memanaskan telinga, mengeluarkan fatwa dan hukum bagi menyanggah pihak lawan serta dilondehkan segala hal berkaitan peribadi.
Persoalannya, kenapa para calon dan pemimpin parti selesa dengan membawa genre kebencian? Jawapannya, masih ramai yang suka dengan lenggok ‘kebencian’ tersebut. Apa tidaknya, seni pidato kebencian seumpama paluan gendang silat yang membangkitkan ‘angin’ pesilat dan para hadirin di tempat silat.
Tambahan pula, adanya sindiran dengan cara yang melucukan kepada pihak lawan, akan menambahkan lagi ‘perasa’ kenikmatan majlis berkenaan, kerana boleh ketawa dengan sepuas-puasnya kepada calon yang mereka benci.
Tidak dinafikan, ada calon dan pemimpin parti yang serius menjelaskan dasar serta apa yang akan dilaksanakan setelah peroleh kemenangan nanti. Pun begitu, sambutan kepada ceramah berkenaan amat hambar dan tidak disebar luaskan menerusi pelbagai platform media sosial.
Ia bermakna, fenomena ini memberikan gambaran betapa masih ramai yang tidak matang dalam berpolitik. Realitinya, politik kebencian akan terus disulami setiap kali pilihan raya pada masa akan datang. Bilakah akan berakhir? Hanya masa yang akan menentukan.
Berkaitan dengan kematangan berpolitik, ucapan mendiang John McCain selepas tewas kepada Barack Obama dalam pilihan raya memilih Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008, sentiasa menjadi rujukan setiap kali musim pilihan raya di Malaysia.
Sebelum memulakan ucapan di hadapan para penyokong tegarnya, bunyian ‘Boo’ atau ejekan terhadap kemenangan Barack Obama amat jelas kedengaran. Beliau terus meminta ejekan berkenaan dihentikan.
Di antara intipati ucapan beliau ialah, " Amerika Syarikat hanya perlu seorang Presiden sahaja. Justeru, pilihan raya ini, mengesahkan kemenangan Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Walaupun beliau berketurunan African-American dan telah mencipta sejarah sebagai individu pertama daripada keturunan berkenaan menjadi Presiden, namun hal itu, bukanlah isu besar bagi kita semua untuk tidak menghormati perlembagaan dan pilihan majoriti rakyat Amerika Syarikat.
Selepas ini, tiada lagi kelompok John McCain atau Barack Obama, kita hanya ada satu kelompok sahaja, iaitu Rakyat Amerika Syarikat”.
Saya percaya, tentunya masih ramai yang impikan kematangan berpolitik yang sedemikian. Justeru, kita masih ada masa untuk mengubahnya pada esok hari.
Bagi mereka yang telah mengundi, tidak mengapalah kerana pilihan telah dibuat. Bagi yang belum, undilah dengan sebaik-baiknya kerana anda adalah penentu mandat negara. Semoga negara kita dirahmati oleh ALLAH SWT.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca