DEBAR semakin kencang menghampiri kurang 12 jam terakhir hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada Sabtu di mana rakyat akan memilih calon sekali gus parti yang akan membentuk kerajaan baharu. Bercakap soal calon, PRU15... Klik di sini untuk terus membaca

DEBAR semakin kencang menghampiri kurang 12 jam terakhir hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada Sabtu di mana rakyat akan memilih calon sekali gus parti yang akan membentuk kerajaan baharu.

Bercakap soal calon, PRU15 merekodkan 945 calon kerusi Parlimen dan 434 calon layak merebut 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk negeri Perak, Pahang dan Perlis serta Bugaya, Sabah.

Jumlah pencalonan yang tinggi dalam 'ibu segala pilihan raya' ini bermakna calon datang daripada pelbagai kombinasi lapisan umur dan latar belakang.

Menariknya, terdapat juga calon-calon yang bertanding dengan membawa satu 'kelebihan' iaitu membawa nama besar dan legasi keluarga yang sudah cukup terkenal dalam dunia politik.

KELUARGA REFORMASI

Untuk PRU15 terdapat beberapa calon yang sinonim membawa legasi keluarga, antaranya anak sulung pasangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail iaitu Nurul Izzah Anwar.

NURUL IZZAH

Beliau mempertaruhkan nasib Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Permatang Pauh sementara bapanya yang juga Pengerusi PH bertanding di kerusi Parlimen Tambun manakala ibunya di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Turut tersenarai adalah anak bekas perdana menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mewakili Parti Pejuang bertanding di kerusi Parlimen Jerlun. Malah Tun Mahathir sendiri masih kekal bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.

Seorang lagi anak mantan perdana menteri yang membawa nama besar keluarga dalam gelanggang PRU15 adalah Datuk Mohd Nizar Najib. Beliau sebelum ini dikatakan akan menggantikan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan namun akhirnya dipilih mewakili BN di kerusi DUN Peramu Jaya.

Anak perdana menteri ketiga, Tun Hussein Onn dan cucu pengasas UMNO, Onn Jaafar ialah pengasas UMNO iaitu Datuk Seri Hishammuddin pula bakal mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong,

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula merupakan cucu Penghulu Abu Bakar, pemimpin terkenal Kampung Gadong dan Kota di Rembau sementara bapanya bekas PesuruhjayaTinggi Malaysia di United Kingdom.

Khairy yang juga menantu kepada mantan perdana menteri kelima, Tun Abdullah Badawi atau Pak Lah

sebelum ini merupakan ahli Parlimen Rembau namun pada PRU15 beliau membawa panji BN bertukar ke Parlimen Sungai Buloh.

KHAIRY JAMALUDDIN

Seterusnya, anak pemimpin veteran DAP yang telah bersara, Lim Kit Siang iaitu Lim Guan Eng dan adiknya Lim Hui Ying turut membawa nama besar dan pengaruh bapa mereka untuk masing-masing bertanding di kerusi Parlimen Bagan dan Parlimen Tanjong.

Diikuti dua orang anak peguam terkenal yang juga orang kuat DAP, mendiang Karpal Singh iaitu Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh yang mewakili PH di kerusi Parlimen Damansara dan Bukit Gelugor.

Calon-calon lain termasuk Fadhlina Sidek (PH) anak kepada bekas Presiden ABIM, Siddiq Fadzil yang bertanding di kerusi Parlimen Nibong Tebal dan Ketua Pemuda UMMO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang bertanding di kerusi Parlimen Gerik merupakan anak Datuk Dusuki Ahmad, bekas ahli Parlimen Tumpat.

Persoalannya, adakah dengan memiliki legasi keluarga yang cukup terkenal bermakna tiket kemenangan sudah erat berada dalam genggaman atau di sebaliknya, ia satu tekanan kerana nama besar sudah pasti datang dengan tekanan besar.

KELEBIHAN DAN TEKANAN

Berkongsi pandangan tentang isu berkenaan, calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas untuk kerusi Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, bertanding di pentas PRU15 dengan membawa nama besar bapanya merupakan satu kelebihan dan juga tekanan.

Afnan Hamimi, 41, merupakan anak kepada mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Mohd Taib.

"Pada saya, ia menjadi satu kelebihan kerana kita tidak perlu terlalu banyak memperkenalkan dan mempromosi diri apabila nama bapa sudah dikenali ramai, namun pada masa sama ia boleh menjadi tekanan berikutan orang ramai akan meletakkan jangkaan tinggi bahawa anak akan jadi sama seperti bapanya.

"Hakikatnya, tidaklah 100 peratus sama tetapi aspirasi perjuangan bapa itu tetap terus didukung dan saya melihat ia sebagai tekanan yang positif,” katanya kepada Sinar Premium.

Afnan Hamimi, 41, yang bertanding tujuh penjuru di Alor Setar merupakan anak kepada Datuk Taib Azamudden Mohd Taib, mantan Imam Besar Masjid Negara selain bekas Ahli Parlimen Baling pada tahun 1999 dan 2008 serta Ahli Majlis Syura Pas hingga kini.

Menurut Afnan Hamimi, gabungan kedua-dua faktor iaitu potensi diri calon dan latar belakang keluarga yang dikenali ramai saling melengkapi antara satu lain dan boleh membantu dalam meyakinkan para pengundi.

"Terutama dalam kalangan pengundi muda yang cenderung memilih peribadi dan potensi calon, latar belakang atau legasi keluarga itu boleh menjadi nilai tambah,” katanya.

PENGARUH NIK AZIZ

Turut senada adalah seorang lagi calon PRU15 yang membawa nama besar bapanya iaitu Nik Omar Nik Abdul Aziz yang merupakan calon Parlimen Pasir Salak, mewakili koalisi PH.

Nik Omar merupakan anak kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru.

Nik Omar, 57, menyifatkan legasi nama Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru yang tersohor sebagai agamawan dan tokoh politik Pas adalah nilai tambah untuk dirinya sebagai calon.

Menurut anak bekas Mursyidul Am Pas itu, pada asasnya rakyat akan memilih berdasarkan kredibiliti calon serta parti yang diwakili manakala legasi nama bapa yang dibawa adalah satu bonus.

"Rakyat akan memilih berdasarkan kredibiliti, integriti dan kesungguhan calon melaksanakan tugas dan amanah diberi sementara kelebihan sebagai anak pemimpin yang dikenali ramai itu adalah nilai tambah.

"Contohnya ketika saya diperkenalkan pengiring calon sebagai anak Tok Guru, ramai dalam kalangan penduduk di sini yang berusia antara 30 - 40 tahun ke atas memang mengenali, hormat dan sayang kepada Allahyarham.

"Jadi mereka mahu menzahirkan rasa hormat dan sayang itu kepada saya. Itu dikira sebagai nilai tambah,” ujar anak bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Nik Omar buat pertama kalinya menyertai PRU14, mewakili Parti Amanah Negara (Amanah) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka di Kelantan tetapi tewas dalam pertembungan tiga penjuru.

Beliau memperoleh 2,418 undi, jauh ketinggalan di belakang dua pencabarnya.

Mengulas lanjut Nik Omar berkata, setakat ini penerimaan penduduk Pasir Salak terhadapnya adalah positif dan ini sebahagian besar disebabkan nama baik Allahyarham bapanya.

"Saya sendiri terlibat secara aktif dalam politik selepas pemergian Allahyarham bapa dan secara peribadi ingin meneruskan hasrat beliau yang mahu melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara,” katanya.

Dalam pada itu, berkenaan soal tidak bertanding di negeri sendiri, Nik Omar berkata, ia merupakan isu lapuk yang sudah tidak relevan dijadikan bahan politik malah menurutnya, Allahyarham Nik Aziz merupakan antara individu awal bertanggungjawab membawa calon luar ke Kelantan.

Klik di sini untuk terus membaca