BANDAR raya Istanbul yang digegarkan dengan letupan bom pada 13 November lalu sehingga mengakibatkan enam orang maut dan lebih 80 orang lagi cedera sebenarnya telah mengalami gelombang serangan pada tahun 2016 dan 2017. Menurut pihak... Klik di sini untuk terus membaca

BANDAR raya Istanbul yang digegarkan dengan letupan bom pada 13 November lalu sehingga mengakibatkan enam orang maut dan lebih 80 orang lagi cedera sebenarnya telah mengalami gelombang serangan pada tahun 2016 dan 2017.

Menurut pihak berkuasa Turkiye, seorang wanita yang ditahan kerana disyaki melakukan letupan bom tersebut di Istiklal yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing itu adalah warga Syria yang dilatih oleh militan Kurdis.

Wanita itu memasuki negara tersebut melalui bandar Afrin di utara Syria beberapa bulan lalu dan bekerja dalam perniagaan tekstil tanpa dokumen perjalanan untuk melakukan serangan berkenaan di tengah-tengah bandar raya terbesar di Turkiye itu.

Rakaman kamera keselamatan kejadian Ahad menunjukkan seorang wanita duduk di sebuah bangku selama lebih 40 minit dan kemudian bangun satu atau dua minit sebelum letupan, meninggalkan beg atau beg plastik, kata Menteri Kehakiman Turkiye, Bekir Bozdag kepada saluran berita A Haber baru-baru ini.

Pegawai mengimbas 1,200 kamera keselamatan untuk menentukan laluan penyerang yang disyaki itu kerana dia didakwa meletakkan bom di tempat kejadian sebelum beredar menaiki teksi.

Justeru, lebih 40 orang ditahan berhubung letupan tersebut selepas tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan termasuk Parti Pekerja Kurdistan (PPP) walaupun pihak berkuasa Turkiye mengesyaki ia turut terlibat dalam letupan itu.

Istanbul pernah mengalami peristiwa serangan bom sejak tahun 2016 lagi. - Foto AFP

TEMBAKAN

Sebenarnya, sebelum ini berlaku kejadian tembakan di sebuah disko di Istanbul pada 1 Januari 2017 yang menyebabkan 39 orang terbunuh dan mencederakan 79 yang lain semasa menyambut perayaan Tahun Baharu dan Kumpulan Daesh kemudian mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Selepas pemburuan besar-besaran, seorang warga Uzbekistan, Abdulkadir Masharipov ditangkap dan mengaku tetapi kemudian menafikan dia melakukan serangan berkenaan semasa perbicaraan di mahkamah pada Februari 2019.

Bagaimanapun, pada September 2020, dia mendapat 40 hukuman penjara seumur hidup iaitu satu untuk setiap nyawa yang terkorban dan satu lagi untuk pembunuhan beramai-ramai.

Serangan di bandar raya terbesar Turkiye itu turut berlaku pada 10 Disember 2016.

Pada hari tersebut, sebuah kenderaan meletup dan seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya berhampiran anggota-anggota polis yang dikerahkan untuk mengawal ketenteraman semasa perlawanan di luar sebuah stadium bola sepak yang mengakibatkan 47 orang terbunuh termasuk 39 pegawai polis dan mencederakan 160 yang lain.

Kurdistan Freedom Falcons (TAK) iaitu sebuah kumpulan radikal yang dikaitkan dengan parti PKK mendakwa melakukan serangan itu dan pada Mei 2019, seramai 14 orang defendan didapati bersalah dalam kes itu dan dihukum penjara seumur hidup.

Pada 28 Jun 2016, tiga orang penyerang melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul sebelum melancarkan bom bunuh diri sekali gus menyebabkan 45 orang terbunuh termasuk 19 warga asing dan mencederakan 163 yang lain.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab berikutan serangan tersebut tetapi Turkiye menyalahkan Daesh, namun pada November 2018, mahkamah Turkiye menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada enam suspek kumpulan berkenaan berhubung serangan itu.

RUSUHAN

Pada Jun 2016, enam orang pegawai polis dan enam yang lain terbunuh dan 36 orang lagi cedera dalam pengeboman kereta yang menyasarkan polis rusuhan di kawasan kejiranan bersejarah Beyazit, namun kumpulan TAK mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

Serangan berani mati turut berlaku pada 19 Mac 2016 di kawasan beli-belah pejalan kaki terkenal Istiklal, yang mengakibatkan empat pelancong asing maut melibatkan tiga penduduk Israel dan seorang warga Iran.

Tiga puluh sembilan orang lain termasuk 24 pelancong cedera tetapi pihak berkuasa Turkiye menyalahkan Daesh melakukan serangan itu

Pada 12 Januari 2016, seorang penyerang melancarkan serangan bom bunuh diri di tengah-tengah sekumpulan pelancong Jerman menyebabkan 12 orang daripada mereka terbunuh dan mencederakan 15 orang yang lain.

Serangan itu berlaku di kawasan kejiranan bersejarah Sultanahmet yang terletak ratusan meter dari Hagia Sophia dan Masjid Biru di Istanbul yang terkenal di dunia.

Pihak berkuasa berkata, pengebom berani mati itu adalah warga Syria berusia 28 tahun walaupun kumpulan itu tidak pernah mengaku bertanggungjawab secara rasmi.

Pada Januari 2018, tiga orang yang dianggap rakan sejenayah pengebom berani mati itu dipenjarakan seumur hidup.

Turkiye telah melancarkan gelombang serangan ke atas Syria sejak tahun 2016 dengan menyasarkan militia Kurdis serta pejuang Daesh.

Sejak Mei lalu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah mengancam untuk melancarkan operasi baharu ke utara Syria.

Sehubungan itu, kejadian-kejadian letupan dan serangan bom yang berlaku di Istanbul bukanlah sesuatu yang asing buat kerajaan Turkiye kerana ia pernah berlaku banyak kali di bandar raya tersebut sebelum ini. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca