ISU pergeseran terbuka antara calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak permulaan hari berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi satu petanda... Klik di sini untuk terus membaca

ISU pergeseran terbuka antara calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak permulaan hari berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi satu petanda jelas.

Pertembungan di antara kem menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kem Ahmad Zahid sudah tidak dapat diselindung lagi.

Paling jelas, 'timing' pertembungan itu yang secara permulaannya dipelopori oleh Khairy sepanjang kempen PRU15, seolah-olah menunjukkan pemimpin-pemimpin dalam UMNO-BN lebih memikirkan soal kemandirian politik masing-masing menjelang pemilihan parti tahun hadapan.

Umum mengetahui Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO untuk menangguhkan proses pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas pelaksanaan pilihan raya umum.

Merungkai polemik dalaman UMNO-BN, secara logiknya tindakan Ahmad Zahid menggugurkan pemimpin 'otai' UMNO cenderung menyokong Ismail Sabri seperti bekas Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa daripada senarai calon PRU15, secara tidak langsung menghangatkan polemik dalaman parti pada saat medan perang baharu bermula.

Bahkan keputusan meletakkan Khairy bertanding di kerusi 'hitam' seperti Sungai Buloh pada saat akhir, turut memberi isyarat seolah-olah Ahmad Zahid mahu membersihkan saki-baki kelompok pemimpin pro Putrajaya sejak pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lagi.

Ismail Sabri mengajak pemimpin UMNO membawa kemenangan kepada BN pada PRU15 ini.


CABAR JAWATAN PRESIDEN

Meskipun pada awalnya Ahmad Zahid lantang menegaskan Ismail Sabri adalah 'poster boy' UMNO-BN, nada beliau kini sudah berubah pada Isnin.

Hal ini susulan bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan keputusan pelantikan Perdana Menteri baharu adalah terserah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sekiranya BN menang kelak.

Bagi Ismail Sabri pula, Naib Presiden UMNO itu meluahkan rasa kecewa apabila sebilangan rakan-rakannya dalam parti tidak tercalon untuk bertanding PRU15.

Kenyataan itu ditambah kehadiran beliau ke program kempen KJ, yang memberi isyarat mengenai saling sokongan kem Putrajaya.

Bahkan secara bersahaja, KJ yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO turut mencadangkan Ismail Sabri mencabar Ahmad Zahid bagi jawatan Presiden UMNO sempena pemilihan parti tahun 2023.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagaimanapun, kemudiannya mengingatkan calon-calon UMNO-BN agar tidak menjadikan kempen PRU15 sebagai kempen pemilihan parti itu kelak, namun hakikat perkara itu terjadi saat ini sememangnya tidak dapat dielakkan.

Parlimen Sungai Buloh seolah-olah sudah menjadi kem berkumpulnya pemimpin-pemimpin kem Putrajaya.


JEJASKAN PARTI

Dalam pada itu, bagi bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, polemik pergolakan dalaman UMNO-BN pada saat kempen PRU15 menuju hari-hari terakhir adalah satu tindakan tidak matang yang boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap parti itu.

"Buat pertama kali dalam sejarah, UMNO-BN melangkah masuk dalam pilihan raya dalam keadaan berbalas kenyataan secara terbuka.

"KJ seolah-olah menjadi jurucakap pemimpin tidak sebulu dengan Presiden dan menyerang Ahmad Zahid secara terbuka. Presiden pula ibarat 'menarik rambut dalam tepung, rambut putus maka tepung pun berselerak' dalam menentukan nasib calon PRU15.

"Dengan sentimen satu undi BN bersamaan satu undi Ahmad Zahid yang berdepan dengan kes mahkamah tidak dipatahkan jentera perang saraf parti itu secara agresif.

"Saya bimbang tsunami pengundi menjauhkan diri daripada BN, terutama dalam kalangan 10.56 juta pengundi belia serta 30 peratus pengundi atas pagar ketika ini," ujar pemimpin veteran UMNO itu.

Satu lagi kerisauan besar Mohamad Khir adalah krisis dalaman UMNO-BN akan menyebabkan koalisi berkenaan bukan sahaja tidak dapat membentuk kerajaan stabil secara bersendirian pasca PRU15, bahkan hilang peluang menjadi parti dominan.

Hal ini kerana beliau percaya koalisi BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan akan berkongsi jumlah kerusi lebih kurang sama daripada keseluruhan 166 kerusi Parlimen di semenanjung Malaysia, jika momentum kempen BN terus merosot.

Berikutan itu, beliau menggesa semua pemimpin UMNO-BN termasuk KJ, kem pemimpin anti Ahmad Zahid dan Pengerusi BN itu sendiri untuk kembali duduk semeja dan mencari solusi perdamaian sesama mereka pada hari-hari terakhir kempen.

"Tidak guna kempen PRU15 dijadikan modal menyerang rakan-rakan dalam parti semata-mata untuk menaikkan populariti diri menjelang pemilihan UMNO kelak, sekiranya UMNO-BN kalah teruk dan gagal jadi kerajaan pasca pilihan raya.

"Ya, tidak dinafikan sekiranya UMNO-BN tewas pada PRU15, pastinya tekanan kekalahan akan diletakkan ke atas bahu Presiden sepenuhnya dengan kelompok pemimpin seperti KJ akan mendesak beliau supaya berundur.

"Namun, situasi itu sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa kerana pemimpin UMNO-BN dan rakyat sudah merasai betapa sengsaranya senario kerajaan tidak stabil terhadap kehidupan mereka selepas PRU14," ujarnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca