SHAH ALAM - Firma penyelidikan politik, ILHAM Centre, meramalkan Pakatan Harapan (PH) bakal menguasai kerusi majoriti bukan Melayu dan kerusi campuran yang peratusan pengundi Melayunya melebihi 50 peratus di Semenanjung. Melalui data kajian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Firma penyelidikan politik, ILHAM Centre, meramalkan Pakatan Harapan (PH) bakal menguasai kerusi majoriti bukan Melayu dan kerusi campuran yang peratusan pengundi Melayunya melebihi 50 peratus di Semenanjung.

Melalui data kajian yang dikeluarkan badan penyelidikan itu, daripada 44 kerusi Parlimen kerusi majoriti bukan Melayu (bilangan pengundi Melayu bawah 50 peratus), PH dijangka menyapu bersih 43 kerusi berkenaan.

Baki satu lagi kerusi diramalkan menjadi milik Barisan Nasional (BN).

Kajian ILHAM Centre itu juga meramalkan PH akan menguasai 30 daripada 46 kerusi campuran yang peratusan pengundi Melayunya melebihi 50 peratus.

Manakala BN dijangka menawan sembilan kerusi, Perikanan Nasional (1) manakala enam kerusi lagi, peluang sama rata iaitu 50-50 peratus antara parti bertanding.

Tidak kurang menariknya, bagi kerusi majoriti Melayu yang peratusannya antara 70 hingga 100 peratus, BN dan PN mempunyai peluang sama rata.

Daripada 75 kerusi, ILHAM Centre meramalkan BN dijangka memenangi 38 kerusi, diikuti PN (24); PH (6); Gerakan Tanah Air (1) manakala enam kerusi lagi, peluang sama rata iaitu 50-50 peratus antara parti bertanding.

Dan secara keseluruhan 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, ILHAM Centre menjangkakan PH bakal menguasai 79 kerusi Parlimen; BN (48); PN (25); GTA (1); dan 12 kerusi lagi masih menjadi rebutan semua parti bertanding.

Senarai peratusan pengundi Melayu di 145 kerusi Parlimen.

Kajian berkenaan juga menunjukkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menjadi pilihan utama rakyat Bumi Kenyalang dengan dapatan menunjukkan koalisi itu bakal menguasai 18 daripada 31 kerusi Parlimen dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sarawak.

PH pula dijangka hanya mampu menang enam kerusi; Parti Bangsa Malaysia (PBM) hanya menang satu kerusi sahaja, manakala enam kerusi lagi kekal menjadi perbuatan antara parti bertanding.

Di Sabah dan Labuan, ILHAM Centre meramalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) masing-masing bakal memenangi enam kerusi Parlimen; diikuti BN (3), PH (2); Bebas (1) dan lapan lagi kerusi kekal menjadi perebutan parti bertanding.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, secara keseluruhannya, PH diramalkan memenangi kerusi paling banyak iaitu 87 atau 39.2 peratus daripada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan pada PRU15; diikuti BN, sebanyak 51 kerusi atau 23 peratus manakala PN, 25 kerusi atau 11.3 peratus.

"Jika peratusan keluar mengundi adalah sekitar 80 peratus, maka ILHAM Centre meramalkan tiada satu pun gabungan parti akan menjadi pemenang dengan garisan majoriti mudah ialah 112 daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, ILHAM Centre meramalkan, mana-mana gabungan parti politik berjaya menang kerusi paling banyak di Sabah dan Sarawak, dijangka menjadi 'king maker' atau penentu siapa bakal menguasai Putrajaya pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hisommudin menjelaskan dapatan kajian yang menyaksikan BN hanya mampu 51 kerusi Parlimen kerana koalisi itu tidak berjaya memanfaatkan kelebihan dan mengawal tempo pilihan raya ketika pihak lawan sedang berpecah.

"Di sepanjang tempoh berkempen, BN tidak memperlihatkan kesepakatan dan konsolidasi elit yang penting untuk menonjolkan imej perpaduan bagi membentuk persepsi meyakinkan kepada pengundi.

"Ini termasuklah penguguran nama-nama besar dan penyandang kerusi yang tidak dicalonkan semula. Situasi bertambah parah apabila ada kalangan mereka bertanding menggunakan tiket parti lawan (Arau dan Maran) atau sebagai calon Bebas (Padang Besar). Ketidakhadiran MIC ketika majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah BN turut mengundang pertanyaan.

"Strategi mengemukakan 80 peratus muka baharu juga ‘backfired’ buat UMNO. Dengan andaian bahawa strategi serupa ketika PRN Melaka dan Johor serta keputusan Presiden akan disepakati oleh calon-calon yang diberi watikah telah membawa tindak balas di luar jangkaan parti.

"Terutamanya dalam kalangan yang sudah lama bekerja di akar umbi dan bahagian untuk memposisikan mereka sebagai calon WALI iaitu 'winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (boleh diterima) dan ‘likeable’ (disenangi), namun tidak terpilih," katanya.

HISOMUDDIN

Tambah Hisommudin, faktor ketiadaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ikon kebangkitan BN untuk menyatukan elit-elit parti dan pengaruh ‘Bossku’ yang berupaya menarik sokongan pengundi atas pagar serta pengundi baharu lenyap dalam PRU15 sekali gus meletakkan paras moral jentera BN berada di tahap terendah.

Namun begitu, Hisommudin berkata, kelebihan jentera akar umbi dan sokongan kuat orang Melayu kepada UMNO masih memberikan kelebihan yang signifikan kepada parti itu untuk menyumbang kerusi di kawasan majoriti Melayu buat BN.

"PH pula masih bergerak secara "in-silo”. Sejak kemenangan pada PRU14 sehingga berdepan dengan banyak siri PRK dan PRN sebelum ini, masalah jentera masih gagal dibentuk secara kolektif.

"Namun begitu, kembalinya Rafizi Ramli ke dalam PH ibarat tonik memulihkan moral dan kepercayaan aktivis yang kecewa dengan PH serta sokongan umum," katanya.

Hisommudin menambah, strategi menamakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri menjadi ‘selling point’ terbesar PH di mana beliau dilihat meyakinkan berbanding calon gabungan parti lain.

"Pertama beliau masih belum pernah menjadi PM. Kedua pandangan umum lebih yakin dengan kemampuan beliau memimpin negara ketika negara dijangka berhadapan dengan kesuraman ekonomi global," katanya.

Dalam pada itu, Hisommudin berkata, faktor seterusnya ialah sentimen pengundi bandar terutamanya kelompok bukan Melayu masih kekal bersama PH.

"Kelompok ini sukar untuk mengubah pola sokongan mereka kepada parti lain kerana pilihan yang sangat sempit. Manakala pengundi luar bandar kelompok Melayu masih terpecah dan sukar diperoleh oleh PH terutamanya dengan PN semakin memecahkan tabung undi tetap BN.

"PN secara tiba-tiba menjadi ‘underdog’ memecahkan monopoli persaingan dua koalisi BN-PH. Ia dibantu dengan kekuatan pemasaran politik dan strategi jentera mereka yang agresif melalui kempen-kempen di media sosial dan cetak, serta bersemuka dengan diperkukuhkan dokongan jentera Pas yang tersusun," katanya.

GTA pula katanya, jelas gagal untuk memberikan saingan kepada pakatan lain dan hanya berlegar di tiga kawasan; Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu walaupun bertanding di 121 kerusi Parlimen.

"Kebergantungan kepada pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang tinggi tidak melimpahkan sokongan untuk GTA seperti yang diharapkan," katanya.

Tamat

Klik di sini untuk terus membaca